Penderaan kanak – kanak adalah jenis penderaan atau pengabaian yang membahayakan kanak – kanak tersebut. Ia selalunya terjadi atau dilakukan oleh ibu bapa, penjaga atau orang lain yang mempunyai kuasa terhadap kehidupan kanak – kanak tersebut.
Apabila anda terfikirkan tentang penderaan kanak – kanak, pastinya anda memikirkan bahawa kanak – kanak tersebut mengalami bengkak, atau tanda lain yang kemerah – merahan. Tetapi tanda ini tidak selalunya kelihatan dengan jelas. Ia kerana penderaan boleh jadi dalam bentuk fizikal, seksual atau emosional. Mereka mungkin diabaikan, di mana penjaga mereka tidak menyediakan keperluan penting seperti makanan atau keselamatan.
Kategori
Terdapat 5 kategori penderaan kanak – kanak :
- Penderaan fizikal – memukul, menghentak atau melakukan apa – apa yang menyebabkan kecederaan fizikal
- Penderaan seksual – diraba, diseluk atau dirogol
- Penderaan emosi – merendah-rendahkan, mengaibkan, menengking, atau tidak memberikan perhatian
- Penderaan perubatan – menidakkan keperluan perubatan mereka atau mewujudkan cerita yang tidak benar yang membahayakan mereka
- Mengabaikan – tidak memberikan atau gagal menyediakan penjagaan, makanan, tempat tinggal atau keperluan utama lain
Kesan penderaan
Pastinya apabila penderaan berlaku ia akan mempengaruhi atau memberi kesan kepada kanak – kanak tersebut. Semua jenis penderaan dan pengabaian akan meninggalkan kesan di hati, fikiran dan tubuh badan mereka.
Sesetengah daripada parut mungkin di lihat secara fizikal atau secara emosi yang memberi kesan sepanjang hidup mereka, memusnahkan rasa percaya dalam diri mereka, hubungan di masa depan dan kemampuan mereka untuk menjalani hidup di rumah, tempat kerja dan sekolah. Kesannya seperti :
- Hilang kepercayaan dan masalah hubungan. Jika anda tidak mempercayai ibu bapa anda, siapa lagi yang anda boleh percaya? Tanpa kepercayaan ini, ia menjadi sukar untuk anda belajar mempercayai orang atau tahu siapa yang boleh dipercayai. Hal ini membawa kepada kesukaran untuk mengekalkan hubungan ketika dewasa. Ia juga membawa kepada hubungan yang tidak sihat kerana kanak – kanak yang telah menjadi dewasa tersebut tidak tahu apa itu hubungan yang baik.
- Terasa diri tidak berguna. Jika anda dikatakan tidak pandai atau tidak bagus berulang kali ketika masih kanak – kanak, ia akan jadi sangat sukar untuk anda mengatasi perasaan di dalam hati anda. Apabila mereka membesar, kanak – kanak yang didera akan mengabaikan pembelajaran mereka atau bekerja dengan gaji yang rendah kerana mereka tidak percaya mereka seorang yang berguna lagi. Mereka yang terselamat daripada penderaan seksual, dengan stigma dan rasa malu disebabkan penderaan tersebut sering mengalami kesukaran kerana merasakan diri telah musnah.
- Kesukaran untuk mengekspresikan perasaan. Kanak – kanak yang didera tidak boleh mengekspresikan perasaan mereka dengan betul. Akibatkan, perasaan mereka terkumpul di dalam dada, dan keluar dengan cara yang tidak disangka. Individu dewasa yang terselamat daripada penderaan ketika kanak – kanak mengalami masalah keresahan, depresi atau kemarahan. Mereka mungkin mengambil arak atau dadah untuk menahan perasaan yang menyakitkan mereka.
Adakah ia sejenis gangguan mental?
Pakar dapat lihat kesan zaman kanak – kanak yang dialami mereka melalui pemeriksaan otak. Kanak – kanak yang didera secara fizikal, emosi atau seksual atau diabaikan mempunyai otak ketika dewasa yang berbeza berbanding mereka yang tidak didera.
Kajian terkini menunjukkan bahawa mereka yang didera mengalami masalah mental dan psikologi sepanjang hayat mereka, disebabkan oleh perubahan pada struktur otak mereka.
Kajian yang diterbitkan oleh The Lancet Psychiatry, menemukan bahawa pesakit yang dilayan dengan teruk 2 kali lebih terdorong mengalami penyakit mental yang serius seperti psiko, schizophrenia dan gangguan bipolar atau memerlukan preskripsi untuk merawat kesihatan mental mereka berbanding mereka yang tidak pernah mengalami layanan yang buruk semasa kanak – kanak.
Kajian juga menemukan kanak – kanak yang didera ini lebih terdorong mengalami masalah mental seperti depresi atau keresahan.
Kanak – kanak yang dibesarkan dengan kasar dan kejam didefinisikan dalam bentuk fizikal, seksual atau emosi dan diabaikan, adalah isu kemanusiaan dan kesihatan umum sedunia yang memberi kesan pada lebih daripada 1 orang di kalangan 3 orang kanak – kanak pada usia 18 tahun ke bawah.
Kajian besar ini mengenalpasti apa yang berkait di antara penderaan atau pengabaian di zaman kanak – kanak dan pembentukkan masalah mental.
Bagaimana untuk Mencegah Penderaan Kanak – Kanak ?
Mencegah penderaan kanak–kanak – Nasihat untuk ibu bapa
- Berhati – hati dalam memilih penjaga atau pengasuh
- Pastikan anda mengetahui nama penuh mereka dan jika perlu bertanya pandangan orang sekeliling mengenai bakal pengasuh atau penjaga
- Pilih prasekolah dengan pengasuh sekolah yang terlatih
- Pastikan ada orang dewasa lain seperti nenek kepada kanak – kanak atau CCTV jika anda mengupah pekerja di rumah
Contoh bentuk disiplin lain termasuklah :
- Sesetengah ibu bapa merotan anak mereka untuk membuatkan mereka belajar dengan lebih kuat. Jika anak anda tidak mencapai jangkaan anda atau kelihatan lambat dari segi pembentukan atau pembelajaran, dapatkan bantuan, mereka mungkin memerlukan pemeriksaan oleh psikologi atau doktor kanak – kanak atau mengalami gangguan pembelajaran tertentu seperti dyslexia
- Jika anda mengalami kesukaran untuk menguruskan anak anda seperti anak anda menangis tanpa henti. Anda perlulah cuba untuk dapatkan pertolongan daripada doktor kanak – kanak
- Jika anak anda diluar kawalan ibu bapa dapatkan bantuan
- Sesiapa yang mengesyaki penderaan berlaku perlulah segera melaporkan perkara yang menimbulkan keraguan kepada polis atau hotline Teledera
Bagaimana untuk mencegah penderaan seksual kanak – kanak ?
Pencegahan penderaan seksual adalah penting agar kita dapat membendung sebelum perkara ini berlaku. Kesannya menakutkan jadi lebih baik mencegah daripada merawat :
- Tingkatkan pendedahan kepada umum berkaitan serangan atau gangguan seksual
- Bertindak positif terhadap mereka yang terselamat daripada penderaan seksual
- Mengajar anak – anak tentang sosial dan nilai murni dan menghormati tubuh badan orang lain
- Buang pandangan seksisme dan stereotaip fungsi setiap jantina
- Buang rasa malu atau stigma berkait dengan serangan seksual
- Apabila anak anda sudah mencecah usia 3 tahun, ibu bapa perlulah mengajar anak mereka tentang bahagian mana yang tidak boleh disentuh orang lai dan tentang mereka perlu mengadukan pada siapa jika mereka disentuh atau dilayan dalam keadaan yang membuatkan mereka tidak selesa
Apa yang perlu dilaporkan apabila mengesyaki sesuatu?
Laporan tersebut perlulah mengandungi info seperti :
- Nama kanak – kanak
- Lokasi atau alamat
- Sebab anda syaki
- Nama anda dan nombor yang boleh dihubungi supaya Jabatan Kebajikan Malaysia boleh menghubungi anak jika kanak – kanak tersebut tidak dapat ditemui
Bagaimana untuk melaporkan penderaan kanak – kanak?
Melalui talian hotline Nur, beritahu semua perkara penting yang membuatkan anda mengesyaki berlakunya penderaan atau pengabaian agar pegawai JKM boleh menentukan tahap kesegeraan yang diperlukan untuk situasi tersebut dan mengambil tindakan yang betul dalam masa yang betul.
Melalui hospital, individu yang membawa kanak – kanak tersebut ke hospital perlulah menyatakan pada Bahagian Kecemasan atau Pesakit Luar tersebut bahawa kanak – kanak ini didera jadi kanak – kanak tersebut boleh dirujuk terus ke Pusat Perhentian Setempat (One Stop Crisis Center) di hospital.
Melalui polis, ia sesuai untuk kanak – kanak yang disyaki mengalami penderaan seksual kerana ia membolehkan doktor menjalani pemeriksaan fizikal segera untuk kes yang baru disyaki penderaan seksual.
SUMBER
https://neurosciencenews.com/child-abuse-mental-health-14988/
https://www.myhealth.gov.my/en/reporting-child-abuse/
https://www.myhealth.gov.my/en/prevention/
https://www.helpguide.org/articles/abuse/child-abuse-and-neglect.htm