RUMAWIP atau kini sudah di jenamakan semula nama programnya menjadi Residensi Wilayah ini merupakan salah satu program yang bermatlamatkan untuk membantu warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki rumah pertama di kawasan ini.
Umum mengetahui, Wilayah Persekutuan di negara kita ada tiga iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Program Residensi Wilayah ini layak untuk dimohon oleh warganegara Malaysia yang telah berumur 21 tahun dan ke atas. Keutamaan semestinya diberikan kepada mereka yang dilahirkan atau menetap atau bekerja mencari rezeki di salah satu Wilayah Persekutuan Malaysia. Dari segi pendapatan pula, RUMAWIP ini layak dimohon oleh mereka yang berpendapatan kasar bulanan di bawah RM 10, 000 untuk mereka yang masih berstatus bujang atau RM15, 000 bagi pasangan yang sudah berkahwin.
Kenapa RUMAWIP?
Sekiranya anda menepati syarat-syarat ini, apa lagi, jom lah mendaftar dan mencuba nasib untuk mendapatkan kediaman idaman pertama anda. Hal ini kerana, projek-proke perumahan di bawah program RUMAWIP ini lebih mengutamakan pemilikan kediaman perumahan yang lebih selesa, berkualiti dan yang paling penting sekali berstatus mampu milik untuk golongan yang memerlukan bantuan kewangan di kawasan Wilayah Persekutuan.
Seperti yang kita ketahui, saban hari negara kita menghadapi masalah yang kritikal lebih-lebih lagi cabaran bagi golongan yang baru bekerja dan berkeluarga untuk mendapatkan kediaman yang mempunyai status pemilikan sendiri. Cabaran ini pula menjadi lebih mencabar dan lebih sukar untuk mereka yang mencari rezeki dan duduk mendiami di salah satu Wilayah Persekutuan negara kita ini. Hal ini kerana, Wilayah Persekutuan menjadi pusat tumpuan ekonomi dan pentadbiran yang menjadikan kos sara hidup menjadi sangat tinggi apabila dibandingkan di tempat serta lokasi lain di Malaysia.
Agak mustahil dan sangat susah sekiranya tiada program rumah pertama yang mampu milik untuk warga Wilayah Persekutuan untuk mendapatkan kediaman sendiri di lokasi panas ini walaupun mereka berstatus berpendapatan sederhana. Oleh sebab itu, program RUMAWIP atau kini yang dikenali sebagai program Residensi Wilayah ini diwujudkan.
Program RUMAWIP ini diwujudkan untuk membuka peluang kepada warga Wilayah Persekutuan untuk memiliki sendiri kediaman hartanah yang berharga jualan sehingga RM 300, 000 seunit. RUMAWIP ini diharapkan untuk membuka peluang lebih 80,000 unit hartanah baru dari tempoh 2019 sehingga tahun 2028. Sekaligus merealisasikan hasrat kerajaan untuk membina sekurang-kurangnya 1 juta rumah mampu milik menjelang 10 tahun yang akan datang.
Pemilikan rumah RUMAWIP ini juga akan dikenakan sekatan moratorium selama 10 tahun di mana anda tidak dibenarkan memindah milik atau menjual rumah yang dipohon melalui program ini ke pemilik baru tanpa kebenaran kerajaan. Pemindahan hak milik hartanah atau penjualan hartanah di bawah program ini juga hanya akan diambil kira mengikut kes tertentu semasa tempoh moratorium ini sekiranya pemilik baru merupakan waris terdekat atau ahli keluarga sendiri sahaja. Program ini juga memerlukan anda untuk menyediakan deposit sebanyak 10% daripada jumlah kos hartanah yang dipilih oleh anda. Anda juga boleh memilih sendiri jenis pembiayaan yang anda rasakan sesuai untuk diri anda. Kelebihan lain yang akan dinikmati oleh anda sekiranya anda memilih untuk membeli hartanah di bawah program ini adalah anda tidak perlu membayar kos tempahan! Yang paling menarik, anda juga boleh menyewakan unit hartanah milik anda ke penyewa tempatan di bawah program ini.
Setakat tarikh 9 Ogos 2021, kini sudah ada lebih 58 projek residensi dan perumahan yang anda boleh pilih di ketiga-ketiga Wilayah Persekutuan ini. Jom rebut peluang untuk memiliki hartanah sendiri ini!
Cara Memohon RUMAWIP
Warga Wilayah Persekutuan yang berminat boleh membuat permohonan di portal Residensi Wilayah iaitu di alamat https://residensiwilayah.kwp.gov.my/ . Anda dikehendaki untuk melengkapkan portal pribadi anda di laman web rasmi ini dan mula memohon di salah satu projek yang sedia ada.
Anda juga perlu memuat turun surat akuan sumpah dan dikehendaki untuk menandatangani surat akuan sumpah ini di hadapan Pesuruhjaya Sumpah. Kemudiannya, anda perlu memuatnaik surat akuan sumpah ini di portal ini bersama dokumen-dokumen sokongan.
Berikut merupakan senarai dokumen untuk tujuan semakan anda.
Untuk pemohon sendiri, anda dikehendaki untuk menyediakan dokumen-dokumen berikut:
- Surat Akuan Sumpah
- Salinan Kad Pengenalan Pemohon (MyKad)
- 3 bulan penyata gaji terkini pemohon atau penyata bank 3 bulan terkini bagi pemohon yang tidak ada mempunyai slip gaji
- Penyata KWSP dan sejarah pengeluaranan atau Penyata Cukai Pendapatan Pemohon bagi permohonan yang tiada KWSP
- Surat pengesahan majikan terkini pemohon atau sijil pendaftaran syarikat bagi yang bekerja sendiri (sekiranya memiliki perniagaan atau syarikat sendiri)
- Bil Elektrik dan Bil Air Tempat Tinggal atau dokumen lain sebagai bukti kediaman (mandatori)
- Salinan Kad OKU Pemohon (Jika berkaitan)
- Salinan Perjanjian Jual Beli Hartanah yang dimiliki atau geran (Jika berkaitan)
Untuk pemohon yang mempunyai pasangan pula, pasangan pemohon pula perlu menyediakan dokumen-dokumen berikut:
- Penyata KWSP Pasangan dan sejarah pengeluaran atau penyata cukai pendapatan pasangan bagi permohonan yang tiada KWSP
- 3 bulan Penyata Gaji terkini Pasangan atau penyata bank 3 bulan terkini bagi permohonan yang tidak mempunyai slip gaji
- Salinan Kad Pengenalan (MyKad) / Passport Pasangan
- Surat Pengesahan Majikan Terkini Pasangan atau surat akuan sumpah sekiranya suami tidak bekerja atau Sijil Pendaftaran Syarikat bagi yang bekerja sendiri (jika mempunyai syarikat atau perniagaan sendiri)
- Sijil Kelahiran atau MyKid anak
- Salinan Kad OKU Pasangan / Anak (Jika berkaitan)
- Salinan Surat Nikah / Sijil Perkahwinan / Surat Cerai / Sijil Kematian
- Salinan Perjanjian Jual Beli Hartanah yang dimiliki pasangan / geran (jika berkaitan)
Dokumen yang perlu disediakan oleh penama kedua (bukan pasangan) pula ialah seperti berikut:
- Salinan Surat Kelahiran Pemohon
- Salinan Surat Kelahiran Penama Kedua
- Salinan Kad Pengenalan Penama Kedua
- 3 bulan Penyata Gaji Terkini Penama Kedua atau Penyata Bank 3 bulan Terkini bagi Penama Kedua tiada slip gaji
Semua permohonan perlulah dibuat portal rasmi Residensi Wilayah.
Akhir sekali, selamat memohon dan semoga anda menjumpai kediaman idaman anda!
SUMBER:
https://propeasyasia.com/blog/all-you-need-to-know-about-rumawip
https://www.iproperty.com.my/guides/rumawip-9-things-you-should-know
https://residensiwilayah.kwp.gov.my/application
https://www.google.com/imgres?imgurl=http%3A%2F%2Fwww.zhafirrazak.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2017%2F05%2Frumawip-logo.png&imgrefurl=http%3A%2F%2Fwww.zhafirrazak.com%2Frumawip%2F&tbnid=KZJ1nsxQMbyg4M&vet=12ahUKEwi5prejxMbyAhUh4XMBHbAvAg0QMygDegUIARDMAQ..i&docid=v3w5ooLktgqzMM&w=3150&h=960&q=rumawip&hl=en&ved=2ahUKEwi5prejxMbyAhUh4XMBHbAvAg0QMygDegUIARDMAQ