Now Reading
Ketahui Tentang Penyakit Jantung dan Jenis-jenisnya

Ketahui Tentang Penyakit Jantung dan Jenis-jenisnya

penyakit jantung dan jenis penyakit jantung

Memandangkan jantung adalah salah satu organ tubuh yang paling penting, jadi kita perlulah ketahui dan memahami cara menjaga kesihatannya, terutamanya memandangkan penyakit jantung adalah penyebab utama kematian di kalangan lelaki dan wanita di seluruh dunia.

Penyakit jantung adalah istilah yang merangkumi sebarang gangguan jantung. Tidak seperti penyakit kardiovaskular, yang menggambarkan masalah dengan saluran darah dan sistem peredaran darah serta jantung, penyakit jantung merujuk kepada masalah dan kecacatan pada jantung itu sendiri.

Banyak bentuk penyakit jantung dapat dicegah atau dirawat dengan pilihan gaya hidup yang sihat dan rawatan tertentu.

Jenis Penyakit Jantung

Terdapat banyak jenis penyakit jantung. Jom ketahui lebih lanjut mengenai setiap satunya.

1. Penyakit atherosclerotic (Atherosclerosis)

Atherosclerosis adalah penyakit di mana plak terbentuk di dalam arteri anda. Arteri adalah saluran darah yang membawa darah yang kaya dengan oksigen ke jantung dan bahagian badan anda yang lain. Plak terdiri daripada lemak, kolesterol, kalsium, dan zat lain yang terdapat dalam darah. Lama kelamaan, plak boleh mengeras dan menyempitkan arteri anda. Ini mengehadkan aliran darah yang kaya dengan oksigen ke organ dan bahagian badan anda yang lain.

Seterusnya, penyakit atherosclerotic boleh mempengaruhi sebarang arteri di dalam badan, termasuklah arteri di jantung, otak, lengan, kaki, pelvis dan ginjal. Akibatnya, penyakit berlainan dapat berkembang berdasarkan arteri yang terjejas. Arteri yang sihat adalah fleksibel dan elastik, tetapi setelah satu tempoh, dinding di arteri anda boleh mengeras, dan itu merupakan satu keadaan biasa disebut pengerasan arteri.

2. Heart arrhythmias

Arrhythmiaadalah degupan jantung yang tidak teratur. Ia berlaku apabila impuls elektrik di jantung yang menyelaraskan degupan jantung tidak berfungsi dengan baik. Istilah ‘arrhythmia’ menerangkan sebarang perubahan pada impuls elektrik normal jantung. Ini membuatkan jantung berdegup dengan cara tidak normal, sama ada terlalu cepat, terlalu perlahan, atau tidak menentu.

Seterusnya, arrhythmia adalah salah satu keadaan jantung yang paling biasa berlaku. Ini mungkin muncul sebagai perasaan berdebar di dada atau perasaan seolah-olah jantung anda sedang berdegup kencang. Sekiranya anda mengalami keadaan sebegini, maklumkan pada doktor supaya mereka dapat menentukan sekiranya pemeriksaan lebih lanjut diperlukan atau tidak.

Terdapat beberapa cara di mana degupan jantung dapat kehilangan irama biasanya. Ini termasuk:

  • tachycardia, apabila jantung berdegup kencang
  • bradycardia, apabila jantung berdegup perlahan
  • kontraksi ventrikel pramatang, atau rentak abnormal tambahan
  • fibrilasi, apabila degupan jantung tidak teratur

3. Kecacatan jantung kongenital

Ini adalah istilah umum bagi beberapa masalah kecacatan jantung yang wujud sejak lahir. Ia boleh mempengaruhi dinding jantung, injap jantung dan juga saluran darah. Terdapat banyak jenis kecacatan jantung kongenital. Ia mungkin boleh menjadi satu masalah kesihatan sederhana yang tidak menyebabkan gejala hinggalah boleh juga menjadi masalah kompleks yang menyebabkan gejala serius dan mengancam nyawa.

Contohnya merangkumi:

  • Kecacatan septal: Terdapat lubang di antara dua ruang jantung.
  • Kecacatan penyumbatan: Aliran darah melalui pelbagai ruang jantung tersekat secara sebahagian atau keseluruhannya.
  • Penyakit jantung cyanotic: Kecacatan pada jantung menyebabkan kekurangan oksigen di seluruh badan.

4. Kardiomiopati melebar (Dilating cardiomyopathy)

Ruang jantung melebar akibat kelemahan otot jantung dan tidak dapat mengepam darah dengan betul. Sebab yang paling biasa adalah kerana kekurangan oksigen yang sampai ke otot jantung disebabkan penyakit arteri koronari. Ini biasanya mempengaruhi ventrikel belah kiri.

Otot jantung mula melebar, yang bermaksud meregang dan menjadi lebih nipis. Akibatnya, bahagian dalam ruang membesar. Masalah ini sering merebak ke ventrikel kanan dan kemudian ke atria. Apabila ruang jantung melebar, otot jantung tidak melakukan pengecutan secara normal dan tidak dapat mengepam darah dengan baik. Apabila jantung menjadi lemah, kegagalan jantung boleh berlaku.

Selain itu, masalah ini juga boleh menyebabkan masalah injap jantung, arrhythmia(degupan jantung tidak teratur) dan pembekuan darah di jantung.

5. Endokarditis (Jangkitan injap jantung)

Endokarditis adalah jangkitan pada endokardium, iaitu lapisan dalam ruang jantung dan injap jantung anda. Ia biasanya berlaku apabila bakteria, kulat atau kuman lain dari bahagian badan lain seperti mulut merebak melalui aliran darah dan melekat pada kawasan yang rosak di jantung anda. Sekiranya keadaan ini tidak dirawat dengan cepat, endokarditis boleh merosakkan atau menghancurkan injap jantung anda dan menyebabkan komplikasi yang mengancam nyawa.

Walaupun jantung biasanya terlindung daripada jangkitan dengan baik, ia mungkin lebih mudah bagi bakteria untuk melalui sistem imun pada individu yang mempunyai:

  • pembedahan injap jantung buatan (prostetik) – pembedahan penggantian injap semakin kerap digunakan apabila individu mengalami penyempitan salah satu injap jantung mereka
  • penyakit jantung kongenital – individu dilahirkan dengan kecacatan jantung
  • kardiomiopati hipertrofik – sel otot jantung membesar dan dinding ruang jantung menebal
  • menyuntik ubat pada badan

6. Penyakit jantung valvular

Penyakit jantung valvular dicirikan oleh kerosakan atau kecacatan pada salah satu daripada empat injap jantung: mitral, aorta, tricuspid atau pulmonari. Injap mitral dan tricuspid mengawal aliran darah antara atria dan ventrikel (ruang atas dan bawah jantung). Injap pulmonari pula mengawal aliran darah dari jantung ke paru-paru, dan injap aorta mengatur aliran darah antara jantung dan aorta, serta saluran darah ke seluruh badan. Injap mitral dan aorta adalah bahagian yang paling kerap terkena penyakit jantung valvular.

Seterusnya, penyakit ini berlaku apabila satu atau lebih injap jantung tidak terbuka atau ditutup dengan betul. Apabila ia mempengaruhi lebih daripada satu injap jantung, ia disebut sebagai penyakit jantung pelbagai injap.

Ia boleh menyebabkan:

  • Stenosis, apabila bukaan injap menjadi sempit dan menyekat aliran darah.
  • Prolaps, apabila injap tergelincir dari tempatnya atau penutup injap (bahagian injap) tidak ditutup dengan betul.
  • Regurgitasi, apabila darah bocor ke belakang melalui injap, kadangkala terjadi disebabkan oleh prolaps.

Tahap keparahan penyakit jantung valvular adalah berbeza-beza. Dalam kes ringan, ia mungkin tidak ada gejala, sementara dalam kes yang serius, penyakit jantung valvular dapat menyebabkan kegagalan jantung kongestif dan komplikasi lain.

SUMBER

https://www.medicalnewstoday.com/articles/237191

https://www.heart.org/en/health-topics/cardiomyopathy/what-is-cardiomyopathy-in-adults/dilated-cardiomyopathy-dcm

https://www.medicinenet.com/heart_disease_coronary_artery_disease/article.htm

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/heart-disease/symptoms-causes/syc-20353118

https://www.heartandstroke.ca/heart/what-is-heart-disease/types-of-heart-disease

https://www.heartandstroke.ca/heart/conditions/valvular-heart-disease

error: Content is protected !!