Pulau Besar Johor merupakan salah satu pulau yang berada di rantau pantai timur Semenanjung Malaysia. Walaupun nama pulau ini tidak segah pulau-pulau lain di pantai timur Semenanjung Malaysia, tetapi Pulau Besar Johor ini sebenarnya tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan tempat peranginan yang lain.
Mutiara Tersembunyi
Jika dahulu, pulau ini lebih dikenali sebagai Pulau Babi Besar tetapi sekarang namanya sudah ditukar ke Pulau Besar sahaja. Pulau ini terletak di daerah Mersing, Johor dan berada sejauh 15km dari pantai timur tanah Johor. Pulau ini turut dikelilingi oleh beberapa pulau peranginan lain iaitu Pulau Rawa, Pulau Sibu dan Pulau Tinggi. Kebanyakan orang menganggap Pulau Besar Johor ini sebagai sebuah Mutiara tersembunyi kerana tidak ramai yang mengenali pulau ini. Perkara ini menyebabkan pulau ini menjadi sasaran pengunjung atau pelancong yang ingin datang mengecapi ketenangan alam serta jauh dari hiruk pikuk kota-kota besar.
Pulau ini digambarkan sebagai pulau yang damai, senyap, pasir putih yang bersih dan air lautnya yang jernih serta tampak seperti kristal yang berkilau-kilau. Jadi tidak menghairankan, ramai blogger dan penulis website antarabangsa dari luar negara yang pernah mengunjungi Pulau Besar Johor ini menggambarkan pulau ini sebagai syurga di dunia nyata dek kerana keindahannya.
Pulau Besar yang Kaya dengan Khazanah Alam
Kerajaan Malaysia telah mengazetkan perairan Pulau Besar Johor ini sebagai taman marin untuk melindungi kira-kira 60 spesies hidupan marin yang menghuni perairan mutiara tersembunyi ini. Usaha ini dilakukan sebagai usaha perlindungan ke atas hidupan laut ini daripada diganggu aktiviti-aktiviti manusia. Taman marin ini melitupi kira-kira dua batu nautika daropada garis pantai Pulau Besar Johor iaitu kira-kira 3.7 km jaraknya.
Puncak tertinggi pula terletak pada 258 meter dari paras laut. Pulau Besar johor juga kaya dengan hasil bumi dan hutan yang menghijau. Hutan tropika masih banyak terletak di kawasan pulau ini di mana terdapat enam kampung tempat penghuni asal Pulau Besar. Keenam-enam kampung ini masih ada di Pulau Besar Johor ini dan mereka inilah yang duduk tinggal mendiami pulau ini jauh daripada kesesakan bandar raya. Kampung-kampung ini diberi nama Kampung Atap Zink, Kampung Batu Hitam, Kampung Busong, Kampung Teluk Bakau, Kampung Teluk Kampa dan Kampung Teluk Penagat.
Cara Ke Pulau Besar Johor
Sekiranya anda ingin merancang untuk bercuti dan menikmati kesunyian alam serta ketenangan air laut, anda boleh menggunakan bas ekspres dari bandar-bandar utama Malaysia untuk ke jeti Mersing, Johor. Terdapat juga tempat parkir berbayar di kawasan jeti ini sekiran anda menaiki kereta milik anda sendiri atau kereta sewa. Dari Jeti Mersing, anda akan menggunakan bot untuk ke Pulau Besar. Perjalanan bot ini akan mengambil masa 30 minit sahaja. Anda boleh menempah tiket bot ini di Jeti Mersing atau selalunya perjalanan ulang alik dari Jeti Mersing ke Pulau Besar ini turut tersedia dalam pakej resort atau chalet di sini.
Setibanya di Pulau Besar ini, anda boleh terus ke resort atau chalet tempat penginapan anda. Usah risau kerana walaupun nama pulau ini ialah Pulau Besar, saiz pulau ini agak kecil dan anda boleh ke mana-mana dengan berjalan kaki sahaja. Kebanyakan pengunjung dan pelancong yang mengunjungi pulau ini niat utama mereka adalah untuk berehat sahaja dan menikmati kedamaian suasana pulau yang jauh daripada kesesakan manusia dan kesibukan kota raya.
Aktiviti-aktiviti di Pulau Besar Johor
Pulau Besar Johor ini sememangnya menyajikan suasana yang sangat seusai untuk aktiviti sukan laut dan pantai. Di sini, tersedia beberapa penyedia perkhidmatan untuk aktiviti selaman skuba, snorkeling, memancing dan island hopping. Melalui aktiviti island hopping, anda akan dibawa melawat kawasan sekitar menggunakan bot dan juga akan singgah ke beberapa pulau-pulau kecil lain yang berada di sekeliling Pulau Besar Johor ini.
Dengan cuaca yang baik, anda juga boleh beriadah di pantai untuk bermain bola tampar pantai atau futsal. Anda juga boleh melakukan jungle trekking sekiranya anda ingin meneroka keindahan alam semula jadi di hutan tropika ini.
Anda turut juga boleh menyewa motosikal atau basikal untuk mengelilingi pulau ini bersama yang tersayang. Untuk anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut aktiviti harian penduduk Pulau Besar Johor ini, anda turut juga boleh melawat kelong iaitu platform buatan di lautan yang digunakan oleh nelayan tempatan untuk menangkap ikan.
Selain itu, di setiap resort di Pulau Besar ini, para pengunjung juga boleh menerima perkhdimatan spa yang membantu badan berehat setelah tidak berhenti-henti bekerja. Selain berenang di lautan, anda juga boleh berenang di kolam renang yang tersedia di resort ini. Ada juga resort yang menawarkan servis sewaan kanu dan sekiranya anda menyukai cabaran, anda boleh lah merasai sendiri pengalam berkanu di Pulau Besar.
Masa Terbaik Mengunjungi Pulau Besar Johor
Waktu terbaik untuk mengunjungi Pulau Besar Johor ialah dari Bulan April sehingga September. Waktu lain mungkin tidak sesuai kerana pada waktu tersebut Pulau Besar Johor yang terletak di pantai timur Semenanjung Malaysia ini menagalami musim angin monsun. Pada musim angin monsun ini, keadaan laut akan menajdi bergelora dan angin ribut akan menajdi lebih kerap daripada biasa. Disebabkan Pulau Besar Johor ini juga merupakan pulau yang kecil, kebarangkalian untuk resort-resort di pulau ini untuk tutup sementara ketika musim angin monsun ini juga menjadi lebih tinggi.
Jika diberikan peluang, apa lagi? Jomlah kita ke Pulau Besar! Mutiara tersembunyi di negara kita ini.
SUMBER
https://en.wikipedia.org/wiki/Besar_Island,_Johor
https://www.sgmytaxi.com/pulau-besar
https://happygokl.com/visiting-pulau-besar/
https://www.tripinasia.com/best-islands-in-johor-malaysia/
https://www.freepik.com/free-photo/mask-snorkel-diving-beach_4551666.htm