Untuk perkembangan bayi 10 bulan, anda mungkin melihat bahawa anak anda mempunyai mainan, buku atau lagu kegemaran berbanding yang lain.
Sekarang, mari kita lihat beberapa aspek tentang perkembangan bayi pada usia 10 bulan seperti di bawah. Anda juga boleh membaca artikel lain bagi perkembangan bayi mengikut bulan seperti dalam kandungan berikut.
Kandungan
- Perkembangan bayi: 1 bulan
- Perkembangan bayi: 2 bulan
- Perkembangan bayi: 3 bulan
- Perkembangan bayi: 4 bulan
- Perkembangan bayi: 5 bulan
- Perkembangan bayi: 6 bulan
- Perkembangan bayi: 7 bulan
- Perkembangan bayi: 8 bulan
- Perkembangan bayi: 9 bulan
- Perkembangan bayi: 10 bulan
- Perkembangan bayi: 11 bulan
- Perkembangan bayi: 12 bulan
Pertumbuhan (berat, fizikal, ketinggian)
Berat purata bayi berusia 10 bulan adalah 18.7 paun (8.5kg) untuk bayi perempuan dan 20.2 paun (9.2kg) untuk bayi lelaki. Purata panjang untuk bayi perempuan pula ialah 28.1 inci dan 28.9 inci pula bagi kanak-kanak lelaki. Malah, bayi mungkin berkembang sekitar setengah inci setiap bulan dan memperoleh kira-kira 0.5 paun hingga 1 paun sebulan.
Pertumbuhan pesat pada tahun pertama bayi anda akan semakin perlahan sekarang. Mereka akan mempunyai berat badan dua kali ganda daripada berat badan semasa lahir. Malah, mereka juga akan lebih tegak dan kelihatan seperti kanak-kanak berbanding bayi.
Cuba untuk tidak membandingkan ketinggian atau berat bayi anda dengan bayi lain. Selagi mereka berkembang seperti yang diharapkan mengikut carta pertumbuhan, mereka mungkin tidak bermasalah langsung. Sesetengah bayi mungkin kehilangan sedikit berat pada masa ini. Ini boleh terjadi kerana mereka bergerak dengan lebih banyak, jatuh sakit, atau tidak cukup makan makanan pepejal yang anda berikan kepada mereka.
Maklumat kesihatan dan perubatan
Tiada perjumpaan dengan doktor yang diperlukan pada bulan ini. Tetapi, anda boleh menjangkakan beberapa perkara yang memerlukan penjagaan seperti memberi keselesaan kepada bayi kerana proses pertumbuhan gigi akan berkembang pada usia ini. Dalam tempoh 10 bulan, bayi anda akan menjalani banyak proses tertentu pada bahagian depan giginya. Gigi pertama mereka boleh tumbuh pada usia sekitar 6 bulan dan berterusan sehingga hampir 3 tahun. Menjelang usia 10 bulan, gigi tengah dan gigi bahagian tepi mungkin mula muncul pada gusi atas dan bawah.
Rasa tidak selesa disebabkan pertumbuhan gigi biasanya berlaku beberapa hari atau bahkan seminggu sebelum gigi benar-benar tumbuh. Jadi, pada masa itu, anda boleh memastikan bayi anda selesa dengan mengambil dos NSAID yang sesuai seperti ibuprofen atau Motrin, menggunakan mainan untuk gigi, atau bahkan menggunakan kain lap basah untuk meredakan masalah gusi mereka.
Corak tidur
Bayi berusia 10 bulan biasanya tidur kira-kira 10 hingga 12 jam setiap malam dan mempunyai tidur 2 kali pada waktu siang. Tidur pada waktu pagi mungkin mula berkurangan bagi sesetengah bayi.
Sekitar usia ini, bayi anda boleh mengembangkan perasaan iaitu ‘kebimbangan pemisahan’, perasaan apabila dia kecewa jika berjauhan dari anda atau tidak dapat melihat anda. Ini boleh menyebabkan masalah pada waktu malam, apabila bayi anda bangun dan mendapati anda tidak berada di sana. Berikut adalah beberapa yang boleh anda lakukan dan harus elakkan untuk membantu sekiranya bayi anda bangun pada waktu malam:
- Periksa untuk memastikan bayi dalam keadaan selesa dan tidak sakit.
- Tepuk dia perlahan-lahan dan secara senyap beritahunya bahawa semuanya baik-baik sahaja – anda berada berdekatan jika dia memerlukan anda.
- Jika perubahan lampin diperlukan, lakukan dengan pantas dengan sedikit masalah, dan letakkannya kembali ke tempat tidur di dalam katilnya.
- Jangan buka lampu, menggerakkannya, memberi bayi makan, membawanya berjalan, atau bawa ia ke tempat tidur anda. Tindakan ini akan memberi ganjaran kepadanya kerana bangun dan akan memanjangkan tahap ini.
Pembangunan sosial dan interaksi
Adakah bayi anda suda mula merengek sekiranya anda meninggalkan mereka? Adakah mereka mempunyai mainan kegemaran? Ini adalah tanda-tanda awal fasa pembangunan emosi yang kompleks dipanggil ‘pemisahan kegelisahan’ – semua bayi melalui tahap ini biasanya dari kira-kira usia 10 bulan dan makin kerap berlaku pada bayi berusia sekitar 12 hingga 15 bulan dan berkurangan selepas usia 2 tahun. Ketika ini, bayi anda hanya menyatakan rasa terganggu mereka kerana tersisih tetapi ia tidaklah berbahaya tetapi menunjukkan bahawa anda mempunyai ikatan yang baik bersama.
Selain itu, mereka akan sangat berminat dalam perbualan dan anda mungkin dapat mendengar kata-kata pertamanya. Bayi anda akan dapat berkomunikasi dengan anda dan memberitahu apa yang diinginkan menggunakan bahasa badan dan ungkapan muka. Mereka juga mungkin menyertai ketika anda menyanyi dengan mereka. Malah, pada usia ini masih banyak bebelan bayi yang anda akan dengar.
Perkembangan kognitif
Sebelum bayi anda boleh mengungkapkan kata-kata sebenar, dia dapat memahami beberapa perkara yang anda katakan. Anda mungkin terkejut dengan seberapa banyak yang bayi dapat difahami. Sebagai contoh, jika anda mengatakan nama mainan kegemarannya, dia mungkin melihat ke arah itu, menunjukkan bahawa dia tahu apa yang anda maksudkan. Jika dia mencipta perkataannya sendiri untuk sesuatu perkara, anda boleh gunakannya sebagai perkataannya sendiri. Sebagai contoh, jika dia memanggil patung kegemarannya, “tata,” balas dengan memberikan patung itu kepadanya dan mengatakan perkataan “teddy” untuk menguatkan kata yang betul. Tidak lama lagi, dia akan membetulkan kesalahan dirinya sendiri. Sama ada sekarang atau pada bulan-bulan yang mendatang, bayi anda akan dapat mengatakan kata-kata mudah seperti “tidak”, “mama” dan “dada”.
Perkembangan pergerakan
Anda mungkin mendapati bahawa apabila bayi anda terjaga, dia akan bergerak tanpa henti. Sekiranya dia berada di atas perutnya, dia akan berpusing untuk melihat ke sekelilingnya. Tetapi, jika dia berada di belakangnya, dia akan mencapai kakinya. Pada masa-masa lain, dia mungkin bergolek atau menggoyangkan tangan dan lututnya. Semua pergerakan ini boleh menguatkan ototnya, memperbaiki koordinasinya, dan mengajarnya apa yang boleh dilakukan dengan pelbagai bahagian badannya.
Setiap bayi adalah berbeza, tetapi sekitar usia ini bayi anda mungkin cuba untuk berdiri dengan sendirinya. Melihat orang lain berjalan membuatnya lebih bersemangat untuk melakukan hal yang sama. Apabila dia berdiri, dia mungkin risau bahawa dia tidak akan dapat duduk lagi, dan ini boleh jadi sedikit lebih rumit. Jika anda rasa dia menghadapi masalah, tunjukkan kepadanya cara untuk membengkokkan lutut turun kembali ke lantai dan dia mungkin dapat mengikuti langkah anda itu.
Sebaik sahaja bayi anda boleh berdiri dengan lebih yakin, dia mungkin mengambil beberapa langkah sementara sambil memegang perabot. Ini dikenali sebagai “pelayaran” (cruising). Tidak lama lagi, dia akan cuba mengambil beberapa langkah berhati-hati tanpa bantuan apa-apa. Ini mungkin berakhir dengan bayi terjatuh ke lantai, tetapi dia akan berkembang dan menjadi lebih mahir dengan setiap percubaan.
Nutrisi
Bayi anda memerlukan 750 hingga 900 kalori setiap hari, dengan kira-kira separuh daripada susu ibu atau susu formula dan selebihnya daripada makanan pepejal. Selain memberi makan kepada bayi menggunakan sudu atau membiarkannya menggunakan sudu, anda juga boleh memberikan makanan “berjari” untuk menggalakkan dia makan sendiri. Cuba kepingan tauhu atau keju kecil, kacang, buah yang dipotong kecil, dan pasta yang dimasak dengan baik. Cuba bersabar dengan cara makannya yang perlahan dan makanan yang tumpah di mana-mana tetapi di mulutnya, kerana dia masih belajar. Jangan risau kerana semakin banyak dia mencuba, lebih cepat dia akan berkembang dengan lebih berkebolehan dan yakin.
Dalam 10 bulan, bayi anda sudah mahir dengan makanan “berjari”. Bayi anda mungkin boleh makan makanan yang lengkap dan seimbang termasuk:
- Buah
- Sayur-sayuran
- Bijirin
- Yogurt
- Daging
Walaupun bayi anda boleh makan pelbagai jenis makanan, terutamanya apabila mereka mempunyai lebih banyak gigi, anda masih mahu mengelakkan mereka daripada tersedak. Beberapa makanan yang boleh menyebabkan bayi tercekik dan paling berbahaya kepada kanak-kanak di bawah umur 1 tahun termasuklah ‘popcorn’, kismis, kacang, gula-gula keras, anggur dan ‘hotdog’.
Cara kesan lampin basah
Memandangkan anda mungkin ingin memperkenalkan makanan baru kepada bayi anda pada usia ini, ambil perhatian bahawa ia boleh menyebabkan perubahan warna dan konsistensi pada najis. Oleh itu, berhati-hati jika najis bayi anda keras atau dia mengalami cirit-birit. Jika itu berlaku, bawa bayi anda kepada doktor supaya dia dapat diperiksa lebih awal.
Bagaimana untuk membantu bayi anda berkembang
Seperti biasa, ada banyak perkara yang boleh anda lakukan untuk membantu perkembangan bayi anda. Berikut adalah beberapa idea untuk memulakan hal itu:
- Letakkan beberapa objek yang kukuh dan selamat dalam laci atau almari yang rendah agar boleh ditemui oleh bayi anda. Ini akan membolehkannya untuk bermain secara sendiri. Menemui objek-objek ini dengan sendiri adalah menarik untuknya dan akan membantu meningkatkan keyakinannya.
- Letakkan pelindung di tangga kerana ia mungkin menarik minatnya apabila bayi sudah belajar untuk berdiri sendiri. Tetapi, pertimbangkan untuk membenarkan dia ke bahagian tangga paling rendah di bawah pengawasan anda yang berdiri tepat di bawahnya.
- Ajarkan bayi anda tindakan yang dilakukan dengan kata-kata seperti “bye-bye”, “ya” dan “tidak”. Sebagai contoh, tunjukkan kepadanya bagaimana untuk mengundurkan diri, mengangguk untuk katakan ‘ya’, dan menggelengkan kepalanya.
- Elakkan meletakkan bayi dalam ‘walker’ bayi seperti yang disyorkan oleh pakar. Peranti ini berbahaya dan mungkin mengurangkan motivasinya untuk berjalan. Sebaliknya, pertimbangkan ‘walker’ tetap, pusat bermain, atau kereta tolak dengan pemegang yang boleh dipegang.
- Mainan bayi berusia 10 bulan tidak perlu mahal. Bayi anda mungkin masih terpesona dengan kotak kosong, kadbod telur, atau juga tiub kertas tandas yang boleh dibengkokkan, dikoyak atau dihancurkan. Jika anda ingin memilih beberapa mainan untuk bayi anda, cari objek seperti boneka kecil atau boneka besar, telefon mainan, atau “kotak sibuk” dengan ciri-ciri yang boleh dipicit, ditolak dan bergerak. Ini akan membantu mengembangkan kemahiran motor dan koordinasi mata-tangan yang baik .
Masalah pembangunan (Perkara yang perlu diperhatikan)
Bayi berkembang pada kadar yang berbeza. Pada usia 10 bulan, berbincang dengan doktor atau jururawat jika:
- Bayi anda tidak gembira apabila melihat orang yang mereka kenal dengan baik.
- Bayi anda tidak membuat hubungan mata.
- Bayi anda tidak terhibur oleh anda atau penjaga rapat.
- Bayi anda tidak mula bergerak sama sekali.
- Bayi anda tidak duduk.
- Bayi anda tidak membebel atau membuat bunyi lain apabila seseorang bercakap dengan mereka.
SUMBER
https://www.pregnancybirthbaby.org.au/babys-growth-and-development-10-months-old
https://www.pampers.com/en-us/baby/development/article/10-month-old-baby
https://www.emmasdiary.co.uk/baby/month-by-month-baby-development/10-month-old-baby-development
https://www.thebump.com/baby-month-by-month/10-month-old-baby