Pengenalan
Sesak nafas atau dyspnea, adalah keadaan yang tidak selesa yang membuatkan udara sukar untuk masuk ke dalam paru-paru anda. Masalah jantung dan paru-paru boleh menjejaskan pernafasan anda.
Walau bagimanapun, sesetengah individu mungkin mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dalam jangka masa yang singkat. Individu lain pula mungkin mengalaminya dalam jangka masa panjang, berterusan selama beberapa minggu atau lebih.
Sekiranya sesak nafas anda bukan disebabkan oleh kecemasan perubatan, anda boleh cuba beberapa jenis rawatan di rumah yang berkesan untuk membantu mengurangkan keadaan tersebut.
Ramai individu mendapati bahawa perubahan kedudukan boleh membantu merelakskan badan dan saluran udara anda.
Penerangan
Apabila anda berasa sesak nafas, anda akan berasa seolah-olah anda tidak dapat menghirup udara dengan betul. Selain itu, anda juga mungkin merasakan seolah-olah anda kekurangan udara di dalam paru-paru anda atau anda sering bernafas secara mendalam. Malah, anda juga mungkin berasa sesak di dada anda.
Penyebab yang berkemungkinan
Sesak nafas boleh disebabkan oleh banyak perkara, termasuklah:
- Asma
- Penyakit paru-paru lain (seperti emphysema yang merupakan penyakit paru-paru yang cenderung disebabkan oleh merokok)
- Kegagalan jantung
- Serangan panik
- Alahan
Sekiranya anda mengalami sesak nafas yang diiringi batuk dan / atau demam, anda mungkin mempunyai jangkitan dada atau pneumonia. Penyebab masalah pernafasan yang jarang berlaku pula adalah kanser paru-paru, darah beku di paru-paru, kebocoran udara di sekitar paru-paru, dan parut di tisu paru-paru.
Bila perlu menghubungi doktor
Anda perlu berjumpa dengan doktor anda jika anda mengalami sesak nafas secara tiba-tiba dan tidak dijangka sewaktu melakukan sesuatu aktiviti, atau berkaitan dengan keadaan semasa kesihatan atau kecergasan anda.
Kesukaran bernafas secara tiba-tiba, berterusan atau mengganggu aktiviti harian anda harus dinilai oleh pakar perubatan. Malah, sesak nafas yang tidak berkurang setelah menjalani rawatan atau turut disertai dengan simptom lain seperti sakit dada memerlukan penilaian segera mungkin di pusat kecemasan.
Apa yang boleh diharapkan di klinik
Doktor anda boleh membantu mencari punca masalah sesak nafas anda. Beliau akan memulakan diagnosis dengan bertanya soalan tentang simptom yang anda alami dan melakukan ujian fizikal. Selain itu, doktor anda juga boleh melakukan beberapa ujian lain.
Sebagai contoh, untuk mencari punca sesak nafas anda, doktor anda boleh melakukan X-ray dada.
Selain itu, beliau juga boleh melakukan ujian elektrokardiogram (juga dikenali sebagai ECG). Semasa ujian ini, doktor akan meminta anda untuk berbaring supaya keadaan jantung anda dapat dipantau. Mesin ECG akan mencipta atau mengesan imej, yang menunjukkan isyarat elektrik jantung anda.
Anda mungkin perlu menjalani imbasan tomografi (CT) berkomputer, yang merupakan satu lagi jenis X-ray. Dengan kaedah ini, doktor boleh mengukur kekuatan pernafasan anda (dipanggil spirometer) dan tahap oksigen dalam darah anda. Anda juga mungkin perlu menjalani ujian darah.
Rawatan
Doktor anda akan merawat punca masalah sesak nafas anda terlebih dahulu. Jika anda merokok, anda perlu berhenti segera untuk memperbaiki keadaan anda.
Tanya doktor anda untuk jika anda memerlukan sebarang bantuan. Selain itu, elakkan bernafas di persekitaran yang dicemari dengan bahan kimia yang boleh mengganggu paru-paru anda, seperti asap dari cat dan ekzos kereta.
Selain itu, anda harus berusaha untuk melakukan banyak senaman.
Sumber:
https://www.webmd.com/lung/shortness-breath-dyspnea
https://www.healthline.com/health/what-does-shortness-of-breath-feel-like