Rumah merupakan satu keperluan asas dalam kehidupan manusia. Tempat tinggal ini juga boleh dikatakan sebagai satu asas dalam membina keluarga bahagia kerana kebanyakan masa akan kita luangkan di rumah sendiri. Tempat tinggal yang baik akan menjadikan kita lebih tenteram dan berasa selamat. Disebabkan itu, ramai yang menyedari bahawa mereka ingin menyediakan tempat tinggal yang paling selesa untuk ahli keluarga mereka.
Disebabkan itu, kami pada kali ini akan berkongsikan tips-tips DIY deko rumah mengikut bajet sendiri. Pada zaman sekarang ini, kita mempunyai pelbagai pilihan. Pilihan untuk memastikan kita masih boleh membuat hiasan rumah tetapi dalam masa yang sama masih mengikut bajet kita. Hal ini sangat penting kerana tak ramai yang betul-betul berkemampuan dalam membuat deko rumah yang mahal. Tetapi di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Sekiranya ada keinginan yang tinggi dalam menyediakan tempat tinggal yang selesa dengan deko yang cantik, mesti ada jalannya tanpa menjadikan bajet sebagai halangan utama. Jom kita lihat senarai tips nya!
1. Setkan tona deko di pintu rumah dahulu
Mesti ramai di sini yang percaya bukan, impresi pertama serta pandangan pertama adalah sangat penting. Pandangan pertama ini lah akan mencorakkan bentuk pemikiran si pemerhati. Begitu juga dalam merancang dan membuat pelan DIY deko rumah ini. Perkara pertama yang akan diperhatikan oleh orang yang datang atau diri kita sendiri apabila tiba di tempat tinggal kita ialah pintu. Pintu utama rumah ini sebolehnya kita cat atau kita hias mengikut tone utama yang kita nak gayakan di dalam rumah kita nanti. Perkara ini akan memberikan kesan yang positif kepada si pemerhati. Perkara paling mudah untuk menentukan tona deko ialah dengan menggunakan cat. Pemilihan cat di dalam rumah hendaklah sama tona atau lebih kurang sama dengan warna pintu rumah untuk hasil yang terbaik.
2. Warnakan dinding dengan warna cerah dan natural
Warna dinding rumah juga memainkanperanan penting dalam memastikan deko rumah nampak cantik dan seimbang. Pemilihan warna yang disarankan ialah warna yang cerah dan tidak gelap. Warna ini akan menghasilkan suasana yang nyaman dan tenang. Selain itu, pemilihan warna yang cerah dan natural ini juga akan menjadikan pemilihan barang-barang deko rumah menjadi lebih mudah. Hal ini kerana selalunya barang-barang deko rumah yang sedia ada boleh dipadankan secara terus dengan warna dinding yang cerah dan terang. Selain itu, kebanyakan barangan deko di pasaran juga memiliki ciri-ciri yang sama, Jadi untuk menjimatkan kos, sebaiknya kita menggunakan apa yang mudah untuk didapati di pasaran atau yang memang sudah sedia ada di rumah kita.
3. Guna semula apa yang ada
Ramai yang terfikir atau agak keberatan untuk membuat proses deko DIY kerana tidak mahu membuang barangan yang sedia ada. Tetapi pereka dalaman yang baik dan bertaraf profesional pun memang akan cuba untuk mengekalkan barangan sedia ada sekiranya barang tersebut masih elok dan sesuai untuk digunakan. Hal ini semestinya akan menyelamatkan pelbagai kos dalam proses deko rumah. Anda boleh memulakan dengan menyenaraikan barangan yang sudah memang sedia ada di rumah anda sekarang. Kemudian anda boleh mula melihat barangan yang anda boleh buang atau kekalkan. Sebaiknya, tetapkan peraturan untuk diri anda sendiri. Sekiranya barangan tersebut anda memang tidak gunakan dalam tempoh dua tahun ke belakang, berkemungkinan besar, anda boleh menjual semula barangan tersebut, atau mendermakannya atau membuangnya sekiranya sudah tidak elok lagi.
4. Pilih pencahayaan rumah yang betul
Kunci bagi menampakkan deko rumah yang baik ialah pencahayaan. Pencahayaan ini lah elemen yang memberikan ruang itu nyawa. Anda boleh membuat kajian sendiri dahulu, jenis dan warna cahaya yang akan berpadanan dengan fungsi ruang tersebut. Pemilihan jenis mentol untuk digunakan di dalam rumah juga sangat penting. Lampu LED sangat versatail dan boleh digunakan untuk apa-apa jenis fungsi. Selain itu, lampu LED juga ada pelbagai jenis warna dan tahap kecerahannya yang boleh digandingkan dengan pelbagai jenis deko rumah. Lampu LED ini juga sangat disarankan memandangkan lampu ini sangat jimat tenaga selain kos nya yang tidak terlalu membebankan. Jadi anda juga tidak perlu menanggung kos yang tinggi semasa menggunakan lampu ini.
5. Gantung hiasan rumah di paras mata
Semestinya anda mempunyai barang-barang untuk digantung bukan? Barangan seperti gambar, lukisan seni, hiasan yang mempunyai bingkai ini perlu diletakkan dengan betul. Hal ini penting untuk mendapatkan hasil dan pemandangan yang indah dipandang. Tempat terbaik untuk menggantung barangan ini sebenarnya berada di paras mata kita sendiri sebagai pemerhati. Barang-barang yang digantung terlampu tinggi akan menyebabkan ketidak seimbangan berlaku. Ruang mungkin akan nampak terlalu kecil atau memberikan rasa yang tidak selesa. Manakala, barang-barang yang diletakkan terlampau rendah juga nampak tidak cantik dan menyakitkan mata. Sekiranya anda mempunyai anak-anak kecil, semestinya perkara ini amat berbahaya juga untuk mereka kerana boleh dicapai oleh kanak-kanak.
Akhir sekali, semoga koleksi tips asas untuk anda membuat proses DIY rumah ini akan memberikan anda ruang rumah yang terbaik. Selain menjimatkan, anda akan menjadi lebih paus kerana segala-galanya anda akan hasilkan sendiri dan yang paling penting. Selalunya perkara ini akan lebih menjimatkan anda. Selamat mencuba!
SUMBER:
https://www.thisoldhouse.com/21018464/11-foolproof-home-decorating-tips
https://www.purewow.com/home/50-best-decorating-tips
https://www.housebeautiful.com/home-remodeling/interior-designers/tips/g864/decorating-secrets/