Gingivitis, keradangan dan jangkitan gusi adalah sejenis penyakit gusi yang ringan dan kerap berlaku (penyakit periodontal-penyakit disebabkan jangkitan). Keadaan ‘periodontal’ ini boleh menyebabkan kerengsaan, kemerahan dan bengkak (keradangan) pada bahagian gusi yang mengelilingi pangkal gigi. Oleh itu, keadaan gingivitis perlulah dipandang serius dan dirawat dengan cepat. Ia juga boleh menyebabkan penyakit gusi yang lebih serius dipanggil “periodontitis” dan kehilangan gigi.
Penyebab gingivitis yang paling biasa adalah kebersihan mulut yang tidak dijaga dengan baik. Amalan menjaga kebersihan mulut yang baik, seperti memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari, flos gigi setiap hari dan pemeriksaan gigi yang teratur boleh membantu mencegah atau memulihkan keadaan gingivitis ini.
Jenis Gingivitis dan Jangkitan Gusi
Terdapat dua kategori utama penyakit gingivitis iaitu:
- Penyakit gingivitis yang disebabkan oleh plak gigi: Ini boleh berlaku disebabkan plak, faktor sistemik, ubat-ubatan atau malnutrisi.
- Luka gingivitis yang bukan disebabkan oleh plak: Ini boleh berlaku disebabkan bakteria, virus atau kulat tertentu. Ia juga mungkin disebabkan oleh faktor genetik, keadaan sistemik (termasuk tindak balas alahan dan penyakit tertentu), luka atau tindak balas kepada badan asing seperti gigi palsu. Kadangkala, ia tidak mempunyai sebab yang khusus.
Punca Gingivitis dan Jangkitan Gusi
Penyebab gingivitis yang paling biasa adalah kebersihan mulut kurang baik yang menyokong pembentukan plak pada gigi. Ini boleh menyebabkan keradangan pada tisu gusi yang mengelilinginya. Berikut merupakan cara bagaimana plak boleh menyebabkan gingivitis:
- Pembentukan plak pada gigi. Plak adalah selaput melekit yang tidak dapat dilihat. Kebanyakan plak terdiri daripada bakteria dan terbentuk pada gigi apabila kanji dan gula dalam makanan berinteraksi dengan bakteria yang biasanya terdapat di dalam mulut. Plak perlu dihapuskan setiap hari kerana ia boleh terbentuk semula dengan cepat.
- Plak menjadi ‘tartar’. Plak yang kekal pada gigi boleh mengeras di bawah garis gusi, berubah menjadi ‘tartar’ dan mengumpul bakteria. Kemudian, plak itu akan menjadi sukar untuk dikeluarkan kerana ia membina perlindungan untuk bakteria. Ia juga menyebabkan kerengsaan di sepanjang garis gusi. Bagi mengeluarkan tartar, pembersihan gigi secara profesional perlu dilakukan.
- Keradangan gusi (gingivitis). Semakin lama plak dan ‘tartar’ kekal pada gigi, semakin besar kerengsaan pada bahagian gusi yang mengelilingi pangkal gigi. Ini kemudiannya akan menyebabkan keradangan. Lama kelamaan, gusi membengkak dan berdarah dengan mudah. Pereputan gigi juga boleh berlaku. Sekiranya tidak dirawat, gingivitis boleh berkembang menjadi periodontitis dan, dari masa ke masa boleh menyebabkan kehilangan gigi.
Simptom Gingivitis dan Jangkitan Gusi
Gusi yang sihat adalah pejal, berwarna merah jambu pucat dan terpasang dengan baik di sekitar gigi. Tanda-tanda dan simptom gingivitis termasuk:
- Gusi bengkak.
- Gusi berwarna merah gelap atau ‘violaceous’.
- Gusi yang mudah berdarah ketika anda menggosok gigi atau flos.
- Nafas berbau.
- Gusi yang susut.
- Gusi yang sensitif.
Diagnosis Gingivitis dan Jangkitan Gusi
Doktor gigi atau pakar kebersihan mulut akan memeriksa simptom seperti plak dan ‘tartar’ di dalam rongga mulut.
Pemeriksaan tanda-tanda periodontitis juga boleh disyorkan. Ini boleh dilakukan menerusi sinar-X atau ‘periodontal probing’ menggunakan instrumen yang mengukur kedalaman poket di sekitar gigi.
Faktor Risiko Gingivitis dan Jangkitan Gusi
Gingivitis adalah perkara biasa dan boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko mengalami gingivitis ialah:
- Tabiat buruk penjagaan mulut.
- Merokok atau mengunyah tembakau.
- Peningkatan umur.
- Mulut kering.
- Nutrisi yang kurang baik, termasuk kekurangan vitamin C.
- Pemulihan gigi yang tidak ketat atau gigi bengkok yang sukar dibersihkan.
- Penyakit yang mengurangkan imuniti seperti leukemia, HIV/AIDS atau rawatan onkologi.
- Ubat-ubatan tertentu seperti phenytoin (Dilantin, Phenytek) yang digunakan untuk sawan epilepsi dan beberapa penyekat saluran kalsium yang digunakan untuk angina, tekanan darah tinggi dan penyakit lain.
- Perubahan hormon seperti yang berkaitan dengan kehamilan, kitaran haid atau penggunaan pil kontraseptif.
- Genetik.
- Penyakit seperti jangkitan kulat atau virus tertentu.
Rawatan Gingivitis dan Jangkitan Gusi
Rawatan segera biasanya boleh menyembuhkan simptom gingivitis serta mencegah perkembangan penyakit gusi yang lebih serius dan kehilangan gigi. Anda berpeluang mendapatkan keputusan yang lebih baik dengan rawatan yang dilakukan jika anda mengamalkan rutin harian penjagaan mulut yang baik dan berhenti menggunakan tembakau.
Penjagaan profesional gingivitis terdiri daripada:
- Pembersihan gigi dengan profesional. Pembersihan profesional pertama termasuklah penghapusan semua plak, tartar dan produk bakteria (prosedur yang dipanggil “pengetaman akar (root planing) dan (scaling)”. Kikisan akan menghilangkan tartar dan bakteria dari permukaan gigi dan di bawah gusi. Selain itu, pengetaman akar menghapuskan produk bakteria yang dihasilkan oleh keradangan, melembutkan permukaan akar yang menghalang pengumpulan semula tartar dan bakteria serta memudahkan penyembuhan yang secukupnya. Prosedur ini boleh dilakukan dengan instrumen, laser atau peranti ultrasonik.
- Pemulihan pergigian jika perlu. Gigi dalam keadaan tidak tersusun atau ‘crown’, jarang dan lain-lain pemulihan pergigian yang tidak sesuai boleh menyebabkan kerengsaan gusi. Ini akan menyukarkan proses menghilangkan plak semasa penjagaan mulut harian. Jika terdapat masalah dengan gigi atau pemulihan pergigian yang menyumbang kepada gingivitis, doktor gigi mungkin mengesyorkan anda untuk menyelesaikan masalah ini.
- Perhatian yang berterusan. Gingivitis sering kali sembuh selepas pembersihan profesional yang mendalam, asalkan anda meneruskan kebersihan mulut yang baik di rumah anda. Doktor gigi akan membantu anda merancang program penjagaan di rumah yang berkesan dan menetapkan jadual pembersihan dan pemeriksaan secara profesional.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/gingivitis/symptoms-causes/syc-20354453
https://www.healthline.com/health/gingivitis
https://www.webmd.com/oral-health/guide/gingivitis-periodontal-disease