Sesetengah ubat-ubatan berfungsi untuk menangani pelbagai masalah kesihatan dengan dos dan cara pengambilan yang betul. Salah satu ubat yang khas untuk lelaki adalah “ubat kuat lelaki” di mana ia adalah ubat yang biasanya dikaitkan dengan masalah melakukan hubungan seksual.
Anda pasti pernah melihat iklan-iklan ubat kuat ini seperti di kaca televisyen mahupun di tiang-tiang jalan ketika berhenti di lampu isyarat. Pelbagai tuntutan perubatan dinyatakan dengan janji-janji manis bahawa ubat tersebut boleh membantu individu lelaki mencapai kepuasan maksimum bersama pasangan dan banyak lagi.
Namun, ini hanyalah antara strategi pemasaran yang digunakan untuk menarik perhatian pengguna yang berpotensi. Ketahui bahawa ada sesetengah produk ini sudah berdaftar dengan betul dan mempunyai nombor pendaftaran ‘MAL’ tapi ada juga yang dijual secara haram.
Tidak ada salahnya jika anda ingin menggunakan ubat kuat ini terutama jika ia boleh membantu menangani masalah kesihatan seperti mati pucuk. Namun, pemilihan ubat kuat perlulah dibuat dengan teliti kerana produk yang tidak berlesen kadangkala menggunakan bahan terlarang yang mungkin boleh mendatangkan bahaya dalam jangka masa panjang.
Bagaimana ubat kuat berfungsi?
Ubat kuat berfungsi dengan melancarkan proses aliran darah ke bahagian zakar lelaki agar dirinya boleh mengekalkan ereksi sepanjang melakukan hubungan seksual dengan pasangannya. Malah, ia juga boleh digunakan sebagai rawatan bagi masalah mati pucuk.
Namun, betapa efektifnya ubat tersebut bergantung pada beberapa faktor seperti:
- Dos ubat
- Usia
- Keadaan kesihatan
- Keadaan psikologi
- Pengambilan ubat lain
Jadi, walaupun anda mengambil ubat yang sama, kesannya mungkin berbeza-beza antara individu. Pastikan anda membaca panduan pengambilan yang tertera pada label ubat dengan teliti untuk memahami cara ubat berfungsi.
Kesan sampingan ubat kuat
Terdapat banyak jenis ubat kuat yang dijual di pasaran sama ada dalam bentuk kapsul, serbuk, minyak mahupun ramuan herba. Namun, tidak semuanya selamat untuk diambil, malah ada yang boleh memberi kesan sampingan tertentu.
Jika produk tersebut menggunakan bahan yang terlarang, ia mungkin boleh merengsakan kulit anda terutama jika anda menggunakan ubat kuat jenis minyak yang diguna sebagai urutan pada zakar.
Di samping itu, bagi jenis tablet atau serbuk, semakin tinggi dos ubat kuat yang diambil, semakin tinggilah risiko kesan sampingan yang boleh berlaku. Antaranya termasuk tekanan darah rendah, kerosakan hati, kegagalan buah pinggang dan gangguan mental.
Malah, penggunaan ubat terlarang mungkin menyebabkan masalah penghadaman seperti cirit-birit, jangkitan pada saluran kencing dan banyak lagi. Individu juga boleh mengalami masalah hidung tersumbat dan masalah pada saluran pernafasan dalam kes yang serius.
Disebabkan itulah ianya penting untuk mendapatkan pendapat daripada pakar dahulu sebelum mengambil sebarang ubat-ubatan kerana bimbang berlakunya kesan sampingan ini.
Perkara yang anda perlu beri perhatian
Sebelum anda memilih untuk mencuba produk ubat kuat yang ada di pasaran, ikuti beberapa langkah yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dahulu:
- Dapatkan pemeriksaan dan nasihat daripada doktor sekiranya anda benar-benar mempunyai masalah mati pucuk. Doktor mungkin boleh mempreskripsikan ubat tertentu seperti sildenafil, tadalafil dan verdanafil atau menetapkan rawatan bersesuaian untuk menangani masalah tersebut dahulu.
- Dapatkan produk kesihatan daripada premis atau peniaga yang sah. Pastikan ia mengandungi nombor pendaftaran ‘MAL’ dan elakkan membeli produk yang dijual di pasar malam, tepi jalan atau oleh pengedar yang tidak berlesen.
- Pastikan anda membeli ubat yang masih dalam keadaan berbungkus bagi tujuan kebersihan. Jangan beli produk yang sudah terbuka atau ditunjukkan sebagai paparan (display) oleh penjual.
KESIMPULANNYA,
Setiap ubat yang tidak dipreskripsi boleh diambil tapi dengan risikonya tersendiri. Pastikan anda mendapatkan pandangan daripada doktor dahulu sebelum mengambil ubat kuat dan bincangkan jenis ubat yang sesuai dengan keadaan anda.
Tidak semua ubat berfungsi dengan sama pada individu, dan ada juga yang boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada. Jadi, sebelum membeli ubat kuat, ambil langkah-langkah penting dan elakkan pembelian ubat tidak diiktiraf atau yang dijual secara haram.
SUMBER
https://www.myhealth.gov.my/iklan-ubat-antara-realiti-dan-fantasi
https://hellodoktor.com/gaya-hidup-sihat/seks-hubungan/ubat-tahan-lama-untuk-ereksi/