Pengenalan
Sakit kepala boleh menjadi lebih rumit daripada apa yang anda sedari. Terdapat jenis sakit kepala yang berbeza dan masing-masing boleh mempunyai set simptomnya tersendiri. Kebanyakannya berlaku disebabkan sebab yang unik dan memerlukan rawatan berbeza.
Sebaik sahaja anda mengetahui jenis sakit kepala yang anda alami, doktor akan membantu anda mendapatkan rawatan yang bersesuaian dan cuba menghalangnya.
Penerangan
Sakit kepala boleh berlaku di bahagian kepala yang bermula pada titik pusat dan diikuti dengan kesakitan. Kesakitan itu digambarkan seperti menyucuk, berdenyut atau berdengung yang muncul secara perlahan atau tiba-tiba. Ia boleh berlangsung selama kurang daripada satu jam sehingga beberapa hari.
Simptom sakit kepala bergantung kepada jenis sakit kepala tersebut.
- Sakit kepala tekanan: Mengalami kesakitan ringan dan sederhana yang dirasakan seperti terdapat pita di sekeliling kepala. Ia cenderung menjejaskan kedua-dua belah bahagian kepala.
- Sakit kepala migrain: Selalunya melibatkan rasa sakit di bahagian depan atau sebelah kepala. Ia juga mungkin diikuti dengan rasa mual dan muntah. Malah, individu yang mengalaminya mungkin berasa sangat sensitif terhadap cahaya atau bunyi bising.
- Sakit kepala kluster: Sakit kepala ini boleh menyebabkan sakit yang menyengat dan sering terjadi di sekitar sebelah mata. Ia biasanya berlaku pada masa tertentu dalam setahun atau mungkin dalam tempoh 1 hingga 2 bulan.
Penyebab yang berkemungkinan
Sakit kepala boleh berlaku di mana-mana bahagian kepala, iaitu di kedua-dua belah kepala, atau hanya di satu lokasi.
Terdapat pelbagai cara untuk menentukan sakit kepala.
Komuniti Sakit Kepala Antarabangsa (IHS) melabelkan sakit kepala sebagai primer jika ia tidak berpunca oleh keadaan lain, atau sekunder jika berlaku kerana faktor yang lebih serius.
– Sakit kepala primer
Sakit kepala primer adalah sakit kepala yang berlaku sendiri disebabkan aktiviti berlebihan atau masalah struktur di kepala yang lebih sensitif terhadap kesakitan secara langsung.
Ini termasuklah saluran darah, otot, saraf di kepala dan leher. Selain itu, ia juga mungkin terjadi kerana perubahan aktiviti kimia di dalam otak.
Sakit kepala primer termasuklah migrain, sakit kepala kluster dan sakit kepala tekanan.
– Sakit kepala sekunder
Sakit kepala sekunder adalah simptom yang berlaku apabila keadaan lain merangsang saraf yang sensitif di kepala seseorang. Dalam erti kata lain, simptom sakit kepala boleh dikaitkan dengan punca lain.
Pelbagai faktor berbeza boleh menyebabkan sakit kepala sekunder.
Ini termasuklah:
- Mabuk disebabkan oleh pengambilan alkohol
- Darah beku
- Pendarahan di dalam atau di sekitar otak
- “Pembekuan otak,” (brain freeze) atau sakit kepala apabila memakan ais krim
- Keracunan karbon monoksida
- Gegaran
- Dehidrasi
- Glaukoma
- Tabiat mengisar gigi pada waktu malam
- Selesema
- Terlebih dos ubat tahan sakit, yang dikenali sebagai sakit kepala berulang
- Serangan panik
- Strok
Memandangkan sakit kepala boleh menjadi simptom bagi keadaan yang lebih serius, ianya adalah penting agar anda mendapatkan nasihat perubatan dengan segera jika ia menjadi lebih parah, berkala atau berterusan.
Sebagai contoh, jika anda mengalami sakit kepala yang sangat teruk hingga mengganggu aktiviti harian berbanding sakit kepala yang dialami terdahulu, malah ia bertambah buruk, tidak sembuh walaupun telah mengambil ubat atau disertai oleh simptom lain seperti kekeliruan, demam, perubahan deria dan kebas pada leher, hubungi doktor secepatnya.
Bila perlu menghubungi doktor
Dalam kebanyakan kes, sakit kepala akan hilang dalam masa 48 jam. Sekiranya anda mengalami sakit kepala yang berlangsung lebih dari 2 hari atau mengalami peningkatan intensiti kesakitan, anda perlu berjumpa dengan doktor anda segera.
Selanjutnya, jika anda mengalami sakit kepala melebihi 15 hari dalam tempoh 3 bulan, anda mungkin mengalami keadaan sakit kepala kronik. Anda perlu berjumpa doktor untuk mengetahui masalah sebenarnya, walaupun kesakitan dapat diuruskan dengan pengambilan aspirin atau ibuprofen.
Sakit kepala boleh menjadi simptom kepada keadaan kesihatan yang lebih serius dan sesetengahnya memerlukan rawatan ubat-ubatan dan bahan-bahan di rumah.
Apa yang diharapkan di klinik
Doktor biasanya akan mendiagnosis jenis sakit kepala tertentu melalui penerangan mengenai keadaan, jenis kesakitan, masa dan corak serangan. Jika keadaan sakit kepala anda adalah rumit, ujian boleh dilakukan untuk menghapuskan sebab yang lebih serius.
Ujian lanjut termasuklah:
- Sinar-X
- Imbasan otak, seperti CT dan MRI
WHO (World’s Health Organisation) mengatakan bahawa sakit kepala sering tidak diendahkan kerana ia bersifat sporadis, yakni kebanyakan sakit kepala tidak membawa kepada kematian dan tidak menular.
Namun, lebih banyak sumber perlu diperuntukkan untuk merawat gangguan sakit kepala kerana komplikasi kesihatan lain yang ia boleh wakili.
Rawatan
Cara biasa merawat sakit kepala adalah dengan berehat dan mengambil ubat tahan sakit.
- Ubat tahan sakit generik boleh didapati di kaunter farmasi atau doktor boleh menetapkan ubat pencegahan seperti antidepresan tricyclic, reseptor serotonin agonis, ubat anti-epileptik, dan perencat beta.
Ianya adalah penting untuk mengikuti nasihat doktor kerana ubat tahan sakit yang berlebihan dos akan menyebabkan sakit kepala berulang. Rawatan sakit kepala berulang melibatkan pengurangan atau penghentian ubat tahan sakit. Dalam kes yang teruk, kemasukan ke hospital buat jangka masa pendek mungkin diperlukan untuk menguruskan keadaan anda dengan selamat dan berkesan.
– Rawatan alternatif
Walaupun terdapat beberapa bentuk rawatan alternatif untuk menyembuhkan sakit kepala yang tersedia, namun ianya adalah penting untuk berunding dengan doktor sebelum membuat sebarang perubahan besar atau memulakan sebarang bentuk rawatan alternatif.
Pendekatan alternatif termasuklah:
- Akupunktur
- Terapi tingkah laku kognitif
- Produk kesihatan berasaskan herba dan nutrisi
- Hipnosis
- Meditasi
Penyelidikan masih tidak menjelaskan penerangan untuk mengesahkan bahawa semua kaedah ini boleh berfungsi.
Kadangkala, sakit kepala mungkin terjadi disebabkan oleh kekurangan nutrien terutamanya magnesium dan vitamin B tertentu. Kekurangan nutrien ini biasanya berlaku kerana diet berkualiti rendah, masalah malabsorpsi yang mendasari, atau keadaan perubatan lain.
– Rawatan rumah
Beberapa langkah boleh diambil untuk mengurangkan risiko sakit kepala dan meringankan rasa sakit melalui:
1. Letakkan pek haba atau pek ais di kepala atau leher anda, tetapi elakkan suhu yang melampau.
2. Elakkan tekanan dan lakukan strategi yang sihat untuk mengatasi tekanan yang tidak dapat dielakkan.
3. Makan makanan sihat dan menjaga gula dalam darah supaya ia kekal stabil.
Mandi air suam boleh membantu, namun dalam satu keadaan yang jarang berlaku, pendedahan terhadap air dengan suhu tinggi boleh memicu sakit kepala tertentu. Selain itu, berolahraga secara berkala dan dapatkan rehat yang mencukupi kerana ia biasanya menyumbang kepada kesihatan menyeluruh dan pengurangan tekanan.
SUMBER
https://www.webmd.com/migraines-headaches/migraines-headaches-basics#1
https://www.healthline.com/health/headache/types-of-headaches#see-your-doctor
https://www.medicalnewstoday.com/articles/73936.php#home_remedies