Apakah itu fisioterapi?
Fisioterapi membantu mengembalikan pergerakan dan fungsi tubuh apabila seseorang mengalami masalah kecederaan, penyakit atau kecacatan.
Anda boleh mendapat manfaat daripada fisioterapi pada bila-bila masa dalam hidup anda. Fisioterapi membantu pelbagai masalah yang dialami anda seperti asma, artritis, sakit belakang, kanser, sakit lutut dan tidak lawas semasa hamil.
Masalah Yang Sering Berlaku dan Bagaimana Fisioterapi Dapat Membantu
1. Asma
Pakar fisio akan membantu dan menunjukkan kepada anda cara bernafas yang lebih santai di samping melatih cara pernafasan anda.
Fisio juga akan memberi nasihat dan saranan tentang bagaimana untuk menguruskan gejala asma anda seperti batuk, sesak nafas, berdehit dan lendir berlebihan.
Aktiviti fizikal dan senaman dapat membantu anda menguruskan asma. Ahli fisioterapi juga boleh memberi cadangan aktiviti yang lebih aktif dan sesuai untuk keadaan peribadi anda.
– Apa yang akan berlaku apabila saya berjumpa dengan ahli fisioterapi?
Apabila anda berjumpa dengan ahli fisioterapi, mereka akan menilai masalah anda dan memberi anda cadangan dan nasihat untuk mengatasi masalah anda. Mereka juga mungkin akan memberikan rawatan fizikal. Jangan risau, semua maklumat anda akan dirahsiakan sepenuhnya.
Anda mungkin perlu menanggalkan pakaian kerana ahli fisioterapi mungkin perlu melihat bagaimana anda bernafas dan bergerak. Pastikan anda berpakaian selesa dan memakai seluar dalam yang sesuai.
2. Arthritis
Sebilangan besar jenis arthritis berlaku disebabkan beberapa faktor tertentu. Sekiranya ahli keluarga anda mempunyai sejarah artritis, anda mungkin juga cenderung menghidapi. Walau bagaimanapun, artritis boleh berlaku secara tiba-tiba, tanpa sebab yang jelas, pada usia apa pun.
Senaman dapat membantu menguruskan beberapa gejala artritis. Ahli fisioterapi akan membantu dan memberikan nasihat dan ilmu untuk menguruskan artritis anda dengan senaman dan ubat tahan sakit.
Mereka juga boleh mengajar anda cara meningkatkan pergerakan sendi dan berjalan kaki anda, serta cara menguatkan otot anda. Ahli fisioterapi anda mungkin akan menyarankan latihan di dalam air, di kolam renang berdekatan anda. Mereka mungkin juga disarankan untuk melakukan akupunktur untuk beberapa keadaan.
Anda perlu bersikap aktif agar anda dapat bergerak dengan baik dan kemudiannya berdikari.
Anda juga mungkin perlu berjumpa ahli fisioterapi sebelum dan selepas temu janji untuk total knee atau total hip replacement. Fisio akan membantu anda berjalan dengan betul dan memastikan anda pulih dengan baik.
– Apa yang akan berlaku apabila saya berjumpa dengan ahli fisioterapi?
Apabila anda berjumpa ahli fisioterapi, mereka akan menilai masalah anda dan memberi anda nasihat dan cadangan dan atau rawatan fizikal. Maklumat fisioterapi anda akan dirahsiakan sepenuhnya.
Ahli fisioterapi mungkin perlu melihat cara anda bergerak jadi anda mungkin perlu menanggalkan pakaian. Berpakaian selesa dan pastikan anda memakai seluar dalam yang bersesuai.
3. Sakit belakang
Sekiranya rasa sakit belakang tidak pulih atau semakin teruk dalam jangka masa 2-3 minggu atau membuatkan anda berhenti melakukan aktiviti harian, maka anda perlu mendapatkan nasihat yang lebih lanjut daripada doktor atau ahli fisioterapi anda.
Malah, jika anda mengalami kesakitan yang berterusan selama lebih 6 minggu meskipun ia tidak mengganggu aktiviti harian anda, pastikan merujuk pada doktor atau ahli fisioterapi anda.
Dalam fisioterapi, terdapat pakar rawatan sakit belakang yang boleh memberikan nasihat dan rawatan yang bersesuaikan untuk anda.
– Apa yang berlaku apabila saya berjumpa ahli fisioterapi untuk sakit belakang?
Ahli fisioterapi akan melakukan penilaian lengkap dan menyeluruh terhadap anda. Ini termasuklah:
- mengambil maklum sejarah terperinci sakit belakang anda,
- perincian perubatan dan keluarga anda mengenai sakit belakang
Mereka kemudian akan melakukan penilaian fizikal untuk mengetahui cara anda bergerak dan bagaimana otot, saraf dan sendi anda berfungsi.
Golongan ini juga akan membincangkan tentang pilihan yang ada, dan program rawatan terbaik yang bersesuaian dengan keperluan anda. Pilihan rawatan merangkumi:
- program latihan di rumah untuk kekuatan dan pergerakan
- nasihat mengenai cara pengurusan masalah sakit belakang anda
- rawatan kendiri (hands-on)
Ahli fisioterapi anda akan memantau kemajuan rawatan dan membantu anda memperoleh kembali kehidupan seharian yang normal.
4. Kanser
Kanser adalah keadaan di mana sel-sel di bahagian tubuh tertentu tumbuh dan membiak secara tidak terkawal. Beberapa aspek seperti gaya hidup perlu dipantau untuk mengurangkan risiko kanser.
Namun begitu kanser yang melibatkan genetik seseorang mungkin tidak dapat berubah.
– Bagaimana fisioterapi dapat membantu pesakit kanser?
Ahli fisioterapi akan mencari cara agar pesakit kanser kekal aktif. Anda mungkin perlu melibatkan diri dalam program latihan atau diberikan nasihat dan cadangan aktiviti harian yang anda boleh lakukan, seperti menaiki tangga atau berpakaian.
Melalui beberapa penyelidikan kanser, senaman dilihat dapat mengurangkan risiko kanser kembali dan meningkatkan peluang untuk terus hidup.
Pakar fisioterapi juga membantu anda mengatasi masalah dan kesan sampingan rawatan yang mungkin berlaku seperti keletihan, osteoporosis dan limfedema. Ahli fisioterapi juga akan menyokong dan membantu pesakit kanser untuk menguruskan kesakitan.
Hal ini penting kerana kesakitan yang dialami anda boleh membuatkan anda berasa takut untuk bergerak atau berjalan di samping dapat meningkatkan kualiti hidup anda.
Bagi pesakit kanser yang berumur dan bekerja, ahli fisioterapi juga boleh membantu anda mendapatkan kekuatan bergerak yang cukup untuk anda kembali bekerja.
Apabila anda berjumpa ahli fisioterapi, mereka akan menilai masalah anda dan membuat rancangan rawatan. Ini akan melibatkan matlamat realistik yang dipersetujui. Ahli fisioterapi anda akan bertanya tentang gejala semasa, sejarah perubatan dan bagaimana kanser mempengaruhi kehidupan harian anda.
5. Sakit lutut
Punca umum sakit lutut adalah osteoarthritis yang mempengaruhi sendi badan. Permukaan di dalam sendi rosak menyebabkan sendi tidak bergerak seperti yang sepatutnya.
– Apa yang berlaku apabila saya berjumpa ahli fisioterapi untuk sakit lutut?
Ahli fisioterapi akan melakukan penilaian lengkap dan menyeluruh terhadap anda. Ini termasuklah mengambil maklumat tentang sejarah terperinci masalah lutut anda. Mereka kemudian akan melakukan penilaian fizikal untuk melihat cara anda bergerak dan bagaimana otot, saraf dan sendi anda berfungsi.
Selain itu, golongan pakar akan berbincang dengan anda beberapa pilihan dan program rawatan terbaik yang sesuai dengan keperluan anda. Ini mungkin merangkumi pilihan seperti:
- program latihan di rumah untuk kekuatan dan mobiliti
- nasihat mengenai pengurusan kesakitan
- rawatan kendiri (hands-on)
Ahli fisioterapi anda akan memantau kemajuan rawatan anda dan membantu anda memperoleh kembali kehidupan normal anda.
6. Kencing tidak lawas ketika kehamilan
Masalah kencing tak lawas yang terjadi ketika hamil adalah perkara biasa semasa dan selepas kehamilan. Wanita mungkin mengalami masalah kencing tak lawas selama satu tahun atau lebih, setelah melahirkan bayi.
Simptomnya adalah mereka perlu bergegas ke tandas atau terkucil ketika batuk, ketawa atau bersenam yang disebabkan oleh otot pelviks yang lemah.
– Bagaimana fisioterapi dapat membantu?
Ahli fisioterapi akan menasihatkan anda latihan otot pelvik berulangan setiap hari. Sekiranya anda mempunyai kegusaran tentang latihan ini, bertanyalah pada ahli fisioterapi kesihatan wanita.
Ahli fisioterapi boleh:
- mengajar anda cara melatih otot pelviks anda dengan betul
- memberi nasihat tentang gaya hidup anda seperti diet, senaman dan pengambilan ubat yang akan membantu anda mengatasi masalah tersebut
- memantau kemajuan rawatab dan mengubah latihan dengan sewajarnya
Walaupun anda tidak mengalami masalah kencing tak lawas, anda disyorkan melakukan latihan pelvik secara berkala semasa kehamilan pertama dan seterusnya untuk mengurangkan risiko masalah ini berlaku.
Sekiranya anda mengalami kencing tak lawas, garis panduan akan diberikan untuk mengesyorkan anda menjalani latihan otot pelviks sekurang-kurangnya tiga bulan sebagai pemantauan keadaan pertama.
Terdapat juga beberapa fisioterapi yang membantu keadaan seperti:
- Penyakit Kardiovaskular
- Cerebral Palsy
- Penyakit Chronic Obstructive Pulmonary (COPD)
- Sakit Kronik
- Rawatan Kritikal
- Demensia
- Diabetes Jenis 2
- Sakit Siku
- Jatuh dan Retak
- Sakit Kaki
- Tekanan Darah Tinggi
- Sklerosis Berganda
- Sakit Leher
- Osteoporosis
- Parkinson
- Rehabilitasi
- Sakit Bahu dan Strok
Bertanya ahli fisioterapi anda untuk pertanyaan lebih lanjut.
SUMBER
https://www.csp.org.uk/careers-jobs/what-physiotherapy
https://www.csp.org.uk/conditions/asthma
https://www.csp.org.uk/conditions/arthritis
https://www.csp.org.uk/conditions/back-pain/getting-help-back-pain
https://www.csp.org.uk/conditions/cancer
https://www.csp.org.uk/conditions/knee-pain/getting-help-knee-pain