Now Reading
Sakit Lutut (Knee Pain)

Sakit Lutut (Knee Pain)

sakit lutut

Pengenalan

Sakit lutut boleh terjadi disebabkan kecederaan yang berlaku secara tiba-tiba, penggunaan lutut berlebihan atau keadaan dasar seperti Artritis. Rawatannya adalah berbeza dan bergantung kepada punca simptom ini. Simptom sakit lutut boleh merangkumi kesakitan, bengkak dan kebas.

Penerangan

Lokasi dan keparahan sakit lutut adalah berbeza dan bergantung kepada punca masalah anda. Tanda-tanda dan simptomnya termasuklah:

  • Bengkak dan kebas
  • Kemerahan dan rasa hangat ketika bahagian terjejas disentuh
  • Kelemahan atau ketidakstabilan
  • Bunyi meletup atau berderap
  • Ketidakupayaan untuk meluruskan lutut dengan sepenuhnya

Penyebab yang berkemungkinan

Osteoartritis, Artritis Reumatoid, Terseliuh dan Gout adalah antara punca sakit utut yang biasa.

Osteoartritis

Osteoartritis adalah salah satu punca kesakitan lutut dalam jangka masa panjang.

Satu sebab umum bagi kesakitan lutut jangka panjang adalah sejenis Artritis yang dikenali sebagai Osteoartritis. Keadaan ini dianggap terjadi akibat kehausan dan kelusuhan sendi. Ia memberi kesan kepada kebanyakan individu yang berusia lebih 65 tahun.

Secara umunya, lutut boleh dibengkokkan dan diluruskan dengan mudah kerana tulang rawan yang berfungsi menutup hujung tulang dalam sendi berada dalam keadaan yang sihat.

Namun, jika terjadinya kerosakan jangka panjang kepada tulang rawan ini, ia akan menyebabkan Osteoartritis. Jika anda mendapat penyakit ini, pergerakan anda menjadi terhad dan kesakitan akan meningkat secara beransur-ansur.

Tambahan lagi, kesakitan akan bertambah buruk jika berat badan anda bertambah dan hanya akan berasa lega sewaktu anda sedang berehat. Selain itu, kesakitan juga mungkin akan hadir sewaktu anda bangun dari duduk atau berada dalam keadaan statik tanpa melakukan sebarang gerakan. Justeru itu, pergerakan yang berkala boleh mengurangkan rasa kebas.

Artritis Reumatoid

Satu lagi jenis Artritis, iaitu Artitis Reumatoid boleh juga menyebabkan sakit lutut.

Arthritis Rheumatoid cenderung melibatkan pembengkakan lutut. Kawasan sendi yang terjejas cenderung menjadi merah, tegang, hangat, dan bengkak.

Kesakitan terdiri daripada kekebasan biasa yang bertambah teruk pada awal pagi. Seterusnya, anda juga mungkin akan menjadi letih pada sebelah petang. Sakit lutut bersama simptom ini memerlukan perhatian doktor bagi memastikan anda mendapat diagnosis dan rawatan yang betul. Rawatan awal penyakit Artritis Reumatoid sangat membantu dalam mengurangkan kesakitan itu.

Terseliuh, Ketegangan dan Kecederaan

Terseliuh dan ketegangan berlaku apabila tisu di lutut diregangkan oleh aktiviti luar biasa, aktiviti yang lebih banyak daripada biasa atau gerakan pusingan yang berlebihan atau terjatuh. 

Kecederaan disebabkan terseliuh seringkali sembuh dengan sendiri, tetapi masalah lain memerlukan lebih banyak rawatan. Sebagai contoh, kecederaan pada pad tisu di sendi lutut yang dikenali sebagai meniskus mungkin memerlukan pembedahan.

Gout

Gout adalah sejenis Artritis. Ia mengakibatkan kesakitan lutut yang teruk disertai dengan kemerahan dan bengkak, serta boleh menjejaskan sendi yang lain. Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh dirawat di bawah rawatan perubatan yang terdiri daripada ubat-ubatan dan perubahan rutin pemakanan dan senaman.

Bila perlu menghubungi doktor

Kecederaan lutut disebabkan oleh trauma secara tiba-tiba seperti kemalangan jalan raya atau terjatuh memerlukan perhatian perubatan dengan segera.

Lutut perlu diperiksa oleh doktor jika terdapat kesakitan yang sangat teruk, luka yang mendalam, bengkak, atau individu tersebut tidak dapat menggunakan atau menggerakkan kaki mereka langsung.

Bagi kes sakit lutut yang lain, doktor perlu meneliti masalah dengan lebih lanjut jika ia:

  • Berterusan untuk masa yang lama.
  • Semakin teruk.
  • Mengganggu aktiviti harian.

Ianya adalah penting untuk mendapatkan diagnosis dan rawatan daripada doktor jika sakit lutut yang anda alami melibatkan sendi yang kemerahan, lembut, hangat, dan bengkak.

Sekiranya simptom tersebut berterusan, melibatkan sendi-sendi lain dan terdapat simptom-simptom lain seperti kekejangan pada waktu pagi, ia mungkin merupakan petanda bagi penyakit Artritis Reumatoid. Jadi. doktor akan memberi anda ubat-ubatan tertentu  untuk merawat simptomnya.

Sekiranya lutut anda bengkak seterusnya berasa hangat dan menyakitkan serta jika terdapat simptom lain seperti berasa tidak sihat, anda perlu mendapatkan bantuan perubatan segera. Ia mungkin menandakan bahawa lutut anda telah dijangkiti dan jangkitan yang serius boleh membahayakan kesihatan. Oleh sebab itu, ia memerlukan rawatan hospital segera.

Sesiapa sahaja yang mengalami sakit lutut dan memerlukan bantuan perubatan harus menghubungi doktor jika masalah menjadi lebih teruk atau jika ada sebarang masalah lain dengan rawatan seperti kesan sampingan ubat-ubatan.

Apa yang boleh dijangka di klinik

Semasa pemeriksaan fizikal, doktor anda mungkin:

  • Memeriksa lutut anda untuk melihat jika terdapat bengkak, kesakitan, ketegangan, sensasi hangat dan lebam yang jelas.
  • Memeriksa sejauh mana anda boleh menggerakkan kaki anda ke arah yang berbeza.
  • Menekan atau menarik sendi untuk menilai struktur di lutut anda.

Ujian pengimejan

Dalam sesetengah kes, doktor mungkin mencadangkan ujian seperti:

  • X-Ray. Doktor anda mungkin mengesyorkan anda menjalani ujian X-ray, yang boleh membantu mengesan tulang retak dan penyakit sendi degeneratif.
  • Pemeriksaan tomografi berkomputer (CT). Pengimbas CT menggabungkan X-ray yang diambil dari pelbagai sudut yang berbeza untuk membentuk imej rentetan keratan bahagian dalam badan anda. Pemeriksaan CT boleh membantu mendiagnosis masalah tulang dan tulang patah yang ringan. Jenis imbasan CT khas pula boleh mengenal pasti penyakit Gout secara tepat walaupun sendi anda tidak meradang.
  • Ultrabunyi. Teknologi ini menggunakan gelombang bunyi untuk menghasilkan imej  nyata bagi struktur tisu lembut di dalam dan sekitar lutut anda. Doktor mungkin akan menggerakkan lutut anda ke posisi yang berbeza semasa ujian ultrabunyi untuk memeriksa masalah tertentu.
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI). MRI menggunakan gelombang radio dan magnet yang kuat untuk mencipta imej 3D di bahagian dalam lutut anda. Ujian ini amat berkesan bagi mendedahkan sebarang kecederaan yang terjadi pada tisu lembut seperti ligamen, tendon, tulang rawan dan otot.

Ujian makmal

Jika doktor anda mengesyaki terdapat sebarang jangkitan atau keradangan, anda mungkin perlu menjalani ujian darah dan satu prosedur yang disebut sebagai Arthrocentesis, di mana sedikit cecair akan dikeluarkan daripada dalam sendi lutut melalui jarum dan dihantar ke makmal untuk dianalisis.

Rawatan

Rawatan bagi sakit lutut adalah berbeza-beza, bergantung kepada punca kesakitan anda.

Ubat-ubatan

Doktor mungkin akan memberikan anda ubat-ubatan tertentu untuk membantu meringankan kesakitan dan merawat keadaan asas seperti Artritis Reumatoid atau Gout.

Terapi

Cara untuk menstabilkan otot di sekeliling anda adalah dengan menguatkannya. Doktor anda mungkin mengesyorkan terapi fizikal atau beberapa jenis senaman kekuatan bergantung pada keadaan tertentu yang menyebabkan kesakitan anda.

Sekiranya anda seorang yang aktif secara fizikal atau bersukan secara rutin, anda perlu bersenam untuk memperbetulkan corak pergerakan yang mungkin boleh menjejaskan lutut dan membina teknik yang baik sewaktu bersukan. Selain itu, senaman yang meningkatkan fleksibiliti dan kestabilan anda juga adalah penting.

Lengkung sokongan, kadangkala menggunakan wedges di satu sisi tumit boleh mengubah tekanan dari sisi lutut yang terjejas oleh Osteoartritis. Dalam keadaan tertentu, jenis sokongan yang berbeza mungkin digunakan untuk membantu melindungi dan menyokong sendi lutut.

Suntikan

Dalam sesetengah kes, doktor mungkin akan mengesyorkan penggunaan ubat diberikan melalui suntikan terus ke dalam sendi anda. Contohnya termasuklah:

  • Kortikosteroid. Suntikan ubat kortikosteroid ke dalam sendi lutut anda boleh membantu mengurangkan simptom Artritis yang meradang dan mampu menahan kesakitan anda selama beberapa bulan. Walau bagaimanpun, suntikan ini tidak berkesan dalam semua kes.
  • Asid hyaluronik. Ia adalah sejenis cecair pekat yang mempunyai tekstur sama seperti cecair semulajadi untuk melincirkan sendi. Asid hyaluronik boleh disuntik ke dalam lutut anda untuk memperbaiki pergerakan dan meringankan kesakitan. Walaupun hasil kajian mengenai keberkesanan rawatan ini adalah berbeza-beza, satu siri suntikan asid hyaluronik boleh bertahan selama 6 bulan.
  • Plasma kaya dengan platelet (PRP). PRP atau ‘Plasma Rich Platelet’ mengandungi faktor pertumbuhan yang berbeza dan berkesan untuk mengurangkan keradangan dan mempercepatkan penyembuhan simptom anda. Namun begitu, suntikan ini cenderung berkesan lebih baik pada individu yang mengalami sakit lutut disebabkan tendon yang koyak, terseliuh atau tercedera.

Pembedahan

Jika anda mengalami kecederaan yang mungkin memerlukan pembedahan, biasanya anda tidak perlu menjalani pembedahan dengan segera. Sebelum membuat sebarang keputusan drastik, anda perlu pertimbangkan kebaikan dan keburukan kedua-dua pilihan rawatan pemulihan iaitu tanpa pembedahan dan melalui pembedahan terlebih dahulu. Jika anda memilih untuk menjalani pembedahan, pilihan anda termasuklah:

  • Pembedahan Artroskopik. Bergantung pada kecederaan anda, doktor mungkin akan memeriksa dan membaiki kerosakan sendi anda menggunakan kamera fiber optik dan sejenis peranti panjang dan nipis yang dimasukkan pada pemotongan kecil yang dilakukan di sekeliling lutut anda. Artroskopi boleh digunakan untuk menghilangkan kelonggaran sendi lutut anda, mengeluarkan atau membaiki tulang rawan yang rosak (terutamanya jika ia menyebabkan lutut anda terkunci) dan membina semula ligamen yang koyak.
  • Pembedahan penggantian lutut separa. Dalam prosedur ini, pakar bedah akan  menggantikan bahagian lutut anda yang rosak dengan bahagian baru yang diperbuat daripada logam dan plastik. Pembedahan biasanya boleh dilakukan melalui pemotongan kecil. Oleh itu anda mungkin akan sembuh dengan lebih cepat berbanding jika melalui pembedahan untuk menggantikan seluruh lutut anda.
  • Pembedahan penggantian otot menyeluruh. Dalam prosedur ini, pakar bedah anda akan memotong tulang dan tulang rawan yang rosak daripada tulang paha, tulang kering dan kepala lutut anda serta menggantikannya dengan sendi tiruan yang diperbuat daripada aloi logam, plastik bermutu tinggi dan polimer.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/knee-pain/diagnosis-treatment/drc-20350855

https://www.webmd.com/pain-management/knee-pain/default.htm

https://www.medicalnewstoday.com/articles/311280.php#-when-to-see-a-doctor

error: Content is protected !!