Ibu bapa pastinya teruja dengan kehadiran insan baru dalam keluarga mereka hinggakan semua barang hendak dibeli bagi memenuhi keperluan si bayi. Antaranya termasuklah buaian bayi yang juga berada dalam senarai tersebut.
Walaupun kadangkala ada yang tidak memilih untuk menggunakan buaian, namun ia sebenarnya membantu untuk menidurkan bayi dengan lebih baik dan membolehkan anda melakukan kerja lain pada waktu yang sama.
Namun, pilihan penggunaannya adalah terpulang mengikut pandangan masing-masing. Dalam artikel ini, kita akan membahas lebih lanjut tentang penggunaan buaian bayi pada zaman sekarang.
Apakah kebaikan menggunakan buaian?
Penggunaan buaian untuk menidurkan bayi sememangnya sudah menjadi satu tradisi sejak dahulu lagi walaupun alatnya mungkin berubah seiring dengan perkembangan zaman yang lebih canggih. Jika dahulu, buaian menggunakan kain serta digantung pada siling rumah mahupun tiangnya sendiri, sekarang kebanyakannya tidak sebegitu lagi.
Jadi, apakah kebaikan buaian sebenarnya? Buaian membantu untuk menenangkan bayi terutama ketika mereka sedang merengek dan menangis. Pergerakan yang perlahan sepertinya membuatkan mereka berasa lebih selesa dan cepat mengantuk. Malah, ada yang mengatakan bahawa pergerakan buaian membuatkan bayi berasa seperti berada dalam rahim ibu dahulu.
Tidak kiralah buaian secara tradisional mahupun buaian automatik, kedua-duanya mempunyai fungsi yang sama iaitu membantu memberikan keselesaan pada si bayi.
Adakah terdapat perbezaan antara buaian tradisional dan automatik?

Kredit gambar: siraplimau

Kredit gambar: 100comments.com
Satu aspek yang pastinya berbeza adalah harganya. Buaian tradisional biasanya hanya menggunakan kain sahaja seperti kain pelekat dan kain batik atau kain-kain bersesuaian bersama tali dengan ‘spring’ biasa sahaja, jadi kosnya tidak mahal. Berbeza pula dengan buaian automatik yang boleh mencecah hingga ribuan ringgit mengikut jenama dan fungsinya.
Buaian tradisional memerlukan anda menolak atau menggoyangnya sendiri manakala buaian automatik boleh menggunakan bateri atau arus elektrik. Ia mungkin agak memenatkan untuk mengawal buaian tradisional terutama pada waktu malam ketika anda juga sudah penat dan mengantuk. Justeru itulah, buaian elektrik mungkin membantu dalam aspek ini kerana anda tidak perlu mengawalnya sendiri.
Malah, memandangkan buaian tradisional memerlukan pergerakan manual, jadi tahap kelajuan buaian boleh diselaraskan mengikut keperluan bayi bila-bila masa. Bagi jenis automatik, ia mungkin hanya boleh kekal dengan satu kelajuan pada satu masa dan memerlukan pengubahsuaian tetapan jadi anda mungkin boleh meneroka jenis-jenis buaian automatik yang mempunyai tetapan kelajuan berbeza.
Bolehkah buaian mendatangkan bahaya kepada bayi?
Memandangkan buaian adalah satu alat yang bergerak, maka ia mungkin boleh menyebabkan kecederaan sekiranya ia tidak dipantau dengan baik oleh ibu bapa atau penjaga bayi. Ayunan buaian yang terlalu kuat mungkin boleh menyebabkan bayi terjatuh dan terhantuk ke lantai. Malah, ia juga boleh berlaku jika asas buaian tidak kuat untuk menampung berat bayi dengan baik.
Justeru itu, pemilihan buaian yang baik adalah penting untuk memastikan keselamatan bayi terjaga. Selain itu, pastikan anda tidak meninggalkan bayi berseorangan sahaja tanpa pemantauan yang kerap agar tiada perkara buruk yang berlaku.
Apakah tips sebelum membeli buaian?
Sebelum anda membeli buaian buat si bayi, pastikan anda mengambil kira beberapa aspek ini:
- Bajet – Memandangkan buaian mempunyai banyak jenama dengan pilihan yang berbeza, pastikan anda memilih jenis yang sesuai mengikut bajet anda. Usah pilih sesuatu kerana mengikut trend jika anda tidak mampu. Ianya tidak mengapa jika harga adalah murah tetapi pastikan buaian tersebut mempunyai ciri keselamatan serta berfungsi seperti sepatutnya.
- Ciri-ciri keselamatan – Aspek keselamatan adalah aspek yang sangat penting sebelum membeli buaian. Jadi, pastikan anda meneliti buaian tersebut sekiranya terdapat apa-apa perkara yang boleh mendatangkan bahaya pada bayi anda. Serta, semak juga berat buaian kerana ada buaian yang dicipta mengikut had berat tertentu sahaja. Ia mungkin menyebabkan kemalangan jika terlebih berat.
- Fleksibel – Sebelum membeli buaian, pastikan anda memilih jenis yang fleksibel di mana ia boleh dilipat atau dibungkus dan dibawa ke mana-mana sahaja. Jadi, anda dengan mudah boleh menidurkan bayi anda walaupun tidak berada di rumah. Ianya sangatlah berguna terutama jika anda pulang ke kampung mahupun menginap di hotel.
- Saiz – Saiz memainkan peranan penting dalam pemilihan buaian kerana tidak semua buaian sesuai dengan keadaan keluarga anda. Anda perlu menitik beratkan ruang untuk meletakannya di rumah agar ia tidak menghalang laluan atau menyebabkan ruang menjadi lebih sempit.
Jadi, adakah buaian satu keperluan atau kehendak?
Soalan ini tidak mempunyai satu jawapan tetap kerana ia adalah kepada pendapat masing-masing. Jika anda memerlukan bantuan untuk menidurkan bayi dengan lebih mudah berbanding terpaksa mendukung bayi setiap masa, jadi buaian adalah satu pelaburan yang baik buat si kecil. Sekiranya anda berasa bahawa bayi anda masih boleh dijaga dengan baik tanpa bantuan buaian, jadi anda tidak perlulah membelinya.
Malah, ia juga boleh digunakan semula buat bayi anda akan datang jadi ia tidak membazirkan wang begitu sahaja. Bagi jenis tradisional, anda mungkin hanya perlu menukar kain dan ‘spring’ yang digunakan, manakala jenis automatik biasanya tahan lebih lama. Tetapi, pastikan baterinya dalam keadaan baik agar ia boleh digunakan untuk masa hadapan.
Kredit: Gambar diambil daripada https://blog.pantangplus.com/buaian-baby-bayi/
SUMBER
https://blog.pantangplus.com/tag/jenis-buaian-bayi/
https://blog.pantangplus.com/tag/jenis-buaian-bayi/
https://siraplimau.com/ini-3-kebaikan-buaian-untuk-perkembangan-bayi-dan-cara-betul-penggunaannya/