Prolaps Rektum berlaku apabila sebahagian bahagian bawah usus besar (rektum) tergelincir di luar pembukaan otot pada akhir saluran pencernaan (anus). Ia boleh mengakibatkan inkontinensia najis.
Inkontinensia najis adalah ketidakupayaan rektum untuk mengawal pergerakan usus menyebabkan najis terkeluar dari landasan yang betul. Ia terdiri daripada beberapa peringkat antaranya, najis terkeluar sewaktu buang angin hinggalah tiada upaya langsung untuk menahan najis dari keluar.
Prolaps rektum boleh dirawat dengan menggunakan pelembut najis, suppositori (ubat yang dimasukkan ke dalam dubur atau faraj) dan ubat-ubatan lain. Kebiasaannya, pembedahan akan dijalankan untuk merawat prolaps rektum ini.
Jenis Prolaps Rektum
Terdapat tiga jenis prolaps rektum iaitu:
- Ketebalan penuh: Ketebalan penuh dinding rektum menonjol di luaran melalui dubur. Ini adalah jenis prolapse rektum yang paling biasa terjadi. Ia boleh menampakkan penonjolan rektum separa atau sepenuhnya.
- Mucosal: Hanya lapisan dubur (dikenali sebagai mukosa) yang menonjol keluar dari dubur.
- Dalaman: Rektum terlipat di dalam dubur, tetapi tidak menonjol keluar melalui dubur.
Simptom Prolaps Rektum
Simptom prolaps rektum yang boleh dikenalpasti oleh anda adalah:
- Merasakan satu bonjolan di luar dubur anda
- Melihat ketulan berwarna merah di luar pembukaan dubur anda
- Berasa sakit di bahagian dubur atau rektum
- Pendarahan dari rektum
- Keluar darah, kotoran, atau lendir dari dubur
Sekiranya anda mengalami simptom-simptom di atas, segeralah berjumpa doktor anda untuk bantuan dan rawatan.
Punca Prolaps Rektum
Pelbagai perkara boleh menyebabkan keadaan ini berlaku, termasuklah:
- Mengalami cirit-birit atau sembelit dalam jangka masa yang lama.
- Memberi tekanan lebih untuk mengeluarkan najis setiap kali anda membuang air besar.
- Faktor usia, umur tua melemahkan otot dan ligamen di Kawasan rektum.
- Pernah mengalami kecederaan di kawasan dubur atau pinggul.
- Terdapat kerosakan saraf yang menjejaskan keupayaan otot anda untuk mengetatkan dan melonggarkan dubur (anus) sewaktu proses membuang air besar.
Diagnosis Prolaps Rektum
Doktor akan melihat sejarah perubatan anda, bertanya anda mengenai simptom yang dialami, dan menjalankan pemeriksaan fizikal.
Pemeriksaan fizikal akan melibatkan doktor memasukkan jari yang dibalut dengan sarung tangan yang dilicinkan ke dalam rektum anda. Ia boleh menyebabkan ketidakselesaan dan mungkin juga memalukan. Tetapi jangan risau, ia tidak menyakitkan. Pemeriksaan ini sangat penting untuk diagnosis yang tepat.
Ujian lanjutan mungkin diperlukan untuk mengesahkan diagnosis atau membatalkan sebarang proses lain yang perlu dilakukan. Antara ujian lanjutan tersebut adalah::
- Proktografi: Sejenis ujian X-ray yang menunjukkan imej saluran rektum dan dubur semasa pergerakan usus.
- Kolonoskopi: Kamera yang panjang, fleksibel, seperti tiub yang dipanggil kolonoskop akan dimasukkan ke dalam dubur untuk melihat dengan lebih dekat pada usus besar dan rektum.
- Ultrabunyi Endoanal: Sejenis alat ultrabunyi berbentuk jarum (probe) digunakan untuk melihat otot yang digunakan untuk mengawal usus.
Rawatan Prolaps Rektum
Rawatan utama prolaps rektum biasanya melibatkan pembedahan. Namun, rawatan lain boleh juga digunakan, seperti pelembut najis, suppositori, dan ubat-ubatan lain.
SUMBER
https://www.webmd.com/digestive-disorders/what-is-rectal-prolapse#1
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/rectal-prolapse/symptoms-causes/syc-20352837