‘Dari mata, turun ke hati’. Daya penglihatan memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, termasuk pemilihan makanan. Selain gaya persembahan, warna juga memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada makanan itu menarik perhatian pengguna atau tidak. Oleh itu, pewarna makanan bertindak untuk menarik perhatian.
Warna pada makanan akan memberi isyarat kepada otak untuk meramal atau meneka rasa makanan tersebut. Persoalannya, adakah bahan pewarna yang digunakan dalam makanan memberi sebarang kesan negatif kepada tubuh badan?
Untuk merungkai semua persoalan ini, mari baca artikel mengenai pewarna makanan yang telah kami sediakan khas untuk anda yang mencari jawapan tentang pewarna makanan ini.
Apa itu bahan pewarna makanan?
Berdasarkan Peraturan-peraturan Makanan 1985, bahan pewarna makanan merupakan salah satu aditif makanan yang dibenarkan. Contoh makanan yang dibenarkan untuk ditambah bahan pewarna ke dalamnya ialah aiskrim, kek, serta minuman berperisa.
- Bahan pewarna – Digunakan untuk menjadikan makanan lebih menarik dan merangsang selera makan.
- Aditif makanan – Bahan yang selamat dimakan, yang ditambah secara sengaja ke dalam makanan dalam kuantiti kecil (tidak termasuk vitamin dan mineral).

Jenis Bahan Pewarna Makanan
Pewarna makanan terbahagi kepada dua, iaitu pewarna makanan semulajadi dan juga pewarna makanan tiruan ataupun artifisial.
Tetapi apa itu pewarna makanan semulajadi dan apa pula pewarna makanan tiruan? Lihat dan baca penerangan di bawah.
1. Pewarna Semulajadi
Sejak berkurun lamanya, bahan pewarna semulajadi daripada tumbuh-tumbuhan dan sumber mineral telah mula digunakan untuk memberi warna kepada makanan, ubat-ubatan, serta produk kosmetik.
Antara contoh bahan pewarna semulajadi tersebut ialah rempah paprika, kunyit, dan safron. Nenek moyang kita juga menggunakan bahan semulajadi seperti bunga telang, lobak merah, dan pandan untuk menambah warna ke dalam makanan.
Tumbuh-tumbuhan ini bukan hanya memberikan warna, malah turut mendatangkan pelbagai kesan positif kepada tubuh badan kerana tinggi kandungan antioksidan, vitamin, dan mineral.
2. Pewarna Tiruan/Artifisial
Bermula pertengahan abad ke-19, bahan pewarna artifisial (tiruan) mula diguna pakai dalam makanan. Pewarna tiruan yang pertama sekali dicipta adalah daripada tar arang pada tahun 1856.
Kini, kebanyakan bahan pewarna artifisial diperbuat daripada petroleum. Berbanding sumber semulajadi, pewarna artifisial memberi warna yang lebih terang.
Isu Penggunaan Pewarna Tiruan
Namun, terdapat beberapa isu yang dibangkitkan daripada penggunaan pewarna tiruan ini.
1. Alahan
Alahan makanan ialah tindak balas abnormal terhadap terhadap makanan yang dicetuskan oleh sistem pertahanan badan. Sebagai contoh, Tartrazine ialah bahan pewarna kuning yang boleh mengakibatkan kesan alahan teruk ke atas segelintir individu. Ia ditambah ke dalam makanan seperti udang, buah, serta sayur di dalam tin.
Biarpun alahan terhadap bahan pewarna makanan adalah sesuatu yang jarang berlaku, individu yang mengenal pasti diri mereka mengalami keadaan tersebut haruslah membaca label pada makanan sebelum membeli dan mengelakkannya supaya alahan dapat dihindari.
2. Pewarna Makanan dan ADHD
ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder) atau ‘Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan’ merupakan satu masalah perkembangan neurologi yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak.
Salah satu isu yang dibangkitkan daripada penggunaan bahan pewarna artifisial ialah kesannya terhadap tingkah laku hiperaktif kanak-kanak.
Banyak kajian yang telah dijalankan bagi meneliti hubungan antara kedua-duanya. Ada kajian yang membuktikan bahan pewarna sememangnya mengakibatkan kanak-kanak berkelakuan semakin hiperaktif, tetapi ada juga kajian yang menyimpulkan sebaliknya.
Sehingga hari ini, masih tiada kesimpulan yang dapat dibuat terhadap peningkatan tingkah laku hiperaktif akibat pewarna ini.
5. Pewarna makanan dan kanser
Kajian terhadap kesan pewarna tiruan ke atas risiko kanser masih giat dijalankan dan belum menemui keputusan atau kesimpulan yang konsisten.
Terdapat beberapa jenis pewarna yang didapati meningkatkan risiko kanser seperti kanser otak dan tiroid dalam kajian terhadap model haiwan.
Namun, para penyelidik tidak menjumpai bukti yang cukup untuk menyatakan bahawa kanser tersebut berpunca daripada pewarna makanan tersebut secara langsung.
Sememangnya lebih banyak kajian perlu dijalankan memandangkan pengambilan makanan dan minuman yang mengandungi pewarna tiruan kini semakin meningkat.
Kawalan Ketat Pewarna Makanan Oleh Kerajaan
1. Mempunyai peraturan tersendiri
Di Malaysia, kedua-dua bahan pewarna asli dan tiruan adalah dibenarkan untuk ditambah ke dalam makanan. Menurut Peraturan 21 dalam Peraturan-peraturan Makanan 1985, terdapat senarai bahan pewarna tiruan yang diluluskan untuk kegunaan.
Bahan-bahan pewarna ini juga harus mengikuti garis piawaian yang ditetapkan kerajaan seperti kadar peratusan minimum dan maksimum di dalam makanan.
Pengunaan bahan pewarna tiruan dikaitkan dengan risiko alahan, tingkah laku hiperaktif, serta yang paling membimbangkan adalah penyakit kanser.
\Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati hubungan antara bahan pewarna dan risiko kanser masih tidak dapat dibuktikan dengan kuat.
2. Pewarna makanan perlu dinyatakan pada label
Sekiranya anda mempunyai alahan, atau anak anda menghidapi ADHD, adalah lebih baik untuk anda meneliti label makanan dan cuba untuk mengelakkan sesetengah aditif seperti bahan pewarna tiruan.
Kebiasaannya, pada label makanan yang mengandungi aditif, akan ditulis ayat seperti “Mengandungi pewarna yang dibenarkan”.
Bahan pewarna tiruan ditambah ke dalam makanan hanya untuk menjadikannya tampak lebih menarik, dan bukanlah sebagai pembekal apa-apa nutrien tambahan. Kebanyakan makanan yang mengandungi bahan pewarna adalah makanan diproses.
Jadilah pengguna yang lebih bijak dengan memilih makanan segar, lengkap, dan seimbang berbanding makanan segera atau diproses. Ia lebih tinggi nilai nutrien, dan pastinya tidak mengandungi pewarna tiruan.
Kesimpulannya, sekiranya anda boleh mengelakkan daripada mengambil makanan yang mempunyai pewarna makanan ini, adalah lebih baik untuk berbuat sedemikian. Buatlah pilihan yang bijak dalam pengambilan makanan. Membaca jambatan ilmu.
Sumber:
https://www.fda.gov/industry/color-additives/color-additives-history
https://www.healthline.com/nutrition/food-dyes
https://www.ceriasihat.com/fakta-menarik-tentang-jagung-yang-anda-perlu-tahu/