Pengenalan
Reumatologi adalah sub-kepakaran dalam perubatan dalaman dan pediatrik yang berkaitan dengan sendi, tisu lembut, penyakit autoimun dan gangguan tisu penghubung. Seorang pakar reumatologi adalah pakar dalam mendiagnosis, melakukan rawatan dan terapi penyakit reumatik. Sekiranya doktor biasa anda menganggap anda mempunyai penyakit reumatik, dia mungkin akan menghantar anda ke pakar reumatologi iaitu doktor khas yang terlatih untuk merawatnya.
Kepakaran pakar reumatologi
Seorang pakar reumatologi mendiagnosis dan merawat penyakit muskuloskeletal dan keadaan autoimun sistemik. Tidak seperti pakar ortopedik, pakar reumatologi tidak melakukan pembedahan untuk merawat penyakit sendi. Malah, tujuan bagi kebanyakan pakar reumatologi adalah untuk mencari penyebab penyakit reumatik yang mendasari dan melakukan penyelidikan untuk mencari pilihan rawatan yang lebih baik.
Golongan pakar ini juga boleh memilih untuk merawat keadaan reumatik tertentu, atau mereka dapat mengecilkan fokus mereka ke kawasan tertentu, atau sub-kepakaran yang ada dalam reumatologi.
Sub-kepakaran dalam bidang reumatologi meliputi:
- keadaan autoimun dan keradangan
- keadaan sendi degeneratif yang tidak meradang
- penyakit tisu lembut
- sakit kronik
- gangguan metabolik yang boleh mempengaruhi tulang
- keadaan reumatik pediatrik atau remaja
Bila anda perlu dapatkan rawatan
Ia mungkin sukar untuk mengetahui bila anda perlu berjumpa dengan pakar bidang ini terutamanya jika anda tidak tahu akan bidang reumatologi secara keseluruhan.
Berikut adalah beberapa sebab untuk berjumpa pakar reumatologi:
- Anda telah didiagnosis dengan artritis atau penyakit reumatik
Terdapat lebih daripada 100 jenis artritis dan pakar reumatologi adalah golongan pakar yang merawat kebanyakan keadaan ini. Contoh penyakit yang boleh dirawat termasuk ‘rheumatoid arthritis’ (RA), ‘osteoarthritis’ (OA), lupus ‘erythematosus’ sistemik (SLE), vasculitis, sindrom Sjogren, gout, skleroderma, ‘antiphospholipid syndrome’ (APS), myositis, ‘sarcoidosis’, ‘polymyalgia rheum’ (PMR) dan ‘temporal arteritis’ (atau arteritis sel gergasi).
- Anda mengalami sakit sendi dan/ atau bengkak
Sakit sendi dan bengkak mungkin merupakan gejala pertama bagi penyakit reumatik. Diagnosis awal dan rawatan artritis adalah kaedah terbaik untuk memastikan hasil yang baik pada pesakit. Sekiranya anda mengalami simptom sendi, pertimbangkan untuk membuat temu janji dengan pakar reumatologi bagi mendapatkan pemeriksaan segera.
- Anda diberitahu bahawa anda mempunyai keputusan ujian darah yang tidak normal
Gejala atau keadaan tertentu boleh mendorong doktor penjagaan primer anda untuk memerintahkan ujian darah yang mungkin menunjukkan adanya penyakit reumatik. Contoh ujian darah ini termasuk: antibodi antinuklear (ANA), faktor reumatoid (RF), dan kadar pemendapan eritrosit (ESR). Sekiranya anda telah diuji positif untuk salah satu daripada ujian ini, pertimbangkan untuk berjumpa dengan pakar reumatologi untuk menentukan sekiranya gejala anda mungkin menunjukkan keadaan mendasari yang lain.
- Anda menghadapi masalah untuk mengetahui apa yang salah
Pakar reumatologi merawat banyak penyakit yang sukar didiagnosis. Mereka akan membantu mengumpulkan pelbagai gejala dan ujian makmal yang kompleks untuk menentukan kesakitan anda. Berjumpa dengan pakar reumatologi sejak awal dapat membantu pesakit mengelakkan proses menunggu selama beberapa bulan hingga bertahun-tahun sebelum mendapat diagnosis.
Prosedur rawatan
Pakar reumatologi boleh melakukan pemeriksaan dan prosedur yang membantu mereka mendiagnosis dan merawat keadaan reumatik. Prosedur ini merangkumi:
Pemeriksaan
– Ujian fizikal
Seorang pakar reumatologi biasanya boleh melakukan pemeriksaan fizikal yang lengkap ketika mereka berjumpa dengan individu untuk pertama kalinya, atau ketika mereka ingin memantau kesan program rawatan semasa.
Semasa pemeriksaan fizikal, pakar reumatologi akan menilai keadaan fizikal keseluruhan individu dengan memeriksa nadi mereka, mendengar paru-paru dan jantungnya, dan merasakan kelenjar nodus limfa yang bengkak.
– Ujian pengimejan
Doktor penjagaan primer atau pakar reumatologi boleh menggunakan ujian pencitraan yang berbeza untuk mencari tanda-tanda kerosakan sendi. Beberapa ujian pencitraan yang mungkin dijalankan termasuk:
- Sinar-X
- Ultrabunyi
- Imbasan MRI
- Imbasan CT
– Ujian makmal
Ujian makmal melibatkan pengambilan sampel darah, air kencing atau cecair sendi dan menghantar sampel ini ke makmal untuk dianalisis dengan lebih lanjut. Seorang pakar reumatologi boleh menggunakan hasil ujian makmal untuk mengenal pasti tanda-tanda keradangan dan jangkitan, seperti tahap sebatian keradangan, antibodi, atau sel darah putih yang lebih tinggi daripada biasa.
Merawat keadaan reumatik
Pakar reumatologi boleh mencadangkan dan memberikan rawatan untuk kebanyakan keadaan reumatik. Mereka juga boleh memberikan khidmat nasihat mengenai banyak perkara.
Rawatan yang mereka boleh cadangkan termasuk:
– Suntikan dan aspirasi sendi
Seorang pakar reumatologi dapat merawat keradangan dan sakit sendi dengan menyuntik ubat anti-radang, seperti kortikosteroid secara terus ke bahagian sendi yang terjejas atau dengan “menyedut” sendi.
Apabila pakar reumatologi “menyedut” sendi, mereka menggunakan jarum yang dilekatkan pada jarum suntik untuk mengeluarkan cecair lebihan sendi. Mereka juga akan menggunakan prosedur aspirasi sendi untuk mengurangkan bengkak dan sakit sendi pada pesakit dan menganalisis cecair sendi sebagai sebahagian daripada protokol diagnostik.
– Ubat-ubatan
Seorang pakar reumatologi mungkin menetapkan ubat ‘antirheumatik’ pengubah penyakit, yang boleh menurunkan aktiviti sistem imun atau melambatkan perkembangan keadaan reumatik.
Ubat anti-radang bukan steroid seperti ibuprofen, naproxen, meloxicam dan aspirin juga dapat membantu melegakan keradangan sendi dan mengurangkan kesakitan pada sendi.
Anggaran kos
Masalah reumatologi mungkin lebih murah jika dirawat di hospital kerajaan. Ubat-ubatan yang digunakan juga mungkin boleh dicaj dengan harga yang lebih rendah jika dibandingkan dengan hospital swasta.
Setiap rawatan bagi merawat masalah reumatologi boleh mempunyai kos yang bervariasi bergantung pada keadaan dan keparahan masalah anda. Lebih serius keadaan tersebut, lebih mahal kos yang perlu ditanggung.
SUMBER
https://www.healio.com/news/rheumatology/20120620/what-is-rheumatology
https://www.medicalnewstoday.com/articles/326749#overview
https://www.webmd.com/rheumatoid-arthritis/an-overview-of-rheumatic-diseases
https://www.hss.edu/playbook/ask-the-expert-when-should-you-see-a-rheumatologist/