Onde-onde merupakan kuih berbentuk bulat atau lebih dikenali sebagai Buah Melaka yang khabarnya berasal dari China. Sumber menjelaskan bahawa ia dicipta semasa pemerintahan Dinasti Zhou sekitar tahun 1045 – 256 SM.
Awalnya, onde-onde sengaja dibuat untuk disajikan kepada para tukang kayu dan tukang batu yang kala itu sedang membangun istana Maharaja.
Bagi masyarakat China, onde-onde memiliki erti yang special, iaitu melambangkan keselamatan dan kebersamaan. Uniknya lagi, makanan ini dikenali oleh masyarakat China dengan nama yang berbeza-beza.
Seperti pada masa kekaisaran Dinasti Tang, seorang sastrawan bernama Wang Fanzhi yang menuliskan onde-onde sebagai makanan istimewa di Istana Dinasti Chang’an.
Onde-onde
Bahan-Bahan: –
- 4 sudu tepung pulut
- 1 sudu tepung beras
- 5 helai daun pandan – kisar dengan air hanya jus diambil secukupnya
- Gula melaka – dipotong kecil
- 1/2 biji kelapa muda parut – hanya bahagian putih sahaja diambil
- Sedikit garam – gaul dengan kelapa parut
- Sedikit air kapur
Langkah-Langkah Penyediaan
- Bancuhkan tepung pulut dan tepung beras bersama dengan daun pandan. Masukkan air kapur sedikit demi sedikit sehingga adunan boleh digentel dan tidak melekit di tangan.
- Ambil adunan sebesar ibu jari dan leperkan. Masukkan gula melaka yang telah dipotong kecil supaya gula melaka tersebut cair semasa di rebus.
- Bentukkan adunan sehingga berbentuk bulat dan tidak berlubang.
- Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Anda juga boleh memasukkan daun pandan ke dalam air rebusan supaya ianya wangi.
- Kemudian, masukkan adunan tepung tadi ke dalam air mendidih, onde-onde akan timbul di atas permukaan air apabila telah masak.
- Tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam. Akhir sekali golek golekkan kuih di atas kelapa parut tersebut sehingga ianya betul-betul bersalut. Sekarang, ianya sedia untuk dihidangkan.
Onde-Onde Milo
Bahan-Bahan: –
- 1/2 cawan tepung pulut
- 1 sudu tepung beras
- 2 sudu Milo
- 1/2 cawan susu cair
- 1/3 cawan air (tidak habiskan)
- 1/2 paket kecil Milo Nuggets
- 1/3 cawan Nestum
Langkah-Langkah Penyediaan
- Semua tepung dan Milo dimasukkan ke dalam mangkuk kemudian kacau sehingga rata. Masukkan susu cair sambil dikacau sedikit demi sedikit. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli.
- Uli sehingga menjadi doh yang sesuai iaitu tidak terlalu lembik dan tidak melekit. Cubit sikit adunan, bulatkan dan leperkan doh kemudian masukkan satu ketul Milo Nuggets dan adunkan semula sehingga menjadi bebola.
- Didihkan air. Setelah mendidih, masukkan adunan tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di atas permukaan air kerana ia menandakan onde-onde telah masak.
- Golekkan onde-onde ke dalam Nestum hingga sekata dan sedia untuk dimakan.
Onde-onde Keledek
Bahan-Bahan: –
- 2 biji keledek oren bersaiz tapak tangan
- 200g tepung pulut
- 1/2 biji gula melaka
- 1/2 biji kelapa parut (bahagian putih sahaja)
- Air bertapis (untuk merebus)
Langkah-Langkah Penyediaan
- Pertama sekali, keledek direbuskan dengan air bertapis sehingga lembut (lebih kurang selama 15 minit). Sementara itu, potong gula melaka menjadi kiub-kiub kecil.
- Setelah keledek lembut, angkat dan toskan. (Tips: Anda juga boleh menggunakan garfu untuk mencucuk keledek bagi memastikan keledek sudah lembut). Kemudian, lenyekkan keledek di dalam bekas yang bersesuaian.
- Masukkan tepung pulut, dan gaulkan dengan tangan sehingga doh tidak melekat pada tangan. Jika masih melekit, tambahkan tepung pulut sedikit demi sedikit sehingga doh tidak melekit dan mudah dibentuk.
- Untuk membuat kuih, cubit sedikit doh dan adunkan berbentuk bulat di tapak tangan. Tekan sedikit di bahagian tengah doh, dan masukkan 1 kiub kecil gula melaka. Tutupkan doh kecil dengan kaedah “mencubit” dan adunkan semula doh bentuk bulat.
- Didihkan air. Setelah mendidih, masukkan adunan tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di atas permukaan air yang menandakan onde-onde telah masak.
- Tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam. kemudian golekkan onde-onde di atas kelapa tadi sehingga ianya betul-betul bersalut. Sekarang ia telah sedia untuk dihidangkan.
Onde-Onde Bunga Telang
Bahan-Bahan: –
- 1 paket tepung pulut
- 1 cawan tepung gandum
- 1 cawan air rebusan bunga telang + setitis pewarna biru
- Garam secukup rasa
- Air untuk bancuhan tepung
- Kelapa parut
Langkah-Langkah Penyediaan
- Semua bahan iaitu tepung pulut, tepung gandum, air rebusan bunga telang dan setitis pewarna biru, garam, dan air bancuhan tepung disatukan dan kemudian gaulkan sehingga menjadi seperti doh.
- Cubit sedikit doh dan dan adunkan doh berbentuk bulat di tapak tangan. Tekan sedikit di bahagian tengah doh, dan masukkan 1 kiub kecil gula melaka. Tutupkan dengan kaedah “mencubit” dan adunkan bentuk bulat semula.
- Panaskan air di dalam periuk sehingga mendidih. Anda juga boleh memasukkan daun pandan ke dalam air rebusan supaya ianya wangi.
- Setelah mendidih, masukkan adunan bebola tepung tadi dan tunggu sehingga ianya timbul di atas permukaan air kerana bagi menandakan onde-onde telah masak.
- Tos dan terus masukkan ke dalam pinggan kelapa parut yang telah digaul bersama sedikit garam. Golek golekkan onde-onde di atas kelapa tadi sehingga ianya betul betul bersalut. Sekarang onde-onde bunga telang sedia untuk dihidangkan.
SUMBER
www.aziekitchen.com/2011/10/kuih-onde-onde.html