Folikulitis adalah jangkitan yang berlaku disebabkan oleh kulat atau bakteria yang menjejaskan folikel rambut. Ia paling banyak berlaku pada wajah, kulit kepala, paha, dan pangkal paha. Ia kelihatan seperti jerawat kecil dan mungkin menggatalkan atau melecur. Walaupun keadaan ini biasanya hilang dengan sendiri, doktor anda mungkin mengesyorkan minyak tertentu untuk mempercepatkan penyembuhan atau mengawal kesakitan.
Jenis Folikulitis
Dua jenis folikulitis utama adalah folikulitis superfisial dan folikulitis mendalam. Jenis folikulitis superfisial melibatkan sebahagian daripada folikel dan jenis folikulitis mendalam pula melibatkan seluruh folikel dan biasanya lebih parah.
– Bentuk folikulitis superfisial
-
Folikulitis bakteria
Jenis yang biasa ini merangkumi benjolan yang gatal, putih dan berisi nanah. Ia berlaku apabila folikel rambut dijangkiti bakteria Staphylococcus aureus (staph). Bakteria ‘staph’ hidup pada kulit sepanjang masa. Namun, ia biasanya hanya menimbulkan masalah apabila ia memasuki badan anda melalui luka atau kecederaan lain.
-
Folikulitis tab panas (pseudomonas folikulitis)
Bagi jenis ini, anda mungkin mengalami benjolan dengan ruam merah, bulat dan gatal satu hingga dua hari selepas terdedah kepada bakteria yang menyebabkannya. Ia berlaku disebabkan bakteria pseudomonas yang terdapat di pelbagai tempat termasuk tab panas dan kolam yang dipanaskan yang mana paras klorin dan pH tidak dikawal dengan baik.
-
Lebam cukur (pseudofolikulitis barbae)
Ini adalah kegatalan kulit yang disebabkan oleh rambut yang tumbuh dalam arah yang bertentangan. Ia banyak memberi kesan kepada lelaki berambut kerinting yang bercukur terlalu rapat. Keadaan ini juga paling ketara pada wajah dan leher. Individu yang mengamalkan ‘bikini wax’ mungkin mengalami kegatalan pada kawasan paha dan boleh menyebabkan parut yang gelap (keloids).
-
Folikulitis ‘pityrosporum’
Jenis ini menghasilkan bisul yang kronik, merah dan gatal pada bahagian belakang dan dada serta kadang-kadang pada leher, bahu, lengan dan muka. Jenis ini berlaku disebabkan oleh jangkitan yis.
– Bentuk folikulitis yang mendalam
-
Sikosis barbae
Jenis ini memberi kesan kepada lelaki yang baru mula bercukur.
-
Folikulitis gram-negatif
Jenis ini kadangkala berlaku jika anda menerima terapi antibiotik jangka panjang untuk merawat jerawat.
-
Bisul (furunkel) dan karbunkel
Ini berlaku apabila folikel rambut banyak dijangkiti dengan bakteria ‘staph’. Bisul biasanya muncul secara tiba-tiba sebagai benjolan berwarna merah jambu atau merah dan menyakitkan. ‘Karbunkel’ pula adalah sekumpulan bisul.
-
Folikulitis eosinofilik
Jenis ini memberi kesan terutamanya kepada individu yang mempunyai penyakit HIV/ AIDS. Tanda-tanda dan simptom termasuklah kegatalan yang serius, tompokan benjolan dan jerawat yang berulang dan terbentuk berhampiran folikel rambut pada muka dan bahagian atas badan. Setelah sembuh, kulit yang terjejas mungkin menjadi lebih gelap daripada kulit anda sebelum ini (hiperpigmentasi). Penyebab folikulitis eosinofilik adalah tidak diketahui.
Punca Folikulitis
Folikulitis sering berlaku disebabkan jangkitan folikel rambut dengan bakteria Staphylococcus aureus (staph). Ia juga berlaku kerana virus, kulat dan juga keradangan dari rambut yang tumbuh.
Selain itu, folikulitis adalah paling padat pada kulit kepala anda dan ia berlaku pada mana-mana bahagian badan anda kecuali tapak tangan, tapak kaki, bibir dan membran mukus.
Simptom Folikulitis
Tanda-tanda dan simptom penyakit folikulitis termasuk:
- Kelompok benjolan merah yang kecil atau jerawat berbintik putih yang berkembang di sekitar folikel rambut.
- Lepuh yang berisi nanah yang pecah dan berkerak.
- Kulit yang gatal dan seperti terbakar.
- Kulit yang lembut dan sakit.
- Benjolan besar.
Diagnosis Folikulitis
Doktor anda mungkin akan mendiagnosis folikulitis setelah melihat kulit anda dan mengkaji semula sejarah perubatan anda. Selain itu, doktor boleh menggunakan teknik melakukan pemeriksaan mikroskopik kulit (dermoskopi).
Jika rawatan awal tidak dapat menghilangkan jangkitan anda, doktor mungkin akan mengambil sampel kulit atau rambut anda yang dijangkiti. Ia akan dihantar ke makmal untuk membantu menentukan apa yang menyebabkan jangkitan itu. Biopsi kulit jarang sekali dilakukan untuk menolak kemungkinan keadaan-keadaan lain.
Faktor Risiko Folikulitis
Sesiapa sahaja boleh mendapat folikulitis. Namun, faktor-faktor tertentu membuatkan anda lebih mudah terdedah kepadanya, termasuklah:
- Mempunyai keadaan perubatan yang mengurangkan daya tahan terhadap jangkitan seperti diabetes, leukemia kronik dan HIV/ AIDS.
- Mempunyai jerawat atau dermatitis.
- Mengambil beberapa ubat seperti krim steroid atau terapi antibiotik jangka panjang untuk merawat jerawat.
- Lelaki berambut kerinting yang bercukur.
- Selalu memakai pakaian yang memerangkap haba dan peluh seperti sarung tangan getah atau but tinggi.
- Berendam di dalam tab mandi panas yang tidak diselenggara dengan baik.
- Menyebabkan kerosakan pada folikel rambut dengan mencukur, ‘waxing’ atau memakai pakaian yang ketat.
Rawatan Folikulitis
Rawatan bagi penyakit folikulitis bergantung kepada jenis dan betapa seriusnya keadaan anda, langkah-langkah penjagaan diri yang telah dicuba dan pilihan yang anda ada. Pilihan rawatan yang ada termasuklah ubat-ubatan dan rawatan intervensi seperti penyingkiran rambut secara laser. Walaupun rawatan boleh membantu, jangkitan mungkin akan berlaku lagi.
– Ubat-ubatan
- Krim atau pil untuk mengawal jangkitan. Bagi jangkitan ringan, doktor anda mungkin mempreskripsikan krim antibiotik, losyen atau gel. Antibiotik yang diambil melalui mulut tidak digunakan secara rutin untuk penyakit folikulitis. Namun, untuk jangkitan yang serius atau berulang, ubat itu mungkin akan diberikan.
- Krim, syampu atau pil untuk melawan jangkitan kulat. Ubat anti-kulat digunakan untuk jangkitan yang berlaku disebabkan oleh yis, bukannya bakteria. Antibiotik tidak membantu dalam rawatan jenis ini.
- Krim atau pil untuk mengurangkan keradangan. Jika anda mempunyai folikulitis eosinofilik yang ringan, doktor anda mungkin mencadangkan anda untuk mencuba krim steroid untuk meredakan kegatalan. Sekiranya anda mempunyai penyakit HIV/ AIDS, anda mungkin akan melihat penambahbaikan dalam simptom folikulitis eosinofilik anda selepas terapi antiretrovirus.
– Intervensi Lain
- Pembedahan kecil. Jika anda mempunyai bisul besar atau ‘karbunkel’, doktor anda mungkin akan menghiris sedikit di dalamnya untuk mengeluarkan nanah. Ini boleh melegakan kesakitan, penyembuhan yang cepat dan mengurangkan parut. Doktor kemudiannya akan menutup kawasan itu dengan kasa (gauze) steril sekiranya nanah masih mengalir.
- Penyingkiran rambut secara laser. Jika rawatan lain gagal, penyingkiran rambut jangka panjang dengan terapi laser boleh menghilangkan jangkitan. Kaedah ini adalah mahal dan sering memerlukan beberapa rawatan. Ia boleh menghilangkan folikel rambut secara kekal, jadi rawatan ini akan mengurangkan ketumpatan rambut pada kawasan yang dirawat. Kesan sampingan yang lain termasuklah perubahan warna kulit, parut dan melepuh.
SUMBER
https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/what-is-folliculitis