Teruja dengan MPV baharu Perodua yang bakal menggantikan Alza yang sebelum ini dikhabarkan bakal dilancarkan seawal bulan hadapan? Kami baru sahaja melihat memo dalaman berkenaan MPV tujuh-tempat duduk yang hanya dikenali dengan kod projek D27A tersebut yang diedarkan kepada pengedar-pengedar Perodua, mendedahkan beberapa perincian penting berkenaan model baharu itu.
Setakat ini belum ada tarikh sebenar pelancaran MPV berkenaan, namun dalam dokumen tersebut mendedahkan, bermula 16 Mei lalu pengedar-pengedar Perodua diarahkan untuk bersedia bagi menerima model baharu itu serta mengeluarkan unit-unit pandu uji Alza lama dari bilik pameran.
Jadi Alza generasi baharu ini berkemungkinan akan dilancarkan pada bulan hadapan, dan ada khabar angin mengatakan bahawa ia akan dilancarkan pada 26 Jun nanti.
Memo ini turut mengesahkan bahawa MPV baharu tersebut akan ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan model asas 1.5L X CVT (kod varian BP5XZ), diikuti varian pertengahan 1.5L H CVT (BP5HZ) dan varian tertinggi 1.5L AV CVT (BP5VZ).
Nama pada varian ini juga mengesahkan bahawa MPV generasi baharu ini tidak akan menerima enjin 1.0 liter tiga-silinder turbo seperti Ativa, sebaliknya menggunakan enjin 1.5 liter NA dan dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, tanpa pilihan varian kotak gear manual.
Alza baharu ini juga dilihat akan ditawarkan dalam lima warna badan berbeza, terdiri dari satu warna solid dan empat warna metalik. Satu-satunya warna solid iaitu Ivory White, bersama Glittering Silver dan warna baru Elegant Black ditawarkan untuk ketiga-tiga varian, manakala warna Garnet Red dan Vintage Brown hanya untuk varian H dan AV.
Tiada sebarang petunjuk berkenaan harga didedahkan pada memo berkenaan. Namun berdasarkan laporan kami sebelum ini, Alza generasi baharu ini dikhabarkan akan dijual pada harga bermula RM69k bagi varian asas X. Jadi model dalam varian lebih tinggi sudah pasti dijual pada harga lebih mahal – 1.5H dikatakan akan dijual pada harga sekitar RM74k, manakala AV pun mencecah RM80k.
Sekiranya harga tersebut benar, model generasi baharu ini nampaknya masuk ke segmen lebih tinggi kerana pada model generasi sebelumnya Alza dijual pada harga RM49,944 sehingga RM60,525. Namun harga tersebut adalah atas jalan tanpa insuran bersama pengecualian cukai SST. Tanpa rebat pengecualian SST 100%, Alza sebelum ini dijual pada harga bermula RM51,490 hingga RM62,690.
Harga yang lebih tinggi tersebut juga akan menyebabkan harga MPV ini bertindan dengan model-model Perodua yang lain. Ia lebih mahal berbanding Ativa dengan harga bermula RM61,500, serta lebih kurang sama dengan SUV tujuh tempat duduk Perodua Aruz.
Walau bagaimanapun, Alza generasi baharu mempunyai kelebihan yang besar berbanding Aruz. Ini kerana ia adalah kembar kepada Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia generasi baharu yang telah dilancarkan di Indonesia, diasaskan dari platform paling terkini Daihatsu New Global Archtecture (DNGA) pacuan hadapan, berbanding Aruz yang masih menggunakan casis struktur ladder frame pacuan roda belakang.
Jadi ia juga jelas lebih besar dari Alza generasi sebelum ini dan dijangka menerima pelbagai teknologi keselamatan yang jauh lebih canggih termasuk enam-beg udara, serta sistem bantuan pemanduan dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.
Di Indonesia, Avanza dan Xenia menerima enjin 2NR-VE 1.5 liter empat-silinder NA Dual VVT-i bersama kotak gear gear D-CVT, yang dilihat sama seperti Perodua Myvi facelift 2022. Namun berbeza dengan Myvi yang menghasilkan 102 PS/138 Nm, enjin sama untuk versi MPV ini menerima talaan yang membolehkan ia menjana 106 PS ada takat 6,000 rpm dan tork maksima 138 Nm pada takat 4,200 rpm.
Dengan harga yang lebih tinggi ini juga, ada kemungkinan nama ‘Alza’ tidak lagi akan digunakan pada MPV generasi baharu tersebut. Baru-baru ini, Perodua dikesan mendaftarkan nama ‘Traz’ dan ‘Nexis di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Kedua-dua nama berkenaan difailkan di bawah kelas 12 dan kelas 37, menandakan ianya diletakkan pada kategori yang berkaitan dengan kereta.
Sumber:
Paultan.org