Now Reading
Resepi Gulai Ayam Kelantan Ini Memang Sedap!

Resepi Gulai Ayam Kelantan Ini Memang Sedap!

Resepi Gulai Ayam Kelantan

Antara resepi masakan yang sering dicari orang Malaysia khususnya masyarakat Melayu adalah resepi gulai ayam Kelantan yang kebiasaannya dimakan bersama nasi dagang. Tetapi kalau anda mahu menjadikan gulai ini sebagai lauk utama untuk dimakan dengan nasi putih, jangan lupa hidangkan sekali bersama budu bilis atau sambal belacan, dan ulam timun. Dijamin mak mertua lalu pun kita tidak akan perasan!

Sebelum kita melihat resepi ini, adalah lebih baik anda mengetahui terlebih dahulu bahawa gulai ayam Kelantan ini adalah kari ayam sebenarnya. Cara penyediaan adalah lebih kurang sama, cuma apa yang membezakannya adalah serbuk rempah yang digunakannya.

Anda harus menggunakan serbuk rempah gulai keluaran dari Kelantan sahaja untuk resepi gulai ayam ini. Barulah anda akan dapat rasa yang asli, kuah yang sedikit pekat dan tidak masam seperti kebiasaan kari mamak.

Sebelum kita mulakan, ada sedikit tips untuk anda yang jenis tukang masak yang memasak sambil menyediakan bahan, apa kata kita ubah cara memasak kita mengikut cara chef profesional. Sediakan dahulu kesemua bahan-bahan masakan dan baru kita mula memasak, saya jamin segalanya akan menjadi lebih mudah dan teratur.

Resepi Gulai Ayam Kelantan

Pertama sekali anda harus menyediakan bahan kisar halus iaitu

  • 6 biji bawang merah,
  • 2 ulas bawang putih,
  • 1 inci halia
  • 1 inci lengkuas.
  • Kisar bersama sedikit air.

Langkah seterusnya sediakan

  • separuh ekor ayam atau lebih sedikit,
  • 2 sudu besar rempah gulai Kelantan,
  • 1 sudu besar biji ketumbar disangai dan ditumbuk halus,
  • 1 sudu besar cili kisar,
  • 1 mangkuk santan cair
  • 1 mangkuk santan pekat,
  • 1 keping asam gelugor (asam keping biasa pun boleh),
  • 3 biji lada hijau,
  • 2 sudu besar kerisik,
  • sedikit gula melaka,
  • garam mengikut rasa.

Cara Penyediaan

Setelah semua bahan tersedia, masukkan ayam ke dalam kuali (tidak perlu hidupkan api dapur dahulu) bersama bahan kisar halus, rempah gulai Kelantan, serbuk ketumbar halus dan cili kisar. Gaul dan ‘mesrakan’ kesemua bahan tadi dan mula memasak.

Hidupkan api dan masukkan santan cair (santan perahan kedua) dan asam gelugor. Renehkan semua bahan tadi dan tutup selama 5 minit untuk ayam masak sampai isi dalam.

Tunggu hingga gulai mendidih, kemudian masukkan santan pekat, diikuti lada hijau dan kecilkan api dan timbuk atau kacau dengan kerap.

Anggaran lebih kurang 5 minit, masukkan kerisik, gula melaka dan garam mengikut citarasa anda. Anda boleh tambah serbuk perasa aji jika mahu, tetapi saya tidak galakkan kerana mengandungi kandungan MSG yang tinggi yang boleh memudaratkan kesihatan kita.

Ingin saya ingatkan kepada anda sekali lagi, timbuk atau kacau gulai dengan kerap selepas memasukkan santan pekat supaya kuah kita tidak rosak dengan santan yang berketul-ketul.

Cubalah masakan ini. Anda mungkin akan menyukainya serta merta dengan kelazatan resepi gulai ayam Kelantan ini.

Jika anda berada di luar negeri Kelantan saya rasa memang sukar untuk anda membeli serbuk rempah Kelantan ini di kedai-kedai runcit biasa. Bagaimanapun anda boleh mendapatkannya dengan mudah secara atas talian pada era digital ini.

https://resepichenom.com/resepi/gulai-nasi-berlauk-ayam-kelantan/show

error: Content is protected !!