Now Reading
Simptom Sengatan Kala Jengking (Scorpion Sting), Faktor Risiko Dan Rawatannya.

Simptom Sengatan Kala Jengking (Scorpion Sting), Faktor Risiko Dan Rawatannya.

scorpion sting

Sengatan Kala Jengking boleh menyebabkan alahan kepada individu yang pernah disengat dan disengat buat kali kedua dan berikutnya. Selepas disengat oleh seekor kala jengking, anda akan merasakan kesakitan yang melampau secara serta-merta. Dalam tempoh 5 minit yang seterusnya, bengkak dan kemerahan akan mula muncul pada bahagian yang disengat. Kemudian, simptom yang lebih parah boleh berlaku dalam masa satu jam.

Anda mungkin berfikir bahawa anda akan mati setelah disengat oleh seekor kala jengking, tetapi kebarangkalian berlakunya kematian adalah sangat tipis. Terdapat kira-kira 1,500 spesies kala jengking di dunia dan hanya 30 jenis kala jengking yang menghasilkan racun cukup bertoksik untuk menyebabkan kematian.

Kala jengking adalah sejenis binatang pemangsa yang tergolong dalam keluarga araknid. Ia mempunyai lapan kaki dan sangat dikenali kerana dua penyepit besarnya yang menyerupai sepit ketam serta ekornya yang runcing serta bersegmen. Ekor ini sentiasa dilengkungkan ke hadapan dan sengatannya terletak pada jarum tajam di hujung ekor.

Simptom Sengatan Kala Jengking

Tanda dan simptom di tapak termasuklah:

  • Kesakitan
  • Kebas dan kesemutan
  • Bengkak sedikit
  • Kehangatan dan panas

Tanda dan simptom yang berkaitan dengan penyebaran kesan racun (sistemik) yang biasanya berlaku pada kanak-kanak disengat termasuklah:

  • Otot berdenyut
  • Pergerakan kepala, leher dan mata yang luar biasa
  • Berpeluh
  • Pening dan muntah
  • Kadar jantung dipercepatkan (takikardia)
  • Menjadi gelisah atau menangis yang tidak reda melalui pujukan

Sengatan kala jengking, seperti serangga lain yang menyengat contohnya lebah dan penyengat, boleh menyebabkan alahan kepada individu yang pernah disengat dan disengat buat kali kedua dan berikutnya. Reaksi terhadap sengatan ini kadangkala menjadi cukup teruk sehingga boleh menyebabkan keadaan mengancam nyawa dipanggil ‘anafilaksis’.

Tanda-tanda dan simptom dalam kes ini adalah serupa dengan Anafilaksis yang terjadi kerana sengatan lebah seperti alahan (Gelegata), kesukaran bernafas, loya dan muntah.

Punca Sengatan Kala Jengking

Punca simptom sengatan kala jengking adalah ‘barb’ atau penyengat yang mengandungi toksin protein (juga dikenali sebagai racun). Simptom-simptom yang dialami setelah disengat oleh kala jengking adalah disebabkan oleh toksin ini. Namun, racun itu tidak tulen kerana ia mengandungi protein campuran (neurotoxin, inhibitor protein dan bahan-bahan lain).

Kandungan toksin adalah berbeza mengikut spesies dan jenis kala jengking. Terdapat hanya 25 hingga 40 jenis daripada 2000 spesies kala jengking yang mempunyai toksik atau racun yang berbahaya terhadap manusia. Antara toksin yang berbahaya tersebut adalah chlorotoxin dan maurotoxin. Dua jenis toksin ini sedang dikaji bagi penawar penyakit seperti kanser.

Diagnosis Sengatan Kala Jengking

Biasanya, bagi mendiagnosis sengatan kala jengking, doktor akan bertanya mengenai sejarah dan simptom yang anda alami. Sekiranya anda mengalami simptom yang teruk, doktor akan melakukan ujian darah atau pengimejan untuk mengesan sebarang toksin atau racun yang merebak ke hati, jantung, paru-paru dan organ lain.

Faktor Risiko Sengatan Kala Jengking

Di tempat yang mempunyai rawatan perubatan yang terhad, sengatan kala jengking boleh menjadi kes kecemasan yang membawa maut. Beberapa tempat seperti Mexico, Afrika, Timur Tengah, Afrika Utara dan India telah mengkategorikan kematian berpunca daripada jenis ‘skull scorpion’ sebagai salah satu masalah yang serius kepada masyarakat di sana.

Kala jengking suka bersembunyi di antara kayu api, pakaian, kasut dan tempat pembuangan sampah. Oleh itu, anda perlu berhati-hati apabila mengendalikan barang-barang seperti ini. Ia cenderung ditemui sewaktu cuaca panas, semasa berkhemah di kawasan hutan atau mendaki bukit.

Sengatan kala jengking biasanya berlaku pada tangan, lengan dan kaki.

Rawatan Sengatan Kala Jengking

Rawatan untuk sengatan kala jengking yang terbaik adalah melalui rawatan di rumah dan berehat.

  1. Basuh sengatan dengan sabun serta air dan tanggalkan semua barang perhiasan kerana ia boleh menghalang peredaran darah apabila tisu menjadi bengkak (misalnya, disengat pada jari yang mempunyai cincin).
  2. Letakkan pemampat sejuk selama 10 minit dan angkat dari tapak sengatan.
  3. Ambil ubat acetaminophen (Tylenol) sebanyak 1 hingga 2 tablet setiap 4 jam bagi melegakan kesakitan (biasanya tidak diambil melebihi 3g setiap 24 jam). Elakkan pengambilan aspirin dan ibuprofen (Advil, Motrin) kerana ia boleh menyumbang kepada masalah lain.
  4. Antibiotik tidak membantu kecuali kawasan sengat dijangkiti kuman.
  5. Jangan potong luka tersebut atau menggunakan penyedut.
  6. Sekiranya seorang kanak-kanak berusia 5 tahun atau lebih muda disengat, dapatkan rawatan oleh penjaga perubatan segera.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/scorpion-stings/symptoms-causes/syc-20353859

https://www.medicalnewstoday.com/articles/scorpion-sting

https://www.healthline.com/health/scorpion-sting

error: Content is protected !!