Now Reading
Perlukah anda melakukan scaling gigi?

Perlukah anda melakukan scaling gigi?

Perlukah anda melakukan scaling gigi?

Scaling gigi dilakukan secara rutin untuk membantu pesakit yang mengalami penyakit gusi dan lebihan pengumpulan plak. Pembersihan gigi biasa hanya menumpukan ke atas permukaan gigi, namun scaling adalah proses yang lebih mendalam. Sekiranya doktor gigi anda mengesyorkan scaling gigi dan ‘root planning’ untuk gigi anda, sangat membantu untuk memahami prosedur tersebut supaya anda boleh bersedia lebih awal.

Memahami scaling gigi

Scaling adalah prosedur pergigian yang biasa bagi pesakit yang mengalami penyakit gusi. Ia merupakan jenis pembersihan gigi yang menecah ke dalam gusi untuk menyingkirkan pengumpulan plak. Proses scaling dan root planning dirujuk sebagai pembersihan mendalam. Rawatan ini melebihi pembersihan biasa yang anda terima bersama pemeriksaan dan temujanji berkala bersama doktor.

Bilakah scaling gigi diperlukan?

Semua orang mengalami pengumpulan plak. Air liur, bakteria dan protein dalam mulut membentuk lapisan nipis yang menutui gigi anda pada setiap masa. Apabila anda makan, partikel kecil, asid dan gula daripada makanan melekat pada lapisan ini dan membentuk pengumpulan yang dikenali sebagai plak. Bakteria yang tinggal dalam plak ini boleh menyebabkan penyakit gusi dan gigi berlubang. Memberus gigi, floss gigi, dan pembersihan gigi berkala merupakan cara yang boleh membantu menyingkirkan plak dan menghindari masalah yang lebih serius.

Sekiranya anda memiliki gusi yang sihat, tisu anda akan melekat dengan ketat di sekeliling gigi dan mengelakkan plak. Walau bagaimanapun, sekiranya penyakit gusi bermula, tisu ini akan menjadi semakin longgar. Gusi yang sihat melekat ada gigi sebanyak 1 hingga 3 milimeter bawah garis gusi. Dengan penyakit gusi, poket gusi anda akan menjadi lebih dalam. Poket-poket ini akan diisi dengan plak, justeru itu mengakibatkan masalah anda menjadi lebih rumit dan mengakibatkan simptom seperti nafas berbau.

Sekiranya gusi anda mempunyai poket melebihi 4 milimeter, doktor gigi anda mungkin mengesyorkan scaling gigi untuk menyingkirkan plak di bawah garis gusi dan membantu merawat penyakit gusi.

Scaling gigi melibatkan penyingkiran bakteria plak dari permukaan gigi di bawah garis gusi. Terdapat dua jenis kaedah biasa bagi scaling gigi. Sekiranya doktor gigi anda menggunakan alatan tangan, beliau akan mengikis plak daripada gigi menggunakan sejenis alat logam yang dikenali sebagai ‘scaler’ gigi dan ‘curette’. Doktor gigi akan memasukkan alat nipis ini di bawah garis gusi untuk membuang plak yang tidak tercapai oleh berus gigi anda.

Sebagai alternatif, doktor gigi anda mungkin menggunakan peranti ultrasonik untuk melakukan prosedur tersebut. Peranti ini bergegar apabila digabungkan dengan pancuran air sejuk. Hujungnya yang tipis mengikis tartar saat air dipancur.

Scaling gigi kebiasaannya diikuti dengan sejenis prosedur yang dikenali sebagairoot planning. Prosedur ini mencapai bahagian paling dalam pada akar gigi. Ia dilakukan sama seperti scaling gigi. Root planning melicinkan permukaan akar supaya gusi boleh dilekatkan kembali dengan sempurna.

Bagaimanakah prosedur scaling gigi?

Ia boleh menjadi satu proses yang tidak selesa terutamanya jika anda mempunyai gusi yang sensitif. Doktor gigi anda mungkin memberikan anestetik tempatan terlebih dahulu bagi mengebaskan tisu gusi anda dan memberikan sedikit keselesaan sewaktu prosedur tersebut. Berundinglah dengan doktor gigi anda mengenai pilihan yang tersedia sekiranya anda bimbang akan sebarang kesakitan dan ketidakselesaan.

Scaling gigi mungkin memerlukan beberapa lawatan, setiap lawatan akan tertumpu pada bahagian berbeza mulut. Sesetengah doktor gigi membahagikan mulut kepada 4 bahagian, manakala yang lain membahaginya kepada dua. Sekiranya anda risau mengenai proses scaling gigi, anda boleh membuat temujanji bersama doktor untuk melakukannya pada satu lawatan sahaja.

Apa yang boleh diharapkan?

Mulut anda mungkin akan terasa bengkak dan sensitif selepas scaling gigi dan pembedahan akar gigi. Sesetengah pesakit mengalami pembengkakan dan pendarahan selama beberapa hari selepas prosedur dijalankan. Doktor gigi anda mungkin mencadangkan ubat gigi jenis sensitif bagi melegakan ketidakselesaan tersebut. Selain itu, anda mungkin akan mendapat larutan pembersih mulut untuk digunakan selepas prosedur bagi memastikan gusi anda bersih sentiasa. Adalah penting untuk anda memberus gigi dan floss gigi dengan betul selepas prosedur dijalankan untuk menghentikan perkembangan plak baru di bahagian yang sama.

Kesimpulannya,

Scaling gigi merupakan rawatan biasa bagi pesakit yang mengalami penyakit gusi. Membuat temujanji scaling gigi boleh membantu menyingkirkan masalah plak dan mengekalkan kebersihan mulut anda. Sekiranya doktor gigi mengesyorkan pembersihan mendalam, jangan teragak-agak untuk melakukannya. Hasilnya? Anda akan mendapat senyuman yang lebih segar.

Sumber

https://www.healthline.com/health/dental-and-oral-health/teeth-scaling

https://www.123dentist.com/what-is-scaling/

https://sabkadentist.com/benefits-of-teeth-scaling-is-scaling-good-for-teeth/

error: Content is protected !!