Sekiranya anda mempunyai Parut Regangan, anda mungkin berharap supaya ia akan hilang dengan serta-merta. Namun begitu, alur atau garisan pada kulit ini tidak membahayakan kesihatan anda, tetapi ia bukanlah sesuatu yang indah untuk dilihat.
Walaupun ‘stretch marks’ mungkin akan pudar dari masa ke semasa atau melalui bantuan produk serta prosedur tertentu, ia tidak akan hilang sepenuhnya.
Simptom Parut Regangan
Tidak semua ‘stretch marks’ kelihatan sama. Perbezaannya bergantung kepada berapa lama anda telah memilikinya, apa yang menyebabkannya, lokasinya di badan anda, dan jenis kulit yang anda miliki. Variasi biasa termasuklah:
• Garis-garis yang melekuk ke dalam kulit atau garisan pada kulit
• Jalur merah jambu, merah, hitam, biru atau ungu
• Corak terang yang pudar menjadi warna yang lebih lembut
• Jalur pada bahagian perut, payudara, pinggul, punggung atau paha
• Jalur yang meliputi kawasan pembesaran badan
Punca Parut Regangan
Parut Regangan diakibatkan oleh pengembangan atau pengecutan kulit yang melampau terutamanya apabila anda mengalami kenaikan berat badan atau kehamilan.
Selain itu, punca ‘stretch marks’ termasuklah:
- Kehamilan: Antara 50 hingga 90 peratus wanita yang mengandung mengalami Parut Regangan semasa atau selepas kelahiran.
- Baligh: Pertumbuhan yang pesat adalah normal pada golongan remaja yang melalui puberti. Ini boleh menyebabkan parut regangan terbentuk pada kulit mereka.
- Peningkatan berat badan yang cepat: Berat badan yang meningkat dalam masa yang singkat boleh menyebabkan Parut Regangan.
- Keadaan perubatan: Keadaan tertentu boleh menyebabkan Parut Regangan, seperti sindrom Marfan dan sindrom Cushing. Sindrom Marfan mengakibatkan keanjalan menurun dalam tisu kulit, dan sindrom Cushing pula menyebabkan tubuh anda menghasilkan terlalu banyak hormon yang membawa kepada peningkatan berat badan dan Parut Regangan pada kulit.
- Penggunaan kortikosteroid: Penggunaan ubat kortikosteroid dan losyen yang berpanjangan boleh mengurangkan tahap kolagen dalam kulit. Kolagen menguatkan dan menyokong kulit, dan jumlah kolagen yang berkurang dapat meningkatkan risiko Parut Regangan.
Kulit terdiri daripada tiga lapisan utama. Parut Regangan terbentuk dalam dermis atau lapisan tengah apabila tisu penghubung ditarik melampaui batas keanjalannya. Ini biasanya disebabkan oleh pembesaran badan yang pesat atau pemampatan kulit.
Saat badan anda membesar, serat penghubung di dermis menyesuaikan keadaannya secara perlahan-lahan untuk menampung pembesaran yang perlahan. Walau bagaimanapun, pembesaran yang pesat membawa kepada peregangan secara tiba-tiba. Ini menyebabkan dermis koyak sehingga membolehkan lapisan kulit yang paling dalam dapat dilihat. Keadaan inilah yang membentuk Parut Regangan dan menyumbang kepada penampilannya.
Kesan parut tersebut akhirnya akan memudar menjadi warna putih atau jernih berpunca dari lemak pucat di bawah kulit yang kelihatan.
Diagnosis Parut Regangan
Doktor anda hanya perlu melihat dan memeriksa kulit anda untuk mendiagnosisnya. Tetapi beliau juga mungkin akan bertanya tentang sejarah perubatan anda. Jika anda telah atau pernah mengambil sama ada steroid oral atau topikal untuk jangka masa yang lama, paras kortisol yang tinggi di dalam badan anda mungkin boleh menjadi punca ‘stretch marks’ anda.
Faktor Risiko Parut Regangan
Beberapa faktor risiko telah dikaitkan dengan perkembangan ‘stretch marks’, tetapi buktinya adalah berbeza. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengesahkan punca sebenar Parut Regangan ini.
Faktor risiko untuk mendapat Parut Regangan boleh dikaitkan dengan:
- Sejarah keluarga
- Penyakit kronik
- Indeks jisim badan (BMI) sebelum kehamilan
- Berat anak yang dilahirkan, bagi wanita yang mengandung
Penemuan ini lebih jelas pada wanita mengandung yang mengalami ketegangan kulit perut yang besar sewaktu mengandungkan bayi. Wanita hamil yang mempunyai berat badan berlebihan dan bayi yang beratnya besar, boleh meningkatkan risiko untuk mendapat ‘stretch marks’. Selain itu, Parut Regangan juga banyak didapati pada individu yang sudah berusia lebih dari 50an. Ia mungkin boleh dikaitkan dengan kolagen serta tisu penghubung kulit.
Rawatan Parut Regangan
Anda mungkin tidak suka ‘stretch marks kelihatan pada kulit anda. Parut Regangan tidak memerlukan rawatan perubatan kerana ianya tidak berbahaya dan selalunya akan pudar dari masa ke semasa. Sekiranya anda mencari rawatan untuk keadaan parut tersebut, ketahuilah bahawa hanya sebahagian rawatan yang berkesan dan ia tidak akan menghapuskan parut tersebut sepenuhnya.
Rawatan berikut adalah antara yang telah tersedia untuk membantu meningkatkan penampilan serta tekstur ‘stretch marks’ anda.
• Krim retinoid. Berasal daripada vitamin A, retinoid, seperti tretinoin (Retin-A, Renova, Avita) boleh diletakkan pada kulit anda untuk memperbaiki penampilan ‘stretch marks’ selama kurang daripada beberapa bulan. Tretinoin pula membantu membina semula kolagen, menjadikan kulit kembali kelihatan seperti kulit yang normal. Namun begitu, penggunaan Tretinoin boleh merengsakan kulit anda.
Jika anda sedang mengandung atau menyusu bayi, berbincanglah dengan doktor anda tentang pilihan rawatan lain, kerana kesan sampingan krim retinoid mungkin akan menjejaskan bayi dalam kandungan anda.
• Terapi cahaya dan laser. Pelbagai terapi cahaya dan laser boleh dijalankan untuk membantu merangsang pertumbuhan kolagen atau elastin dalam kulit anda. Doktor boleh membantu anda menentukan teknik sesuai yang boleh dilakukan untuk anda.
• Microdermabrasion. Rawatan jenis ini melibatkan peralatan yang memasukkan kristal ke dalam kulit. Kristal ini akan menghilangkan lapisan kulit halus secara perlahan-lahan dan merangsang pertumbuhan kulit baru yang lebih elastik.
SUMBER
https://www.aad.org/public/cosmetic/scars-stretch-marks/stretch-marks-why-appear