Now Reading
Produk kesihatan: Adakah ia benar-benar berkhasiat buat badan kita?

Produk kesihatan: Adakah ia benar-benar berkhasiat buat badan kita?

produk kesihatan

Memandangkan semakin ramai masyarakat kita yang mula menjalani kehidupan yang sihat, banyak syarikat telah mengambil kesempatan ini untuk mengeluarkan produk-produk kesihatan yang dikatakan berkhasiat buat pengguna.

Namun, sejauh manakah bahan-bahan yang digunakan itu boleh memberi kebaikan kepada kita? Sebagai pengguna, kita berhak mengetahui fakta yang betul dan bukannya fakta yang hanya digunakan sebagai strategi pemasaran sahaja.

Baru-baru ini, sebuah produk susu pisang mendakwa bahawa kandungan bahannya mampu mengurangkan masalah obesiti, membuang toksik badan serta meningkatkan kadar metabolisma.

Namun begitu, isu ini mendapat perhatian daripada pihak kesihatan seperti Dr. Amalina Bakri yang mengatakan di laman Twitternya bahawa kenyataan tentang susu tersebut dilihat agak mengelirukan. Ianya semakin mencurigakan kerana ada pengguna Twitter yang lain mengatakan bahawa susu pisang tersebut ternyata tidak mempunyai bahan utama iaitu pisang langsung.

Setelah ia menjadi ‘viral’ di laman sosial, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi kenyataan bahawa mereka sangat memandang serius akan penjualan dan pengiklanan susu pisang tersebut yang dilihat hanya ingin mengaut keuntungan di sebalik informasi kesihatan yang salah.

Ini adalah satu satu langkah yang baik kerana selepas ini, syarikat pengeluar produk kesihatan begini haruslah peka dan tidak hanya mengeluarkan kenyataan palsu demi keuntungan sahaja.

Jadi, mari lihat langkah mudah untuk mengenal pasti sekiranya produk kesihatan yang anda beli itu benar-benar berkhasiat ataupun tidak.

Baca label produk dengan teliti

Kebanyakan penggunakan tidak melakukan langkah ini kerana biasanya bahan-bahan yang dinyatakan pada produk ditulis dalam bahasa saintifik, jadi tidak semua orang boleh memahaminya. Jika anda benar-benar ingin tahu tentang pembuatan sesuatu produk kesihatan itu, cari maksud atau kegunaan setiap bahan itu di Internet terutamanya di portal-portal kesihatan yang ada. Dalam dunia teknologi sekarang, semua perkara sudah berada di hujung jari anda. Ia hanya memerlukan usaha sahaja.

Baca ‘review’ pengguna lain

Sebelum membeli sesuatu produk, pastikan anda membaca pendapat pengguna lain berkenaan produk tersebut. Kadangkala, ‘review’ inilah yang membantu kita dalam membuat sesuatu keputusan. Anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut tentang produk ini yang tidak dimaklumkan dalam iklan atau pada produk kerana biasanya pengguna yang telah mencubanya akan menceritakan pengalaman mereka secara terperinci. Jangan terpedaya dengan trend sekarang kerana kebanyakannya hanyalah dibuat untuk memperdayakan pengguna terutamanya golongan muda.

Lihat perubahan pada diri anda dahulu

Sekiranya anda sudah terbeli sesuatu produk kesihatan, gunakan ia dahulu agar ianya tidaklah dikatakan membazir. Lihat sekiranya ada sebarang perubahan pada fizikal mahupun emosi anda. Ia mungkin tidak menunjukkan kesan dengan cepat, tetapi jika anda berasa seperti tidak mahu kerugian duit, tidak salah untuk anda mencubanya dahulu. Namun, jika anda was-was, jangan teruskan pengambilan produk sebegini. Duit boleh dicari, namun sanggupkah anda mengorbankan kesihatan anda demi kos yang telah ditanggung itu?

Laporkan pada pihak yang terlibat

Sekiranya anda mendapati bahawa produk kesihatan yang anda beli atau ambil itu mencurigakan, laporkan pada pihak yang tertentu. Sebagai contoh, dalam kes susu pisang ini, laporkan pada Kementerian Kesihatan Malaysia agar mereka boleh membuat siasatan lanjut. Tindakan anda ini juga boleh membantu mereka mengambil tindakan pada pengeluar-pengeluar produk yang tidak bertauliah ini. Anda juga dianggap sebagai ‘hero’ kerana telah membantu menghalang individu lain daripada menjadi terjebak dengan produk sebegini.

JADI,

Sentiasa peka dengan produk-produk yang semakin berleluasa di pasaran. Tidak semua yang dikatakan berkhasiat itu adalah benar. Kenal pasti bahan yang mencurigakan dan ambil tindakan yang betul sekarang!

SUMBER

https://www.proxinet.com/precautions-to-take-when-buying-health-products-online

https://www.medicalopedia.org/8226/5-tips-to-buying-health-products-online

https://52.172.10.173/articles/health/5-important-things-to-consider-before-buying-medical-insurance-policy-for-your-parents

https://www.consumer.ftc.gov/articles/0023-buying-health-products-and-services-online

error: Content is protected !!