Pengenalan
Phenibut (asid β-phenyl-γ-aminobutyric) adalah ubat psikoaktif yang dikembangkan di Rusia pada tahun 1960-an. Ia pernah, dan masih disetujui dapat mengubati pelbagai gangguan termasuk insomnia, kegelisahan dan kemurungan.
Seterusnya, ia adalah bahan kimia yang serupa dengan bahan kimia otak yang disebut gamma-aminobutyric acid (GABA). Ia digunakan sebagai ubat rekreasi dan sebagai ubatan biasa.
Kegunaan Phenibut
Phenibut digunakan untuk masalah kegelisahan, ketakutan, masalah tidur (insomnia), ketegangan, tekanan, keletihan, gangguan tekanan pasca-trauma (PTSD), kemurungan, alkoholisme dan degupan jantung tidak teratur. Ini juga digunakan untuk meningkatkan memori, belajar dan berfikir.
Kesan sampingan Phenibut
Ubat ini boleh menyebabkan banyak kesan sampingan, termasuk:
- kesan mabuk
- pening
- loya
- keseimbangan yang buruk
- keletihan
- perasaan kejutan elektrik di lengan dan kaki
Dalam dos yang besar, ia boleh menyebabkan masalah pernafasan dan tidak sedarkan diri.
Terdapat banyak risiko jika anda mengambil suplemen pemakanan yang tidak terkawal seperti ini, dan yang utama adalah ia berpotensi menyebabkan kebergantungan atau gejala penarikan (withdrawal).
Gejala penarikan (withdrawal) mungkin muncul dari beberapa jam hingga beberapa hari selepas dos terakhir anda. Gejala boleh digabungkan dengan keinginan yang kuat untuk menggunakan lebih banyak ubat.
Interaksi Phenibut
Malangnya, belum ada kajian mengenai potensi interaksi ubat antara Phenibut dan ubat-ubatan preskripsi seperti buproprion dan buspirone. Oleh itu, ianya sukar untuk memberi cadangan mengenai penggunaan suplemen yang selamat dengan ubat-ubatan anda.
Sekiranya anda berhasrat untuk menggunakan ubat ini, maklumkan pada doktor anda supaya anda dapat dipantau dengan tepat untuk sebarang kesan sampingan dan reaksi buruk daripada ubat ini.
Walaupun ia mungkin bermanfaat untuk rawatan gejala kecemasan, namun maklumat keselamatannya tidak mencukupi mengenai penggunaannya. Jadi, ia harus digunakan dengan berhati-hati dengan ubat-ubatan yang diketahui boleh mempengaruhi asid gamma-aminobutyric (GABA) atau ubat-ubatan yang dapat mengurangkan kadar pernafasan seperti:
- Benzodiazepin
- Antidepresan
- Opioid (oxycodone, hydrocodone)
Buspirone, ‘anxiolytic’ biasa yang digunakan, nampaknya mempunyai kesan pada GABA dan harus digunakan dengan berhati-hati bersama ubat ini untuk mengelakkan kesan sampingan tambahan.
Kontraindikasi Phenibut
Phenibut boleh menyebabkan ketagihan kerana individu sering mengembangkan toleransi setelah penggunaan yang berpanjangan. Disebabkan kesan yang menenangkan dan juga rasa kegirangan yang dialami oleh beberapa pengguna dengan dos ubat yang lebih tinggi, mereka berisiko mengalami kebergantungan terhadapnya.
Perkara ini berlaku terutamanya dengan penyalahgunaan bahan jangka panjang kerana pengguna cenderung meningkatkan dos mereka bukan hanya untuk mencapai perasaan yang sama, tetapi juga untuk mengelakkan kesan sampingan negatif yang timbul dengannya.
Di samping itu, gejala penarikan pula boleh timbul bagi kebanyakan pengguna apabila mereka berhenti mengambilnya.
Walau bagaimanapun, tiada maklumat yang mencukupi untuk mengetahui adakah penggunaannya selamat diambil bagi individu tertentu.
Phenibut dan kehamilan
Tidak banyak maklumat yang diketahui mengenai penggunaan ubat ini semasa kehamilan dan menyusukan bayi. Jadi, kekal di sisi yang selamat dan elakkan penggunaanya kecuali jika diarahkan oleh doktor anda.
Dos Phenibut
Dos Phenibut yang sesuai bergantung pada beberapa faktor seperti usia, kesihatan individu dan beberapa keadaan lain. Pada masa ini, tiada maklumat saintifik yang mencukupi untuk menentukan julat dos yang sesuai untuk penggunaan Phenibut.
Perlu diingatkan bahawa produk semula jadi tidak semestinya selamat dan dos boleh menjadi aspek yang penting. Pastikan anda mengikuti arahan yang relevan pada label produk dan berjumpa dengan ahli farmasi, doktor atau profesional penjagaan kesihatan anda yang lain sebelum menggunakannya.
SUMBER
https://www.verywellmind.com/phenibut-withdrawal-symptoms-4691460
https://www.webmd.com/vitamins/ai/ingredientmono-1184/phenibut
https://americanaddictioncenters.org/phenibut
https://walrus.com/questions/what-drugs-interact-with-phenibut