Penyakit Paget merupakan salah satu bentuk kanser payudara yang luar biasa. Kebiasaannya ia bermula pada puting dan merebak ke lingkaran kulit hitam (areola) di sekeliling puting. Penyakit paget payudara tiada kaitan dengan penyakit tulang Paget iaitu penyakit tulang metabolik.
Penyakit payudara ini kerap berlaku dalam kalangan wanita yang berumur lebih daripada 50 tahun. Kebanyakan wanita yang mempunyai penyakit Paget pada payudara sudah menghidapi kanser payudara duktas atau kanser payudara invasif. Dalam kes-kes yang jarang berlaku, penyakit Paget pada payudara didapati pada puting walaupun pesakit itu tidak pernah menghidap sebarang kanser.
Simptom Penyakit Paget Payudara
Simptom awal penyakit ini termasuklah muncul kemerahan dan terjadinya pengelupasan kulit pada puting anda. Anda mungkin menganggap gejala-simptom ini sebagai ringan dan tidak memerlukan pemeriksaan doktor kerana kulit anda akan sembuh dengan sendiri. Namun begitu, ia tidak bermakna penyakit ini telah hilang.
Simptom utama yang dialami pesakit Paget payudara adalah:
• Sensasi sesemut
• Gatal-gatal
• Sensitiviti meningkat
• Berasa pedih dan sakit
• Keluar cecair berdarah atau kekuningan dari puting anda
• Puting susu anda kelihatan rata
• Kulit tebal pada bahagian puting susu
Dalam kebanyakan kes, penyakit ini bermula pada puting, kemudian merebak ke areola (kawasan kulit yang melingkar yang mengelilinginya) atau bahagian lain payudara anda. Kadang-kadang ia muncul di areola dan kelihatan seperti ekzema, timbul ruam merah yang gatal. Walaupun jarang berlaku, keadaan ini boleh menjejaskan kedua-dua payudara.
Punca Penyakit Paget Payudara
Punca sebenar penyakit Paget pada payudara masih tidak diketahui. Walau bagaimanapun, terdapat dua teori mengenainya. Teori utama adalah beberapa sel kanser payudara bergerak melalui saluran susu ke permukaan puting susu mengakibatkan penyakit Paget pada payudara terjadi.
Teori lain ialah sel-sel kulit puting susu secara spontan berubah menjadi sel-sel kanser. Dalam beberapa kes penyakit Paget, tiada sel kanser payudara langsung dikesan pada pesakit atau jika pesakit mempunyai tumor, ia selalunya tidak berkaitan dengan penyakit pada payudara.
Diagnosis Penyakit Paget Payudara
Untuk mengesahkan gejala yang anda alami, beberapa ujian untuk menilai keadaan andaakan dijalankan seperti:
• Ujian payudara klinikal dan pemeriksaan fizikal. Semasa pemeriksaan ini, doktor anda akan memeriksa secara fizikal kedua-dua payudara dengan memerhatikan penampilan kulit pada puting dan di sekitar puting anda sekiranya terdapat benjolan atau penebalan di bahagian tersebut.
• Mamogram. Mamogram merupakan ujian X-ray pada tisu payudara anda. Keputusan ujian ini menunjukkan sebarang perubahan pada puting dan kulit sekitarnya boleh dikaitkan dengan kanser payudara asas seperti yang sering berlaku dalam penyakit Paget pada payudara.
Sekiranya keputusan daripada mamografi kedua-dua payudara tidak mendedahkan sebarang tanda-tanda kanser, doktor anda mungkin akan mengamati pengimejan resonans magnetik (MRI), yang boleh mengesan sel kanser yang tidak dapat dilihat sewaktu ujian mamogram.
• Biopsi payudara. Semasa biopsi, doktor anda mengambil sampel kecil tisu dari kulit puting anda untuk pemeriksaan di bawah mikroskop. Jika anda mempunyai lelehan puting, sampel cecair tersebut juga dikumpulkan.
Jika terdapat benjolan pada payudara anda, biopsi tisu akan turut dijalankan. Sekiranya sel kanser dikesan dalam sampel yang dikumpul, anda boleh dirujuk kepada pakar bedah payudara untuk membincangkan pilihan rawatan yang tersedia.
• Biopsi nodus limfa sentinel. Jika anda mempunyai kanser payudara yang invasif, nodus limfa di bawah lengan anda (nodus limfa aksil) juga perlu diperiksa untuk melihat sekiranya kanser telah merebak ke bahagian ini. Ini boleh dilakukan dalam prosedur yang dikenali sebagai biopsi nodus limfa sentinel.
Semasa biopsi, pakar bedah anda akan mengenalpasti nodus sentinel iaitu nodus limfa yang pertama menerima aliran dari tumor payudara dan sel-sel kanser yang bergerak. Sekiranya nodus sentinel dikeluarkan, diperiksa dan didapati normal, biopsi tidak akan dilakukan pada nodus yang lain kerana peluang mempunyai sel kanser adalah tipis.
Faktor Risiko Penyakit Paget Payudara
Faktor-faktor risiko adalah serupa dengan jenis kanser payudara yang lain. Ia termasuklah:
• Umur, risiko meningkat seiring usia
• Sejarah peribadi kanser payudara atau abnormaliti payudara
• Mempunyai saudara-mara yang menghidap kanser payudara
• Memiliki tisu payudara yang padat
• Berat badan berlebihan atau obesiti
• Menjalani terapi penggantian hormon (HRT)
• Pengambilan alkohol yang berlebihan
Rawatan Penyakit Paget Payudara
Jika anda mempunyai penyakit Paget pada payudara, anda memerlukan pembedahan. Jenis pembedahan bergantung kepada keadaan kulit di sekitar puting anda dan tahap sel kanser yang dimiliki.
Pilihan pembedahan termasuklah:
• Mastektomi Mudah. Prosedur ini melibatkan pengeluaran seluruh payudara anda, kecuali nodus limfa di ketiak anda (nodus limfa aksil). Mastektomi mudah disyorkan dalam kes yang terdapat kanser payudara tersembunyi tetapi tidak merebak ke nodus limfa.
• Lumpektomi. Pembedahan ini (lumpektomi) melibatkan pembuangan hanya bahagian payudara yang terlibat.
Pakar bedah anda membuang puting dan areola anda bersama-sama dengan bahagian berbentuk kon payudara anda. Pakar bedah akan mencuba sedaya upaya untuk mengeluarkan hanya bahagian payudara sekecil yang mungkin dan memastikan bahawa hanya tisu yang dikeluarkan mempunyai sel-sel kanser dan hanya sel-sel yang sihat dikekalkan. Seterusnya, anda akan memerlukan rawatan radiasi susulan.
Lumpektomi tidak akan disyorkan jika anda tidak dapat menjalani terapi radiasi atas sebab tertentu. Kebanyakan wanita mempunyai rekonstruksi puting selepas rawatan ini.
SUMBER
https://www.medicalnewstoday.com/articles/177668
https://www.webmd.com/osteoporosis/guide/pagets-disease-bone
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pagets-disease-of-bone/symptoms-causes/syc-20350811
https://orthoinfo.aaos.org/en/diseases–conditions/pagets-disease-of-bone