Puasa selang-seli atau juga dikenali sebagai ‘intermittent fasting’ merupakan satu ‘trend’ kesihatan dan kecergasan paling terkenal di dunia. Ramai yang mengamalkannya untuk mengurangkan berat badan, meningkatkan tahap kesihatan dan pada masa yang sama memudahkan gaya hidup mereka.
Tambahan pula, banyak kajian menunjukkan bahawa kaedah berpuasa ini mempunyai kesan yang hebat bagi badan dan otak anda. Ia juga dikatakan boleh membantu anda hidup dengan lebih lama.
Kaedah berpuasa bukanlah suatu perkara yang asing kerana ia telah lama diamalkan sepanjang tempoh evolusi manusia. Pemburu-pemburu purba dahulu kala tidak mempunyai pasar raya, peti sejuk atau makanan yang tersedia sepanjang tahun dan mudah didapati seperti kita pada hari ini, jadi apa yang mereka lakukan sementara mencari makanan? Ya, mereka berpuasa. Manusia kini boleh hidup dan berfungsi tanpa makanan untuk jangka masa yang lama.
Malah, berpuasa dari masa ke semasa adalah lebih semulajadi berbanding sentiasa makan sebanyak 3 atau 4 kali (atau lebih) dalam sehari. Kaedah ini juga sering diamalkan bagi tujuan agama atau rohani seperti Islam, Kristian, Yahudi dan Buddha. Dalam agama Yahudi, adanya tempoh Yom Kippur yang memerlukan penganutnya berpuasa selama 25 jam. Bagi masyarakat Muslim pula, terdapat bulan khas yang dipanggil sebagai bulan Ramadhan. Dalam bulan ini, semua individu Muslim yang menepati syarat diwajibkan berpuasa selama sebulan dan tempoh berpuasa adalah berbeza mengikut lokasi.
Berdasarkan satu laman di Facebook berkenaan kaedah berpuasa secara selang-seli, individu yang telah berjaya dengan kaedah ini menceritakan tentang kisah kejayaan mereka untuk dijadikan sebagai teladan. Salah satunya termasuklah pengguna bernama Tonya Sue yang mengatakan bahawa kaedah berpuasa yang diamalkan telah membantu menyembuhkan penyakit autoimun serta mengurangkan keinginannya untuk makan makanan yang tidak sihat. Dia juga pertama kali berasa lebih tenang tentang badan serta pengambilan makanan hariannya.
Selain itu, dalam kumpulan yang sama, Mary Reiner Colleran yang menghadapi masalah kekurangan gula dalam darah telah kehilangan hampir 11 kilogram selepas berpuasa selama 16 jam sehari. Selain itu, Mary juga dapat tidur dengan lebih baik dan lebih bertenaga. Ia juga merupakan satu gaya hidup yang boleh diikuti buat masa yang lama.
Banyak lagi kisah-kisah menarik yang anda boleh baca mengenai keberkesanan kaedah berpuasa ini di media sosial. Anda mungkin akan lebih tertarik untuk mencubanya setelah melihat keberkesanan pada orang lain.
Kandungan
Apa yang dimaksudkan dengan berpuasa secara selang-seli?
Kaedah puasa secara selang-seli adalah satu corak pemakanan yang meliputi tempoh berpuasa dan tempoh tidak berpuasa (tempoh makan). Ianya tidak mengkhususkan sebarang pemakanan tertentu namun lebih kepada bila anda boleh mengambilnya. Justeru itu, kaedah berpuasa ini bukanlah sejenis diet dalam pengertian konvensional tetapi lebih tepat digambarkan sebagai sejenis corak pemakanan sahaja.
Selain itu, kaedah puasa secara selang-seli yang biasa dilakukan termasuklah berpuasa selama 16 jam atau berpuasa selama 24 jam dua kali seminggu. Dalam tempoh berpuasa, tidak kiralah berapa jam sekalipun, tiada makanan langsung yang boleh diambil. Namun, anda masih dibenarkan untuk minum air biasa, teh, kopi dan minuman tidak berkalori yang lain.
Kini, kaedah ini telah banyak diguna pakai oleh guru atau pakar kesihatan di seluruh dunia untuk menyebarkan manfaat yang ditawarkan. Berpuasa juga bukanlah suatu perkara yang aneh kerana ia boleh diamalkan seperti sebahagian daripada kehidupan biasa. Mempelajari cara berpuasa dengan betul juga memberikan kita pilihan untuk meneruskannya ataupun tidak.
Anda boleh mula berpuasa mengikut tempoh yang anda tetapkan sama seperti tempoh yang dibolehkan untuk makan. Malah, anda juga boleh bermula dan berhenti berpuasa tanpa atau dengan alasan sendiri begitu sahaja.
Adakah berpuasa sama seperti kebuluran?
Tidak. Berpuasa berbeza daripada kebuluran berdasarkan satu aspek penting iaitu kawalan. Kebuluran berlaku kerana ketiadaan makanan secara tidak sukarela buat tempoh yang lama dan boleh menyebabkan penderitaan yang serius atau juga kematian. Ianya tidak disengajakan dan tidak dapat dikawal.
Berpuasa sebaliknya pula adalah ketiadaan makanan secara sukarela bagi tujuan keagamaan, kesihatan atau atas sebab-sebab lain. Kaedah ini dilakukan oleh mereka yang tidak terlalu kurus dan mempunyai lemak badan yang mencukupi untuk disimpan dan digunakan. Seterusnya, kaedah berpuasa yang dilakukan secara betul tidak akan menyebabkan penderitaan atau lebih-lebih lagi, kematian.
Makanan sudah tersedia dan senang didapati, tetapi anda memilih untuk tidak memakannya. Begitulah konsep mudah tentang berpuasa. Tempoh itu juga boleh berlarutan daripada berapa jam hingga ke berapa hari. Ia juga boleh menjadi lebih lama daripada itu dengan pengawasan doktor.
Baik, adakah terdapat kaedah spesifik bagi memulakan puasa secara selang-seli ini?
Terdapat beberapa cara berbeza dalam berpuasa secara selang-seli dan kesemuanya melibatkan berpuasa mengikut hari atau berdasarkan tempoh tertentu. Berpuasa mengikut hari bermaksud bahawa anda berpuasa berdasarkan pengambilan makanan kurang daripada kalori asas yang diperlukan badan anda. Hari yang berikutnya adalah hari anda ‘melantak’, iaitu makan sebanyak mana yang anda mahukan. Selain itu, berpuasa berdasarkan tempoh tertentu pula bermaksud anda hanya berpuasa selama 1 atau 2 hari dalam seminggu. Bagi 5 atau 6 hari selebihnya, anda makan seperti biasa.
Beberapa cara berbeza dalam puasa secara selang-seli ini termasuklah:
- Kaedah 16/8 – Anda menahan diri daripada makan selama 16 jam dan 8 jam selebihnya adalah tempoh anda tidak berpuasa.
- Kaedah 24 jam puasa atau ‘Makan-Henti-Makan’ – Anda berpuasa selama 24 jam sebanyak sekali atau dua kali seminggu. Sebagai contoh, jika makanan terakhir anda diambil pada pukul 8 malam hari Isnin, anda hanya boleh makan semula pada waktu yang sama keesokan harinya.
- Kaedah Diet 5:2 – Anda makan seperti biasa selama 5 hari tetapi mengehadkan pengambilan kalori sebanyak 500 hingga 600 kalori sahaja buat 2 hari yang tidak berterusan.
- Kaedah 20 jam puasa atau diet ‘Pahlawan’ – Anda berpuasa selama 20 jam dan makan seperti biasa selama 4 jam selepas itu.
Jadi, bolehkah berpuasa meningkatkan tahap kesihatan saya?
Kaedah berpuasa secara selang-seli yang melibatkan tempoh berpuasa sekitar 16 jam sehari adalah salah satu jenis diet yang paling banyak diamalkan masyarakat kerana ia membantu anda untuk mengurangkan berat badan dengan cepat.
Namun, ada juga pihak mengatakan bahawa kaedah berpuasa ini menjanjikan lebih banyak manfaat seperti dapat meningkatkan tahap imun badan kita. Pengkaji juga sudah mula mengkaji sekiranya kaedah berpuasa secara selang-seli ini mampu memberi kebaikan pada kesihatan jantung dan merendahkan risiko mendapat kanser.
Selain itu, banyak kajian telah dijalankan berkenaan kaedah berpuasa ini kepada haiwan mahupun manusia. Ternyata, keputusan kajian tersebut menunjukkan bahawa terdapat manfaat berpuasa secara selang-seli yang membantu dalam kawalan berat badan serta aspek kesihatan badan dan otak anda.
Sebagai contoh, berdasarkan satu kajian Sekolah Perubatan Yale, mengamalkan diet dan berpuasa pada waktu yang sama menghasilkan satu kompaun yang mencegah sistem imun anda daripada menghasilkan protein yang berkaitan dengan penyakit seperti kencing manis dan aterosklerosis.
Saya sering membaca bahawa berpuasa boleh membuatkan kita cepat letih. Apakah kesan sampingan lain yang perlu saya tahu?
Apabila anda berpuasa, beberapa perkara berlaku pada tahap selular dan molekul dalam badan. Sebagai contoh, badan anda akan mula menyesuaikan tahap hormon untuk mengakses lemak yang disimpan dengan lebih mudah.
Ramai individu yang khuatir bahawa berpuasa akan menyebabkan mereka berada dalam keadaan yang serabut sekiranya mereka tidak makan sejak pagi. Antara kesan sampingan lain termasuklah selalu berasa lapar dan cepat letih. Dalam pada itu, anda juga mungkin mengalami kesan sampingan ketika berpuasa secara selang-seli yang lain seperti pening kepala, pedih ulu hati, kembung perut dan cirit-birit. Namun, ianya adalah kesan sampingan biasa sekiranya anda berhenti makan dalam satu tempoh tertentu secara tiba-tiba. Ia hanyalah satu cara badan untuk berkomunikasi dengan anda sahaja.
Kesan sampingan ini biasanya berlanjutan sekitar seminggu atau paling lama, 3 minggu sahaja. Walau bagaimanapun, kesannya boleh menjadi lebih kompleks sekiranya anda mempunyai masalah dengan pengawalan gula dalam darah atau mempunyai kencing manis. Sekiranya anda mempunyai keadaan sebegini, pastikan anda berjumpa dengan doktor atau pakar nutrisi terlebih dahulu sebelum mencuba untuk berpuasa.
Siapakah yang boleh mengikuti kaedah berpuasa ini?
Kaedah berpuasa secara selang-seli bukanlah boleh dilakukan oleh semua orang. Ia hanyalah salah satu cara yang ada untuk membantu anda meningkatkan tahap kesihatan anda sahaja. Jadi, anda tidak perlu berasa rugi sekiranya anda tidak melakukannya. Terdapat beberapa kriteria puasa secara selang-seli yang perlu dipertimbangkan sebelum anda mencuba kaedah ini.
Jika anda tidak dapat mengikuti diet jenis lain kerana penyekatan pengambilan beberapa jenis makanan atau makronutrien, anda adalah individu yang sesuai untuk mencuba kaedah berpuasa ini. Selain itu, sekiranya anda cenderung mendapat masalah pencernaan pada waktu malam, kaedah ini mungkin sesuai kerana anda boleh berpuasa sebelum tidur.
Namun begitu, kaedah ini tidak wajar dilakukan oleh mereka yang terlalu kurus. Tujuan seseorang berpuasa kebiasannya kerana ingin mengurangkan berat badan, jadi jika anda mempunyai berat badan yang kurang, mengapa anda ingin mengurangkannya lagi? Pada waktu yang sama, golongan wanita yang sedang hamil atau menyusukan anak juga tidak dinasihatkan berpuasa kerana bimbang boleh menjejaskan kesihatan diri dan bayi mereka.
Mari mulakan kaedah berpuasa secara selang-seli ini!
Memandangkan anda sudah lebih berpengetahuan mengenai kaedah berpuasa ini dengan membaca soalan lazim puasa selang-seli, bagaimana anda boleh memulakan puasa secara selang-seli dengan langkah yang betul? Ada beberapa cara yang dicadangkan termasuklah:
- Tentukan kaedah berpuasa mana yang anda ingin lakukan.
- Tentukan tempoh berpuasa anda.
- Mula berpuasa, sekiranya anda berasa tidak sihat atau mempunyai masalah lain, berhenti berpuasa.
- Teruskan aktiviti lain yang tidak melibatkan makanan. Sibukkan diri dan hidup seperti biasa.
- Berbuka puasa dengan mengambil makanan yang tidak berlebihan.
- Ulang kesemua langkah di atas.
Di samping itu, anda juga boleh menambah ilmu berdasarkan pembacaan mengenai soalan lazim kaedah berpuasa secara selang-seli kerana mungkin terdapat jawapan bagi persoalan anda yang tiada di artikel ini.
SUMBER
https://www.nerdfitness.com/blog/a-beginners-guide-to-intermittent-fasting/
https://www.healthline.com/nutrition/intermittent-fasting-guide