Topeng muka terpakai menjadi isu hangat apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan untuk keuntungan sendiri. Dengan perkembangan wabak Coronavirus yang semakin membimbangkan tanpa sebarang penawar, semakin ramai individu yang mula mengambil langkah untuk menjaga diri masing-masing. Kerajaan juga mengarahkan masyarakat untuk sentiasa menjaga kebersihan dengan membasuh tangan dengan sabun secara kerap serta memakai topeng muka yang bersesuaian.
Walaupun langkah sebegini dilihat sebagai sesuatu yang mudah, namun ia ternyata dapat mengurangkan risiko anda dijangkiti virus maut ini.
Sabun tangan, ‘hand sanitizer’ dan topeng muka adalah barang terhangat di pasaran kerana diperlukan oleh semua orang sejak wabak Coronavirus ini. Namun, menurut artikel di laman web ‘World of Buzz’, terdapat satu video ‘viral’ yang menunjukkan pekerja di Indonesia membungkus topeng muka yang telah digunakan untuk dijual semula ke masyarakat.
Malah, pekerja yang terbabit dilihat memijak topeng muka tersebut begitu sahaja serta tidak memakai sarung tangan semasa proses pembungkusan itu. Walaupun ia mungkin merupakan topeng muka yang baharu, namun itu bukanlah satu etika positif kerana semua ini memerlukan ‘hygiene’ yang baik.
Topeng muka ini juga kemudian dijual dengan harga lebih mahal untuk mengaut keuntungan mudah tanpa memikirkan keselamatan orang lain. Dalam kekacauan ramai, masih ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mengambil kesempatan ke atas situasi sekarang.
Selamatkah topeng muka sebegini digunakan semula?
Tidak, topeng muka yang terpakai tidak boleh digunakan lagi kerana ia sudah mengandungi bakteria mahupun virus terutamanya jika anda bersin atau batuk padanya. Anda pasti tidak mahu berjangkit dengan semua ini yang berpunca daripada kecuaian anda sendiri.
Walaupun begitu, terdapat juga pandangan lain yang mengatakan bahawa topeng muka terpakai boleh digunakan semula sekiranya ia kekal kering dan tidak berkongsi dengan orang lain. Menurut Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit di ‘Mount Elizabeth Novena Specialist Centre’, untuk menggunakan topeng muka terpakai, individu haruslah menanggalkan topeng muka tersebut tanpa menariknya ke bawah dagu agar kuman tidak melekat pada topeng tersebut (berdasarkan artikel daripada laman web ‘This Week In Asia’).
Setiap individu mungkin mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang ini. Justeru itu, jika anda merasakan bahawa anda masih mahukan perlindungan yang lebih dan sanggup mengeluarkan duit untuk membeli topeng muka baru, ambillah langkah tersebut agar risiko dijangkiti virus ini dapat dikurangkan.
Apa langkah betul yang perlu dilakukan?
Penggunaan topeng muka adalah satu langkah utama dalam menghalang diri kita daripada dijangkiti virus ini. Walaupun ia tidaklah memberikan perlindungan sepenuhnya, namun ia lebih baik daripada terdedah begitu sahaja di khalayak ramai.
Jadi, apakah langkah yang boleh kita lakukan tentang penggunaan topeng muka ini?
- Pilih topeng muka yang betul dan disarankan oleh pakar perubatan. Elakkan membeli topeng muka biasa bercorak mahupun tidak bersesuaian dengan keadaan sekarang kerana ia mungkin tidak memberi apa-apa perlindungan kepada anda.
- Buang topeng muka yang telah dipakai dengan cara yang betul. Lipatnya ke dalam tanpa tangan anda menyentuh bahagian tersebut. Kemudian, bungkusnya di dalam tisu sebelum dibuang ke tong sampah.
- Pilih topeng muka pakai buang agar anda boleh terus membuangnya selepas satu penggunaan. Walaupun ia memerlukan kos yang lebih tinggi kerana anda terpaksa membelinya lagi dan lagi, namun apa salahnya anda menggunakan duit bagi manfaat diri sendiri?
- Pastikan anda membeli topeng muka daripada sumber yang betul seperti dari farmasi, hospital atau sumber-sumber yang boleh dipercayai. Elakkan membelinya secara sebarangan di kedai-kedai tepi jalan yang tidak berdaftar.
JADI,
Pastikan anda mengambil langkah pencegahan yang betul agar anda, keluarga dan rakan-rakan terlindung daripada wabak penyakit ini. Jadilah pembeli dan pengguna yang bijak agar anda tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.
RUJUKAN