Now Reading
Resepi Mee Jawa Yang Enak dan Mudah

Resepi Mee Jawa Yang Enak dan Mudah

mee jawa

Mee jawa adalah hidangan tradisional Indonesia-Jawa di Malaysia. Mee jawa mudah untuk didapati di negara jiran, Indonesia dan juga di negara kita, Malaysia.

Menu ini dibuat daripada bahan-bahan seperti mee kuning, sayur-sayuran, telur, rempah-ratus, dan banyak lagi. Walaubagaimanapun, terdapat sedikit perbezaan pada mee jawa versi Indonesia dengan mee jawa di Malaysia.

Bahan-bahan dan cara-cara penyediaan mee jawa adalah lebih kurang sama dengan mee rebus. Tetapi bahan-bahan untuk membuat mee jawa adalah jauh lebih ringkas.

Dalam resepi yang akan dikongsikan kali ini, keledek digunakan sebagai bahan untuk memekatkan lagi kuah mee. Selain itu, rasa manis isi keledek dan air rebusan daging juga adalah rahsia utama yang menjadikan resepi kali ini sangat sedap.

Mari lihat resepi mee jawa di bawah dan bolehlah cuba sendiri di rumah.

Bahan – bahan :  

  • 2 paket mee kuning
  • 1/2 mangkuk minyak – untuk tumis
  • 1 senduk cili kisar
  • 3 sudu besar rempah kari daging
  • 3 ketul keledek – direbus / ditumbuk / dikisar halus
  • 1 ketul kiub daging / kiub ayam
  • Air rebusan daging
  • Garam secukup rasa
  • Gula secukup rasa

Bahan-bahan kisar:

  • 6 biji bawang merah
  • 5 ulas bawang putih
  • 2 batang serai – dihiris nipis
  • 2 inci halia
  • 2 inci lengkuas
  • 2 sudu besar udang kering

Bahan-bahan untuk ditabur atas mee:

  • Daging – direbus dan dihiris nipis
  • Daun bawang – dihiris nipis
  • Daun sup – dihiris nipis
  • Cili merah – dihiris nipis
  • Tahuhu goreng – dihiris nipis
  • Taugeh – dicelur
  • Bawang goreng
  • Limau nipis

Cara-cara penyediaan:

  1. Celur mee kuning di dalam air panas dan tapis. Kemudian, gaulkan dengan sedikit minyak zaitun supaya mee tidak melekat apabila ia sudah sejuk.
  2. Rebus daging sampai isinya empuk. Asingkan air rebusan daging untuk digunakan untuk penyediaan kuah.
  3. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis cili kisar bersama dengan rempah kari daging dan masak sehingga garing.
  4. Masukkan bahan-bahan yang telah dikisar kacau sampai pecah minyak.Tambahkan sedikit air sekiranya anda takut bahan tumisan anda hangus.
  5. Masukkan pula air rebusan daging tadi, ubi keledek, dan juga kiub daging / kiub ayam. Kacau perlahan dan masak sehingga kuah mendidih.
  6. Perasakan kuah dengan gula dan garam secukupnya.
  7. Akhir sekali, masukkan mee yang telah dicelur dan hiaskan dengan bahan-bahan taburan yang telah anda sediakan. Sendukkan kuah dan tuang di atas mee jawa anda. Kini, mee jawa sudah sedia untuk dinikmati.

Resepi mee jawa ini sangat sedap, tidak muak dimakan, dan anak-anak anda pun pasti menyukainya. Selamat mencuba dan hidangkan kepada keluarga di rumah!

Sumber:

https://resepichenom.com/resepi/mee-jawa-sedap/show

https://en.wikipedia.org/wiki/Mie_jawa

error: Content is protected !!