Sambal goreng jawa adalah menu wajib yang mesti dihidangkan pada apa-apa majlis keraian dalam kalangan masyarakat yang berdarah Jawa. Ia sangat sedap lebih-lebih lagi jika dimakan dengan nasi ambeng, memang kombinasi yang sangat sesuai.
Apa yang unik mengenai hidangan ini adalah sebenarnya, hidangan ini bukan dihidangkan sekadar untuk suka-suka, tetapi ia selalunya menjadi hidangan pada majlis-majlis keramaian seperti kenduri bacaan Yasin pada malam Jumaat, kenduri tahlil, jamuan hari raya, dan juga ruahan.
Rasa yang sedap hasil campuran pelbagai jenis bahan seperti ubi kentang, tempe, suhun, dan kacang panjang menjadikan carian resepi sambal goreng jawa ini sangat popular.
Terdapat banyak versi resepi sambal goreng jawa ini terpulang kepada tempat dan kawasan lahirnya versi resepi tersebut. Sebagai contoh, masyarakat Jawa di negeri Johor sukakan sambal goreng yang agak basah, manakala masyarakat Jawa di Selangor pula sukakan versi sambal yang lebih kering.
Makanan ini merupakan satu seni kulinari yang semeangnya mempunyai potensi untuk diketengahkan ke peringkat nasional dan juga antrabangsa. Ini kerana menu ini adalah gabungan beberapa bahan dari pelbagai kumpulan dalam piramid makanan kerana ia mempunyai pelbagai komponen seperti protein, sayuran atau serat, karbohidrat dan sebagainya.
Jom kita cuba resepi sambal goreng jawa di bawah. Ia sedap dimakan dengan nasi impit, ketupat, dan juga nasi ambeng.
Bahan-bahan:
- 4-6 tangkai kacang panjang – dihiris serong
- 1/2 batang lobak merah
- 1 paket suhun
- 1 sudu besar gula
- 1 sudu kecil garam
- 1 mangkuk santan
- 1 inci lengkuas – diketuk
- 1 batang serai – diketuk
- 1 jemput ikan bilis
Bahan-bahan untuk digoreng:
- 1 biji ubi kentang – dihiris
- 1/2 paket tempe
- 1 ketul tauhu
- 1 biji terung
Bahan-bahan untuk dikisar:
- 2 biji cili merah
- 2 biji bawang merah
- 3 ulas bawang putih
- 1 inci halia
Cara-cara penyediaan:
- Gorengkan dahulu semua bahan-bahan goreng sehingga masak. Ketepikan dahulu.
- Kemudian, dengan menggunakan minyak yang sama dengan minyak yang anda gunakan untuk menggoreng bahan-bahan goreng tadi, tumiskan bahan-bahan kisar.
- Masukkan ikan bilis, lengkuas, dan serai. Tumis sambal anda hingga pecah minyak.
- Masukkan gula dan garam sebagai perasa. Gaul hingga betul-betul sebati.
- Seterusnya, masukkan santan dan tunggu sehingga santan masak.
- Tambahkan pula suhun ke dalam kuali anda. Kacau sampai suhun sudah kelihatan lembut dan tidak keras.
- Setelah suhun lembut, masukkan ubi kentang, tempe, tauhu, dan terung yang telah anda goreng mula-mula tadi. Gaulkan sampai bahan-bahan goeng tadi benar-benar sebati dengan sambal anda. Tambahkan sedikit air, jika perlu.
- Sesuaikan rasa. Sekiranya semua sudah terasa sempurna, tutup api dan sambal goreng jawa anda sudah sedia untuk dihidangkan.
Memang cukup senang resepi sambal goreng jawa yang dikongsikan kali ini bukan? Padanlah ia menjadi kegemaran dan popular dalam kalangan masyarakat Jawa kerana ia bukan sahaja mudah untuk disediakan, malah, ia juga sangat unik, enak, lazat, dan berkhasiat.
Selamat mencuba!
Sumber:
https://www.aziekitchen.com/2018/12/sambal-goreng-jawa-yang-sedap.html
https://daridapur.com/sambal-goreng-jawa/
http://animhosnan.blogspot.com/2018/04/sambal-goreng-jawa.html