Sekiranya sakit gigi melanda di saat anda tidak boleh berjumpa dengan doktor gigi, sebagai contoh pada waktu malam, anda mungkin akan menjadi sangat tertekan untuk menghilangkan kesakitan tersebut. Oleh itu, bagi kelegaan sementara, kami menyediakan beberapa petua sakit gigi ini buat anda.
Pemampat sejuk
Sekiranya sakit gigi anda dikaitkan dengan bengkak, meletakkan pemampat sejuk di atas pipi anda selama 20 minit boleh memberikan kelegaan kepada diri anda. Kesejukan boleh mengebaskan kawasan yang sakit, justeru mengurangkan kesakitan gigi serta bengkak dan keradangan.
Pemampat sejuk mungkin boleh menjadi pelega sementara dan membantu anda untuk tidur, namun ia tidak menyelesaikan punca dasar sakit gigi anda. Sekiranya anda memunyai kaviti atau masalah pergigian yang lain, ia tidak akan sembuh melainkan anda berjumpa dengan doktor gigi.
Minyak cengkih
Minyak cengkih boleh digunakan sebagai rawatan sementara untuk mengurangkan kesakitan dan bengkak yang berkait dengan sakit gigi. Bagi melakukan petua ini, anda boleh mencelupkan bola kapas dalam minyak cengkih dan biarkan ia menyerap. Seterusnya, gosok bola kapas tersebut pada bahagian gigi dan gusi yang sakit.
Minyak cengkih mengandungi eugenol, yang merupakan sejenis anestetik semulajadi. Walau bagaimanapun, minyak cengkih hanya boleh melegakan kesakitan, ia tidak akan menyembuhkan masalah dasar. Selain itu, rasa minyak cengkih juga sangat pahit jadi, petua ini mungkin akan menyebabkan ketidakselesaan.
Kumur air garam
Sekiranya gigi anda sakit dan gusi anda bengkak, kumur dengan air garam hangat boleh melegakan kesakitan. Tambah beberapa sudu the garam ke dalam secawan air suam. Kumur larutan tersebut di sekeliling mulut dan ludah keluar.
Walaupun air panas dan sejuk boleh mengakibatkan ketidakselesaan semasa anda mengalami sakit gigi, air suam boleh melegakan kesakitan anda. Bukan itu sahaja, air suam juga melegakan kesakitan dan garam membantu mengurangkan bengkak pada tisu gusi anda. Sekali lagi diingatkan, petua ini hanyalah buat sementara.
Ubat sakit gigi
Untuk menahan kesakitan akibat sakit gigi, anda juga boleh mengambil ubat-ubatan tahan sakit yang dibeli di farmasi dengan mengikut arahan pada pembungkusnya. Ia adalah penting untuk anda tidak meletakkan ubat tersebut pada gigi yang sakit kerana ia boleh membakar tisu gusi berdekatan dan menyebabkan ketidakselesaan lain.
Ubat tahan sakit boleh membantu melegakan anda semasa sedang menunggu temujanji doktor. Namun, seperti petua yang lain, ia bukanlah penyelesaian jangka masa panjang. Jika anda hanya menggunakan ubat untuk menyelesaikan masalah, kesakitan anda berisiko untuk bertambah teruk.
Bilakah anda perlu berjumpa doktor?
Anda disyorkan untuk bertemu doktor secepat yang boleh, jadi lakukanlah temujanji segera. Doktor gigi selalunya akan menyediakan masa yang sesuai untuk merawat pesakit kecemasan jadi anda mungkin boleh membuat temujanji pada hari yang sama ketika kesakitan berlangsung. Jika anda mengalami simptom abses gigi seperti demam, bengkak muka atau kesakitan yang teruk pada gigi anda, tetapi anda tidak berkesempatan untuk bertemu dengan doktor gigi, pergilah ke bilik kecemasan untuk menjalani rawatan bagi keadaan anda.
Bergantung pada punca sakit gigi anda, doktor gigi akan menetapkan rawatan yang sesuai bagi keadan yang anda alami. Sekiranya anda mengalami gigi berlubang, beliau akan membersihakannya dan menampal kaviti dalam gigi anda.
Selain itu, jika gigi anda patah atau retak, doktor gigi akan membaikpulih atau mengesyorkan untuk mengganti gigi anda dengan gigi palsu. Sebaliknya, jika sakit gigi anda disebabkan oleh jangkitan sinus, simptom yang anda alami akan beransur hilang setelah jangkitan tersebut sembuh kadangkala dengan pengambilan antibiotik.
Pastikan anda berunding dengan doktor gigi sekiranya sakit gigi anda telah berlangsung selama lebih dari dua hari atau mengakibatkan ketidakselesaan yang teruk kepada diri anda.
Sumber
https://www.healthline.com/health/dental-and-oral-health/home-remedies-for-toothache