Rabies adalah virus yang menyerang sistem saraf pusat anda. Virus ini hanya didapati pada mamalia.
Kes-kes terhadap manusia sangat jarang berlaku, tetapi jika ia tidak dirawat sebelum gejala muncul, ia boleh mengancam nyawa anda. Virus ini mempunyai kadar kematian tertinggi iaitu, 99.9% di antara semua penyakit di dunia. Rabies harus dirawat dengan segera jika anda telah terdedah kepada haiwan yang mempunyai virus tersebut.
Simptom Rabies
Biasanya, tiada gejala awal bagi individu yang dijangkiti rabies. Ia boleh menjadi tidak aktif dalam badan anda selama 1 hingga 3 bulan. Doktor memanggil tempoh tersebut sebagai “tempoh inkubasi.”. Simptom hanya akan muncul apabila virus telah bergerak melalui sistem saraf pusat ke otak anda.
Tanda awal serangan virus ini pada badan anda adalah demam. Selain itu, anda mungkin berasa lelah atau lemah dan sakit, kesemutan, atau terbakar di bahagian luka gigitan haiwan yang membawa virus. Oleh kerana virus ini disebar melalui sistem saraf pusat anda, anda juga akan mempunyai gejala-gejala lain yang lebih teruk seperti:
- Ketidakupayaan tidur (insomnia)
- Kebimbangan
- Kekeliruan
- Lumpuh sedikit atau separa
- Hiperaktif
- Mudah marah
- Halusinasi
- Mengunyah lebih daripada biasa
- Kesukaran menelan
Seiring masa, simptom ini boleh mengakibatkan koma, kegagalan jantung atau paru-paru, dan kematian.
Punca Rabies
Jangkitan rabies disebabkan oleh virus rabies. Virus ini tersebar melalui air liur haiwan yang dijangkiti. Haiwan yang dijangkiti menyebarkan virus ini dengan menggigit haiwan lain atau manusia.
Dalam kes yang jarang berlaku, virus ini boleh merebak apabila air liur haiwan yang dijangkiti masuk ke dalam luka terbuka atau membran mukus seperti mulut atau mata. Keadaan ini boleh berlaku jika haiwan yang dijangkiti menjilat potongan terbuka pada kulit anda atau air liurnya terkena luka tersebut.
Haiwan yang boleh membawa virus rabies
Mana-mana mamalia (haiwan yang menyusukan anaknya) boleh membawa virus rabies. Haiwan yang sering membawa virus ini kepada manusia adalah:
– Haiwan peliharaan dan haiwan ternakan
- Kucing
- Lembu
- Anjing
- Feret
- Kambing
- Kuda
– Haiwan liar
- Kelawar
- Beaver
- Koyote
- Serigala
- Monyet
- Rakun
- Skunk
- Tupai Woodchuck
Walaupun jarang berlaku, virus tersebut berkemungkinan disebarkan melalui organ yang dijangkiti kepada penerima tisu dan penerima organ melalui pendermaan organ.
Diagnosis Rabies
Sewaktu anda digigit, biasanya tiada cara untuk memberitahu dengan pasti sama ada haiwan tersebut adalah ‘rabid’ (pembawa virus rabies) atau sama ada ia telah menyebarkan jangkitannya pada anda.
Ujian makmal boleh menunjukkan antibodi anda tetapi gejalanya mungkin mengambil masa untuk muncul. Virus ini boleh dikesan daripada air liur atau melalui biopsi kulit. Walau bagaimanapun, pada masa diagnosis disahkan, mungkin sudah terlambat bagi anda untuk mengambil sebarang tindakan.
Atas sebab ini, pesakit biasanya memulakan rawatan ‘prophylactic’ sekaligus, tanpa menunggu diagnosis disahkan.
Jika seseorang mengalami gejala ‘virus ensefalitis’ berikutan gigitan haiwan, mereka juga harus dirawat seolah-olah mereka mempunyai virus tersebut.
Faktor Risiko Rabies
Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko rabies termasuklah:
- Mengembara atau tinggal di negara-negara sedang membangun di mana rabies merupakan kes yang biasa berlaku termasuklah negara di Afrika dan Asia Tenggara.
- Menyertai aktiviti yang mungkin melibatkan anda dengan haiwan liar yang mungkin mempunyai virus itu, seperti menjelajahi gua di mana kelawar hidup atau berkhemah tanpa mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghalau haiwan liar dari tapak perkhemahan anda.
- Bekerja di makmal dengan virus tersebut.
- Terdapat luka di kepala atau leher, yang boleh mempercepatkan perjalanan virus berkenaan ke otak anda.
Rawatan Rabies
Selepas pendedahan dan sebelum gejala bermula, satu siri suntikan boleh menghalang virus daripada berkembang. Biasanya, cara ini berkesan.
Siri suntikan tersebut adalah:
- Dos globulin imun rabies cepat bertindak: Disuntik secepat mungkin berhampiran luka gigitan. Ia boleh menghalang virus daripada menjangkiti individu.
- Satu siri vaksin rabies: Ia akan disuntik ke lengan anda selama 2 hingga 4 minggu dan boleh membantu melatih badan anda melawan virus itu.
Malangnya, ia adalah sesuatu yang mustahil untuk mengetahui sama ada haiwan yang menggigit anda mempunyai virus tersebut atau tidak. Perkara paling selamat untuk dilakukan adalah dengan menganggap sebarang kes gigitan haiwan, ringan atau berat, sebagai situasi yang teruk dan terus berjumpa doktor untuk mendapatkan suntikan rabies tanpa lengah.
Sebilangan kecil individu telah berjaya sembuh dari penyakit itu, tetapi kebanyakan kes telah membawa maut apabila gejala sudah berkembang. Tiada lagi rawatan yang berkesan pada peringkat ini.
SUMBER
https://www.healthline.com/health/rabies