Now Reading
Rempeyek Rangup Untuk Kudapan Petang, Ini Resepinya

Rempeyek Rangup Untuk Kudapan Petang, Ini Resepinya

Rempeyek

Rempeyek merupakan snek kegemaran ramai dan ianya sering dihidangkan kepada tetamu sekiranya mereka bertandang ke rumah. Ditemani pula dengan minuman panas Kopi O, memang sedap tak terhingga!

Untuk pengetahuan anda, rempeyek adalah makanan tradisi orang jawa. Mereka seringkali memakan rempeyek dengan nasi atau mi goreng. Teksturnya yang rapuh dan rangup itu membuatkan rasa makanan lain menjadi lebih sedap umpama magis!

Antara bahan utama dalam pembuatannya adalah ikan bilis, kacang, udang dan lain-lain.

Walaupun rasanya sedap, harus diketahui bahawa resepinya adalah untuk mereka yang berjiwa kental. Ini kerana, penyediaannya boleh dikatakan sedikit rumit -perlukan kesabaran yang tinggi dikala menggoreng rempeyek satu-persatu.

Sekiranya tersalah cara, pasti tidak menjadi. Untuk itu, jom kami ajarkan cara yang betul bagaimana hendak membuat rempeyek sehingga menjadi!

Bahan-Bahan (dikisar): –

  • 3 sudu makan ketumbar
  • 1 sudu makan jintan manis
  • 2 sudu makan jintan putih
  • 1 genggam ikan bilis
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 ulas bawang merah

Bahan-Bahan Lain: –                           

  • 1 paket tepung beras
  • 3 biji telur
  • 1 kotak santan
  • 1 cawan air
  • 1/2 sudu teh kapur makanan
  • Garam secukup rasa
  • Minyak untuk menggoreng

Bahan Hiasan: –

  • 1 mangkuk ikan bilis (hiasan atas rempeyek)
  • 500 gram kacang tanah (hiasan atas rempeyek)

Cara-Cara Penyediaan

  1. Kisar semua bahan yang perlu dikisar.
  2. Masukkan tepung gandum dan garam di dalam bekas lain.
  3. Kemudian, masukkan telur satu demi satu.
  4. Gaul hingga sebati.
  5. Selepas itu, masukkan bahan yang telah dikisar tadi dalam bekas adunan tepung tersebut.
  6. Campurkan santan dengan air.
  7. Kemudian, gaul adunan bahan kisar dan tepung tadi dengan santan sedikit demi sedikit.
  8. Gaul sehingga adunan menjadi cair sepenuhnya.
  9. Masukkan sedikit kapur makanan.
  10. Kacau sehingga sebati.
  11. Sementara itu, panaskan kuali dengan api sederhana.
  12. Gunakan acuan rempeyek untuk membentukkannya.
  13. Goreng sekejap sahaja.
  14. Kemudian angkat dan letak atas dulang.
  15. Goreng hingga adunannya habis.
  16. Selepas itu, goreng sekali lagi dengan pastikan kacang tanah dan ikan bilis menjadi rangup.
  17. Simpan dalam bekas kedap udara supaya ia tak lemau.

Cubalah dahulu resepi rempeyek ni. Paling penting, jangan lupa simpan ia di dalam bekas atau balang kedap udara agar tahap kesegarannya dapat dikekalkan okay?

Selamat mencuba!

SUMBER

https://cikmatahariku.blogspot.com/2020/05/rempeyek-kacang-tanah-asli-yang-rangup.html

https://iluminasi.com/bm/resepi-rempeyek-kacang-tanah-kegemaran-ramai.html

error: Content is protected !!