Now Reading
Simptom COVID-19 pertama bagi sesetengah pesakit mungkin cirit, mual atau muntah

Simptom COVID-19 pertama bagi sesetengah pesakit mungkin cirit, mual atau muntah

simptom COVID-19

Simptom COVID-19 saban hari semakin membimbangkan. Tahukah anda, terdapat tanda-tanda COVID-19 yang dikesan sebagai gelaja pertama?

Banyak simptom COVID-19 namun dalam kajian terbaru, cirit-birit, mual atau muntah dikesan sebagai gejala pertama penyakit ini. Sesetengah individu mungkin mempunyai “versi gastrointestinal”. Ini adalah kerana apabila doktor mempelajari lebih lanjut mengenai simptom COVID-19 ini, ada bukti baharu bahawa gangguan pada perut dapat menjadi gejala utama bagi individu dengan bentuk ringan penyakit ini.

Menurut ulasan daripada American Journal of Gastroenterology, masalah pencernaan, terutamanya cirit-birit, boleh menjadi petunjuk pertama dalam “sebahagian kumpulan unik” bagi pesakit yang dijangkiti dengan coronavirus ini. Namun, ia tidak mempunyai tanda amaran biasa.

Golongan individu sebegini mungkin atau tidak terus membangunkan masalah pernafasan dan demam selepas suatu ketika. Mereka juga biasanya didiagnosis lebih lewat berbanding pesakit lain, yang bermaksud mereka mungkin telah menyebarkan virus itu tanpa disedari.

Penemuan ini dibuat selepas kajian terdahulu mendapati bahawa hampir separuh daripada pesakit COVID-19 pada umumnya mengadu mengalami gejala pencernaan. Jadi, ramai pakar penyelidik ingin memahami lebih lanjut mengenai 80% individu yang hanya mengalami kesan ringan berbanding mereka yang bertarung nyawa di unit penjagaan rapi mahupun yang maut disebabkan penyakit ini.

Cirit, mual, atau muntah sebagai simptom COVID-19

Adakah anda tahu bahawa simptom COVID-19 bukanlah sekadar mengalami simptom batuk sahaja. Seperti yang dikatakan oleh Dr. Brennan Spiege, penulis kajian dan pengarah penyelidikan perkhidmatan kesihatan di Sistem Kesihatan Cedars-Sinai di Los Angeles, pakar perubatan pastinya sangat tertumpu kepada organ paru-paru bagi kes COVID-19 kerana itulah yang boleh menyebabkan orang mati. Tetapi bagi coronavirus, jika ia masuk ke dalam air liur anda dan anda menelannya, ia kemudiannya boleh memasuki sistem usus.

Jika usus kita ditebarkan, ia sebenarnya mempunyai kawasan permukaan hampir sebesar gelanggang tenis. Jadi secara amnya, virus mempunyai kawasan yang sangat luas untuk memulakan proses replikasi dirinya sendiri sebanyak mana yang ia mahukan. Inilah yang kelihatannya berlaku pada sesetengah pesakit yang menghidapi versi GI bagi penyakit COVID-19.

Penemuan ini bermakna bahawa individu yang tiba-tiba mengadu mengalami cirit-birit, mual atau muntah selepas berada di sekitar seseorang yang mungkin dijangkiti dengan coronavirus haruslah disyaki juga bagi penyakit ini. Ini harus dilakukan walaupun mereka tidak mempunyai tanda-tanda COVID-19 seperti batuk, sesak nafas, sakit tekak atau demam.

Dalam kajian yang dilakukan, ia melibatkan 206 pesakit dengan kes ringan COVID-19 yang disahkan oleh makmal di Wuhan, China, di mana wabak itu bermula.

Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan: 48 pesakit yang hanya mengalami gejala pencernaan; 69 dengan masalah pencernaan dan pernafasan; serta 89 yang hanya mengalami gejala pernafasan.

Daripada golongan yang mempunyai masalah perut, 57% daripadanya mengalami cirit-birit dengan 1/5 daripada pesakit mengalaminya sebagai simptom COVID-19 pertama mereka. Kira-kira 62% pesakit dengan gejala penghadaman pula mengalami demam pada masa yang sama, dan menyebabkan tinggal hanya lebih daripada satu pertiga pesakit yang masih mengalami suhu normal.

Apa yang perlu diketahui jika anda mempunyai masalah pencernaan?

Cirit-birit adalah salah satu simptom yang paling biasa dialami oleh orang ramai dalam kehidupan seharian. Selain itu, ramai individu mengalami tekanan dan kebimbangan semasa wabak koronavirus dan ini juga boleh menyumbang kepada gejala GI seperti sakit perut, kembung, ketidakselesaan dan cirit-birit.

Namun, tidak semuanya bermaksud bahawa ia adalah petunjuk simptom COVID-19. Tetapi, sebaliknya jika sebelum ini anda tidak pernah mengalaminya, dan kini tiba-tiba berlaku tanpa sebab yang jelas, ini mungkin perlu diberi perhatian lebih.

Malah, jika anda demam pada masa yang sama, anda sememangnya perlu menghubungi doktor dengan segera tanpa mengira jika kita berada dalam keadaan pandemik atau tidak untuk memastikan sama ada ia adalah simptom COVID-19 ataupun bukan.

Gejala tambahan lain seperti loya dan muntah, batuk dan sesak nafas juga perlu anda beri perhatian kerana ia mungkin menunjukkan tanda-tanda COVID-19.

Bolehkah najis menyebarkan penyakit ini?

Kajian yang dibuat tidak mengesahkan hal ini secara langsung tetapi virus itu ada didapati dalam najis pesakit. Pihak penyelidik masih tidak mengetahui dengan tepat jika najis tersebut boleh berjangkit, namun ia mungkin berkemungkinan untuk berlaku.

Justeru itu, ini adalah alasan yang lebih baik untuk membersihkan pemegang, kerusi dan mangkuk tandas secara kerap serta basuh tangan anda selepas menggunakan bilik mandi.

Terdapat kes di mana sesetengah pesakit COVID-19 dianggap pulih kerana virus itu tidak lagi dijumpai dalam sputum (campuran air liur dan lendir), tetapi masih diuji positif bagi kehadiran patogen apabila najis mereka diperiksa, kata Spiegel. Namun, buat masa sekarang, ujian najis belum lagi dilakukan secara rutin.

SUMBER

https://www.businessinsider.com/some-wuhan-coronavirus-patients-have-nausea-vomiting-diarrhea-2020-2

https://www.healthline.com/health/coronavirus-diarrhea

https://www.health.com/condition/infectious-diseases/coronavirus/is-vomiting-a-symptom-of-covid-19

error: Content is protected !!