Now Reading
Penyakit Hati Berlemak (Fatty Liver Disease) – Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Penyakit Hati Berlemak (Fatty Liver Disease) – Jenis, Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

penyakit hati berlemak

Hati adalah organ terbesar di dalam badan manusia. Ia membantu badan mencerna makanan, menyimpan tenaga, dan menapis racun/toksik. Penyakit hati berlemak yang juga dikenali sebagai ‘fatty liver disease‘ ataupun ‘cirrhosis’ ini terjadi apabila banyak lemak terkumpul dalam hati.

Jenis Penyakit Hati Berlemak

Terdapat dua jenis utama penyakit ini iaitu:

Penyakit Hati Berlemak Bukan Alkohol

Ini adalah sejenis penyakit yang tidak berkaitan dengan penggunaan alkohol berat. Ia terbahagi kepada dua:

  • Hati berlemak mudah (simple fatty liver), di mana anda mempunyai lemak dalam hati anda tetapi kurang keradangan atau kerosakan sel. Hati berlemak mudah biasanya tidak begitu teruk sehingga menyebabkan kerosakan hati atau komplikasi.
  • Steatohepatitis tanpa alkohol ialah keadaan di mana anda mengalami keradangan dan kerosakan sel hati serta lemak dalam hati anda. Keradangan dan kerosakan sel hati boleh menyebabkan fibrosis, atau parut, dalam hati. Steatohepatitis tanpa alkohol lebih berbahaya dan boleh menyebabkan sirosis (cirrhosis) atau kanser hati.

Penyakit Hati Berlemak Alkohol

Penyakit ini berlaku disebabkan penggunaan alkohol yang berat. Hati anda memecahkan kebanyakan alkohol yang anda minum supaya boleh dikeluarkan dari badan anda. Tetapi proses memecahkannya boleh menghasilkan bahan berbahaya.

Bahan ini boleh merosakkan sel hati, mengakibatkan keradangan, dan melemahkan sistem pertahanan semula jadi tubuh anda. Lebih banyak alkohol yang anda minum, lebih banyak anda merosakkan hati anda. Penyakit jenis ini adalah peringkat awal penyakit hati yang berkaitan dengan alkohol. Peringkat seterusnya adalah hepatitis alkohol dan sirosis (cirrhosis, kanser hati).

Simptom Penyakit Hati Berlemak

Kedua-dua jenis penyakit hati berlemak bukan alkohol dan alkohol biasanya bertindak secara senyap dengan beberapa gejala atau tiada gejala. Sekiranya anda mengalami gejala, anda mungkin berasa letih atau berasa tidak selesa di bahagian atas sebelah kanan perut anda.

Punca Penyakit Hati Berlemak

Punca penyakit hati berlemak bukan alkohol tidak diketahui. Manakala, punca utama penyakit hati berlemak alkohol pula adalah jumlah pengambilan alkohol yang banyak.

Diagnosis Penyakit Hati Berlemak

Oleh kerana sering kali tiada gejala dialami, ianya tidak mudah untuk mendiagnosis keadaan ini. Doktor anda mungkin mengesyaki bahawa anda menghidapnya jika terdapat keputusan yang tidak normal pada ujian hati yang anda jalani atas sebab lain. Untuk melakukan diagnosis, doktor akan melakukan:

  • Mengambil tahu atau bertanya mengenai sejarah perubatan anda
  • Melakukan pemeriksaan fizikal
  • Menjalankan pelbagai ujian, termasuk ujian darah dan pencitraan, dan kadang-kadang biopsi
  • Sebagai sebahagian daripada sejarah perubatan, doktor akan bertanya mengenai tahap pengambilan alkohol anda, untuk mengetahui sama ada lemak di dalam hati anda adalah berpunca dari penyakit hati berlemak alkohol atau hati berlemak bukan alkohol.
  • Bertanya tentang pengambilan ubat anda, bagi menentukan sama ada ubat menyebabkan penyakit hati berlemak bukan alkohol anda.

Semasa pemeriksaan fizikal, doktor akan memeriksa badan, berat dan ketinggian anda. Doktor anda akan mencari tanda-tanda penyakit ini, seperti

  • Saiz hati anda (semakin besar atau normal)
  • Tanda-tanda sirosis seperti penyakit kuning, keadaan yang menyebabkan kulit dan mata putih anda berubah menjadi kuning

Faktor Risiko Penyakit Hati Berlemak

Penyelidik telah mengenal pasti beberepa faktor risiko seperti:

  • Individu yang mempunyai diabetes jenis 2 dan pra diabetes
  • Obesiti
  • Usia seseorang, pertengahan umur atau lebih tua (kanak-kanak juga boleh menghidapnya)
  • Warna kulit atau etnik (contoh: Hispanik atau orang-orang kulit putih yang bukan-Hispanik). Ia jarang terjadi pada orang Afrika-Amerika.
  • Mempunyai tahap lemak yang tinggi dalam darah, seperti kolesterol dan trigliserida
  • Penghidap tekanan darah tinggi
  • Pengambilan ubat tertentu, seperti kortikosteroid dan beberapa ubat kanser
  • Mengalami gangguan metabolik tertentu, termasuk sindrom metabolik
  • Berat badan turun dengan cepat
  • Mengalami jangkitan tertentu, seperti hepatitis C
  • Terdedah kepada beberapa toksin

Penyakit hati berlemak bukan alkohol memberi kesan kepada kira-kira 25 peratus orang di dunia. Oleh kerana kadar obesiti, diabetes jenis 2, dan kolesterol tinggi semakin meningkat di Amerika Syarikat, begitu juga kadar penghidapnya. Penyakit ini adalah penyakit hati kronik yang paling biasa berlaku di Amerika Syarikat.

Sebaliknya, penyakit hati berlemak alkohol pula hanya berlaku pada orang yang sering minum minuman beralkohol, terutamanya mereka yang minum dalam jangka masa yang panjang. Risiko lebih tinggi untuk peminum berat wanita, mempunyai obesiti, atau mempunyai mutasi genetik tertentu.

Rawatan Penyakit Hati Berlemak

  • Bagi jenis penyakit bukan alkohol, doktor mencadangkan penurunan berat. Penurunan berat badan boleh mengurangkan kandungan lemak dalam hati, keradangan, dan fibrosis.
  • Jika doktor anda berfikir bahawa ubat tertentu adalah penyebab jenis bukan alkohol anda, anda harus berhenti mengambil ubat tersebut. Tetapi periksa dengan doktor anda sebelum menghentikan sebarang pengambilan ubat. Anda mungkin perlu menurunkan pengambilan secara beransur-ansur atau anda mungkin perlu beralih ke ubat lain.
  • Tiada ubat yang telah diluluskan untuk merawat penyakit jenis bukan alkohol. Kajian sedang dilakukan sama ada ubat diabetes atau Vitamin E tertentu boleh membantu, tetapi lebih banyak kajian diperlukan.
  • Perkara yang paling penting dalam merawat penyakit hati berlemak yang berkaitan dengan alkohol adalah untuk berhenti meminum alkohol. Sekiranya anda memerlukan bantuan untuk berbuat demikian, anda mungkin boleh menyertai terapi atau program pemulihan alkohol. Terdapat beberapa ubat yang boleh membantu, sama ada mengurangkan keinginan anda atau membuat anda merasa sakit jika anda minum alkohol.
  • Penyakit hati berlemak alkohol dan satu jenis penyakit hati berlemak bukan alkohol, steatohepatitis tanpa alkohol boleh menyebabkan sirosis. Doktor boleh merawat masalah kesihatan yang disebabkan oleh sirosis dengan ubat dan operasi serta prosedur perubatan lain.
  • Sekiranya sirosis membawa kepada kegagalan hati, anda mungkin memerlukan pemindahan hati.

Perubahan gaya hidup juga boleh membantu mengatasi keadaan ini.

Jika anda mempunyai sebarang jenis penyakit hati berlemak, terdapat beberapa perubahan gaya hidup yang boleh membantu seperti:

  • Makan makanan yang sihat, mengehadkan garam dan gula, serta makan banyak buah-buahan, sayur-sayuran, dan biji-bijian
  • Dapatkan vaksin untuk hepatitis A dan B, penyakit selesema dan pneumokokal. Jika anda mengalami hepatitis A atau B bersama-sama dengan penyakit ini, ia lebih cenderung membawa kepada kegagalan hati. Individu dengan penyakit hati kronik lebih mudah mendapat sebarang jangkitan, jadi dua vaksin yang lain juga adalah penting.
  • Lakukan senaman secara teratur yang boleh membantu anda menurunkan berat badan dan mengurangkan kandungan lemak dalam hati.
  • Bercakap dengan doktor sebelum mengambil makanan tambahan, seperti vitamin, suplemen atau sebarang ubat-ubatan alternatif atau perubatan. Beberapa ubat berasaskan herba boleh merosakkan hati anda.

SUMBER

https://www.healthline.com/health/fatty-liver

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/liver-problems/symptoms-causes/syc-20374502

https://www.webmd.com/hepatitis/fatty-liver-disease

https://www.medicalnewstoday.com/articles/fatty-liver

error: Content is protected !!