Resepi Mee Rebus Johor ini menjanjikan rasa yang padu, mudah dan cepat disediakan. Sesuai untuk dijadikan panduan buat ibu-ibu yang sentiasa sibuk menguruskan hal rumah tangga tetapi tetap mahu menyediakan juadah yang terbaik buat seisi keluarga.
Untuk menyediakan resepi ini, terdapat beberapa teknik yang anda perlu ambil perhatian. Namun, anda tidak perlu risau lagi. Anda hanya perlu membaca dengan teliti dan ikuti langkah-langkah yang dinyatakan di bawah untuk menyediakan resepi yang digemari ramai ini.
Okay, mari kita mulakan.
Resepi Mee Rebus Johor
Berikut ialah resepi mee rebus Johor yang sesuai untuk 5 hidangan. Penyediaan bahan dijangkakan mengambil masa sekitar 20 minit (potong, kisar dan lain-lain) diikuti dengan masa memasak selama 30 minit.
Bahan- Bahan Mee Rebus Johor
Sebelum memulakan masak, anda perlu menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memudahkan kerja anda. Penyediaan bahan adalah termasuk, memotong, mencelur, menghiris, mengisar dan lain-lain.
Antara bahan-bahan yang anda perlukan untuk menyediakan mee rebus Johor ialah:
Bahan kering/ hiasan:
- 1 kg mee kuning – celur dengan air mendidih dan basuh dengan air bersih.
- 250g taugeh – buang ekor taugeh dan celur untuk melembutkan
- 3 biji telur – direbus dan dipotong dua
- Tangkai daun sup/daun bawang – dihiris halus (untuk ditabur)
- Cili merah dan cili hijau- dihiris nipis (untuk ditabur)
- 3 ketul tauhu – goreng dan hiris sederhana nipis ikut citarasa
- Limau kasturi – dipotong dua
- Bawang goreng
Bahan untuk kuah:
Untuk kuah, anda perlu menyediakan;
- 1 senduk minyak masak – untuk menumis
- 500 g daging – dihiris nipis
- 500 g keledek merah – direbus dan dikisar
- 2 sudu besar taucu – dibasuh dan dikisar
- Bawang merah (5 ulas) – kisar halus
- Bawang putih (4 ulas) – kisar halus
- Halia (2cm)- kisar halus
- 1 sudu besar udang kering yang direndam- dikisar
- 2 sudu besar serbuk kari daging
- 6 cawan air
- 1/2 cawan serbuk kacang tanah – goreng tanpa menggunakan minyak dan kisar sehingga halus
- 2 cm lengkuas – diketuk/ditumbuk/dititik
- 3 batang serai – diketuk/ditumbuk/dititik
- 1 biji tomato dipotong dengan bentuk dadu
- Gula – secukup rasa
- Garam/ serbuk perasa – secukup rasa
Bahan Taburan Tepung Udang Kering:
- 1/2 cawan udang kering – kisar sehingga halus
- 80g tepung gandum
- 1/4 sudu kecil serbuk kunyit
- Garam – secukup rasa
- Air secukupnya
- Minyak – untuk menggoreng
Okay selesai bahagian bahan-bahan yang diperlukan. Sekarang kita beralih ke cara-cara menyediakan mee rebus johor.
Cara Menyediakan Mee Rebus Johor
Cara menyediakan kuah agar pekat dan manis:
- Rebus ubi keledek kemudian lenyek dengan halus. (Rasa manis kuah datang dari ubi, pilih ubi yang manis)
- Kisar halus bawang merah, bawang putih, udang kering dan halia sekali.
- Tuang minyak dan panaskan.
- Masukkan bahan kisar tadi dan tumis sehingga mengeluarkan bau wangi.
- Masukkan rempah kari daging dan taucu.
- Masak semua bahan tadi dan tunggu sampai pecah minyak.
- Apabila dah pecah minyak, masukkan daging dan kacau semua dengan sebati.
- Masukkan air sedikit (guna air bekas kisar)
- Seterusnya, masukkan ubi keledek yang dilenyek tadi.
- Tunggu kesemua bahan masak sehingga mendidih.
- Setelah itu, masukkan lengkuas, serai, serbuk kacang (kacang yang dikisar halus) dan tomato.
- Masak sehingga kuah mendidih dan menjadi pekat.
- Letakkan serbuk perasa atau garam dan gula secukupnya.
- Kuah selesai dimasak!
Cara membuat tepung udang kering:
- Campurkan semua yang disenaraikan di atas.
- Kemudian, gaul bahan-bahan sehingga rata.
- Tuangkan minyak untuk menggoreng. Pastikan tuang minyak banyak-banyak.
- Cara menggoreng; renjis bancuhan yang digaul rata tadi ke minyak dan goreng adunan sehingga garing dan kekuningan. Anda juga boleh gunakan cara seperti menggoreng rempeyek (lenserkan ke tepi kuali).
- Angkat dan toskan.
Cara Menghidang Mee Rebus Johor
- Gunakan mangkuk yang bersesuaian.
- Masukkan mee yang telah dicelur ke dalam mangkuk.
- Kemudian, tuangkan kuah.
- Masukkan telur rebus, tauhu goreng, taugeh, cili merah, cili hijau, daun sup/ daun bawang.
- Taburkan tepung udang kering untuk rasa yang lagi padu.
- Perah limau jika suka.
Mee rebus Johor anda sedia untuk di makan!
Akhir sekali, bagi sesiapa yang mengidam atau belum pernah lagi merasa mee rebus Johor, anda memang perlu cuba resepi mudah ini. Pasti menjadi! Semoga resepi ini bermanfaat untuk anda dan jangan lupa kongsikan dengan rakan-rakan yang lain.
Sekian.
Sumber:
https://saji.my/resepi-mee-rebus-asli-johor-sedap-menyelerakan/