Presbyopia adalah sejenis keadaan kehilangan penglihatan seakan rabun dekat yang berlaku secara semula jadi semasa proses penuaan. Apabila anda sudah mencecah umur 40 an, kadangkala anda mungkin mengalami kesukaran untuk melihat objek yang dekat dengan jelas, tetapi anda dapat melihat objek yang jauh dengan baik. Keadaan ini dipanggil presbyopia. Walaupun namanya agak gah, ia bukanlah sejenis penyakit. Ini adalah keadaan semula jadi yang berlaku semasa proses penuaan dan ia boleh dirawat.
Walau bagaimanapun, Presbyopia sering dikelirukan dengan rabun dekat, padahal kedua-duanya adalah keadaan yang berbeza. Presbyopia berlaku apabila kanta semula jadi dalam mata menjadi kurang fleksibel. Rabun dekat adalah apabila bola mata anda berubah daripada bentuk asalnya, lalu mengakibatkan sinar cahaya memfokus secara tidak tepat setelah ia memasuki mata.
Simptom Presbyopia
Saat anda mengalami simptom Presbyopia, anda akan menyedari:
• Anda perlu memegang bahan bacaan pada jarak jauh.
• Penglihatan menjadi kabur pada jarak bacaan biasa
• Sakit kepala atau keletihan daripada melakukan kerja yang dekat (seperti menjahit)
Punca Presbyopia
Mata anda bergantung kepada kornea dan lensa untuk menumpukan cahaya yang digambarkan daripada objek bagi membentuk imej. Semakin dekat objek tersebut, lebih banyak lensa akan membengkok.
• Kornea adalah permukaan depan yang berbentuk kubah yang jelas dan nyata.
• Lensa adalah struktur yang jelas yang berbentuk seperti gula-gula M&M.
• Kedua-dua struktur ini membengkokkan (refract) cahaya yang memasuki mata anda untuk memfokuskan imej pada retina, yang terletak di dinding belakang mata anda.
Tidak seperti kornea, lensa adalah agak fleksibel dan boleh berubah bentuk melalui bantuan otot bulat yang mengelilinginya. Apabila anda melihat sesuatu pada jarak jauh, otot bulat tersebut berada dalam keadaan rehat. Sebaliknya, aabila anda melihat sesuatu yang dekat, otot itu akan mengecut, lalu membolehkan lensa yang agak elastik melengkung dan mengubah kuasa fokusnya.
Diagnosis Presbyopia
Presbyopia didiagnosis oleh ujian mata asas seperti penilaian pembiasan dan pemeriksaan kesihatan mata.
Penilaian pembiasan menentukan jika anda mempunyai rabun dekat atau rabun jauh, astigmatisme atau presbyopia. Doktor boleh menggunakan pelbagai instrumen dan meminta anda melihat menggunakan beberapa kanta untuk menguji jarak dan penglihatan anda.
Doktor mata mungkin akan meletakkan titisan pada mata anda untuk meluaskan lensa mata anda bagi memeriksa kesihatan mata. Prosedur ini mungkin akan menjadikan mata anda lebih sensitif dalam beberapa jam selepas pemeriksaan. Pelebaran tersebut membolehkan doktor anda melihat bahagian dalam mata anda dengan lebih mudah.
Doktor mengesyorkan bahawa seorang dewasa harus menjalani pemeriksaan mata lengkap setiap:
• 5 hingga 10 tahun di bawah umur 40 tahun
• 2 hingga 4 tahun antara umur 40 dan 54 tahun
• 1 hingga 3 tahun antara umur 55 dan 64 tahun
• 1 hingga 2 tahun bermula pada umur 65 tahun
Faktor Risiko Presbyopia
Faktor tertentu boleh membuatkan anda lebih cenderung untuk mengembangkan Presbyopia, termasuklah:
• Umur. Umur adalah faktor risiko utama bagi presbyopia. Hampir setiap individu mengalami beberapa tahap presbyopia selepas mencecah umur 40 tahun.
• Keadaan perubatan lain. Rabun dekat atau mempunyai penyakit tertentu seperti Kencing Manis, pelbagai sklerosis atau penyakit kardiovaskular boleh meningkatkan risiko presbyopia pramatang, iaitu presbyopia yang terjadi pada individu yang berumur kurang daripada 40 tahun.
• Ubat. Ubat-ubatan tertentu dikaitkan dengan simptom Presbyopia pramatang, termasuklah antidepresan, antihistamin dan diuretik.
Rawatan Presbyopia
Kebanyakan individu yang mengalami keadaan ini boleh mengatasi keadaan ini dengan menggunakan cermin mata. Berikut merupakan beberapa kriteria cermin mata yang boleh dipilih:
Pembaca: Cermin mata murah yang anda lihat di farmasi selalunya berkesan mengatasi keadaan ini. Pilih cermin mata yang paling sesuai yang membolehkan anda boleh melihat apa yang perlu dibaca.
Bifokal: Ia berfungsi dengan baik bagi ramai individu. Sekiranya anda ingin memilih kaca mata, lensa jenis ini mungkin boleh menjadi pilihan anda. Ia adalah cermin mata dengan dua preskripsi yang berbeza dalam satu lensa. Bahagian atas lensa membetulkan penglihatan jarak jauh dan bahagian bawah lensa membantu anda melihat objek dekat.
Lensa progresif: Mempunyai fungsi yang sama seperti bifokal, tetapi melibatkan peralihan jarak fokus secara beransur-ansur atau campuran antara kedua-dua preskripsi serta tidak mempunyai bahagian yang berasingan.
Sumber:
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/presbyopia/symptoms-causes/syc-20363328
https://www.webmd.com/eye-health/eye-health-presbyopia-eyes