Doa makan selepas makan sememangnya sinonim buat kita semua sebelum memulakan dan selesai makan. Kadang-kadang doa makan juga dibaca pada mana-mana waktu yang sesuai kerana maksudnya yang sangat bermakna. Oleh itu pada kali ini kami akan kongsikan doa sebelum makan dan selepas makan.
Doa Sebelum Makan
الَّلهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
“Allahumma baarik llanaa fiima razaqtanaa waqinaa adzaa ban-naar”
Ertinya: Yaa Allah, berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.(HR.Ibnu as-Sani)
Doa Selesai Makan
اَلْحَمْدُ ِللهِ الَّذِيْنَ اَطْعَمَنَا وَسَقَانَا وَجَعَلَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ
“Alhamdu lillahhil-ladzi ath-amanaa wa saqaana waja’alanaa minal muslimiin”
Ertinya: Segala puji bagi Allah yang memberi kami makan dan minum serta menjadikan kami muslim.(HR.Abu Daud)
Berikut ada diceritakan kenapa kita diajarkan doa makan tersebut.
Sememangnya sejak kita kecil lagi kita telah diajarkan doa: الَّلهُمَّ بَارِكْ لَنَا (Allahumma bariklana) (Ya Allah berkatilah kami). Bukan Allahumma barikli (Ya Allah berkatilah aku), tidak kiralah waktu itu kita makan bersendirian atau beramai.
Perkataan لَنَا lana itu membawa maksud semuanya termasuklah petani, pedagang, pengangkut, tukang masak sampai penyaji semuanya termaktub dalam doa tu. Doa itu sendiri menjadi ucapan kesyukuran dan mendoakan semua yang terlibat yang berperanan dalam mendapatkan hasil tersebut.
Manakala perkataan وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ (Waqina ‘adzaban nar) yang bermaksud jagalah kami dari azab neraka. Potongan ayat ini adalah peringatan kepada kita bahawa rasa kenyang yang kita nikmati itu adalah daripada Allah SWT. Sekiranya kita makan dan merasakan makanan itu memberi kita kekenyangan bimbang berlaku syirik iaitu dosa besar.
Begitulah pendapat ulama berkenaan doa makan yang kita amalkan. Ianya bukan sekadar doa semata-mata. Jika dihayati secara mendalam ia adalah rasa kesyukuran dan menanamkan rasa kehambaan kita kepada Allah SWT.
Asal usul doa makan selepas makan menurut hadis.
Dalam Kitab Al-Adzkar, An Nawawi ada meriwayatkan
روينا في كتاب ابن السني عن عبد اللّه بن عمرو بن العاص رضي اللّه عنهما عن النبيّ صلى اللّه عليه وسلم أنه كان يقول في الطعام إذا قُرِّبَ إليه : ” اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا فِيما رَزَقْتَنا وَقِنا عَذَابَ النَّارِ باسم اللَّهِ “
Telah diriwayatkan dalam kitab Ibnus Sunni dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin Al ‘Ash R.anhuma, dari Nabi SAW bahawa ketika makanan didekatkan kepadanya, beliau biasa mengucapkan “Allahumma baarik lanaa fii maa rozaqtanaa wa qinaa ‘adzaaban naar, bismillah”.
Namun Ibnu Hajar Al-Asqolani menyatakan bahawa di dalam riwayat tersebut terdapat Muhammad bin Abi Az Zu’ayzi’ah, dan Abu Hatim mengatakan bahawa ia adalah munkarul hadis jiddan (hadis yang diriwayatkan oleh perawi yang tidak dipercayai). Imam Al-Bukhari juga berpendapat yang sama.
Sanad hadis tersebut juga bersifat dhaif kerana terdapat ‘Isa bin Al Qosim ibnu Sami’ dalam senarai perawi hadis yang dipercayai sering melakukan kesalahan apabila meriwayatkan hadis.
Ada pendapat juga menyatakan doa di atas sebenarnya dianjurkan untuk dibaca selepas makan, dan bukan sebelum makan.
Hal ini demikian berdasarkan riwayat Hisyam bin ‘Urwah secara mauquf (sesuatu yang disandarkan kepada sahabat).
Diriwayat oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2/934), Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/139), al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (1/448) dengan lafaz:
أنه كان لا يؤتى أبدا بطعام، ولا شراب حتى الدواء فيطعمه أو يشربه، إلا قال: «الحمد لله الذي هدانا، وأطعمنا وسقانا، ونعمنا، الله أكبر، اللهم ألفتنا نعمتك بكل شر، فأصبحنا منها وأمسينا بكل خير، نسألك تمامها، وشكرها لا خير إلا خيرك، ولا إله غيرك، إله الصالحين، ورب العالمين، الحمد لله ولا إله إلا الله، ما شاء الله ولا قوة إلا بالله، اللهم بارك لنا فيما رزقتنا وقنا عذاب النار»
Maksudnya: Sesungguhnya ‘Urwah bin al-Zubair tidak sesekali dihidangkan dengan makanan atau minuman atau ubat kecuali dia akan menyebut selepas memakannya atau meminumnya:
“Segala puji bagi Allah yang memberi hidayah kepada kami, memberi makan, memberi minum, memberi nikmat. Allah maha besar. Ya Allah, nikmat Mu tetap ada walaupun wujud setiap kejahatan kami, dengan nikmat Mu kami menjalani waktu pagi dan petang dalam kebaikan baik.
Kami memohon kesempurnaan nikmat itu dan kesyukuran atas nikmat Mu. Tiada kebaikan melainkan kebaikanMu, tiada Tuhan melainkan Engkau, Tuhan orang-orang salih dan Tuhan sekelian alam.
Segala puji bagi Allah, Tiada Tuhan melainkan Allah, tiada yang berlaku melainkan dengan kehendak Allah, tiada daya dan kekuatan melainkan dengan Allah. Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan pada kami dan jauhilah kami dari azab neraka”
Sanad riwayat ini sahih. Tetapi doa ini sebenarnya dibaca selepas makan kerana ucapan pujian lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Istizkar, Jilid 8, hlm. 387)
Rasulullah SAW tidak memberatkan kita untuk membaca doa khusus sebelum makan. Saranan untuk membaca bismillah sahaja bersandarkan kepada hadis di bawah:
عُمَرَ بْنَ أَبِي سَلَمَةَ، يَقُولُ: كُنْتُ غُلاَمًا فِي حَجْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَكَانَتْ يَدِي تَطِيشُ فِي الصَّحْفَةِ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «يَا غُلاَمُ، سَمِّ اللَّهَ، وَكُلْ بِيَمِينِكَ، وَكُلْ مِمَّا يَلِيكَ»
Maksudnya: “Daripada Umar bin Abi Salamah katanya: Sewaktu aku kecil di bawah jagaan Nabi SAW, tanganku sentiasa berlegar sekeliling talam (untuk mendapatkan makanan dan lauk). Nabi SAW berkata kepadaku: Wahai anak, sebut nama Allah (baca bismillah), makan dengan tangan kananmu dan makanlah (ambil lah makanan) yang hampir denganmu”. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim).
Dalam riwayat lain pula, dinyatakan:
وعن رجل خدم النبي صلى الله عليه وسلم : أنه كان يسمع النبي صلى الله عليه وسلم إذا قرب إليه طعاما يقول : بسم الله
Dari seseorang yang mengabdi pada Nabi SAW, ia berkata bahawa ia mendengar Nabi SAW ketika makanan mendekatinya, beliau mengucapkan “bismillah”. (Disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah dalam Al Kalimuth Thoyyib, no. 190 – Sheikh Al Albani mengatakan bahawa sanad hadis ini hasan)
Berikut adalah perkongsian berkenaan doa makan. Semoga mejadi pedoman buat kita semua. Wallahu’alam!
SUMBER:
https://tzkrh.com/baca-doa-makan-perlu-atau-tidak/
http://tasbihfatimahh.blogspot.com/2015/06/doa-sebelum-makan-dan-doa-sudah-makan.html