Sindrom mulut terbakar atau Burning Mouth Syndrome adalah gelaran bagi keadaan sakit mulut seperti terbakar yang masih belum diketahui puncanya. Pesakit yang menghidap penyakit ini selalunya berasa sakit pada hujung lidah atau lelangit mereka. Kadangkala, kesakitan boleh juga dialami pada bahagian hadapan mulut atau bahagian bibir dalam. Kesakitan ini boleh berlarutan selama bertahun-tahun lamanya.
Dalam satu pertiga daripada pesakit menyatakan bahawa mereka mengalami keadaan ini selepas menjalani rawatan pergigian, menghidap penyakit atau pengambilan ubat-ubatan. Namun, kebanyakan pesakit tidak dapat mengaitkannya dengan sebarang peristiwa luar biasa.
Simptom Sindrom Mulut Terbakar
Sekiranya anda mengalami simptom sindrom mulut terbakar, anda akan berasa kepanasan seperti sedang minum kopi panas atau sup panas. Selain itu, anda juga mungkin mengalami masalah untuk menelan, mulut kering, sakit tekak atau rasa seperti terdapat logam dalam mulut anda.
Jika rasa terbakar itu menyakitkan dan tidak hilang atau semakin teruk, anda perlulah berjumpa dengan doktor atau doktor gigi.
Punca Sindrom Mulut Terbakar
Sesetengah individu yang mengalami sensasi lidah terbakar mungkin pernah melecurkan lidah mereka dengan minuman atau makanan yang panas, keadaan ini tidak berkaitan dengan sindrom mulut terbakar.
Kesakitan atau ketidakselesaan akibat melecur hanya bertahan selama beberapa jam atau lebih, tetapi ia akan sembuh tanpa memerlukan rawatan.
Sindrom mulut terbakar, sebaliknya, boleh berlaku secara langsung atau tidak langsung.
Punca sindrom mulut terbakar utama adalah kerosakan saraf yang mengawal deria rasa dan kesakitan.
Sindrom mulut terbakar sekunder pula mungkin berpunca oleh keadaan perubatan atau rawatan lain termasuklah:
● Alahan terhadap makanan tertentu atau produk pergigian.
● Mengalami perasaan kebimbangan atau kemurungan
● Menghidap diabetes
● Mulut kering
● Menghidap penyakit refluks gastroesophageal
● Mengalami lidah geografik (geographic tongue)
● Mempunyai tiroid yang tidak aktif, dipanggil hipotiroidisme
● Pengambilan ubat tertentu, seperti ubat tekanan darah tinggi
● Mengalami jangkitan mulut
● Kekurangan zat
Penyebab sindrom mulut terbakar sekunder dari aspek tabiat seseorang termasuklah:
● Kerap menggigit hujung lidah
● Banyak makan makanan atau minum minuman berasid
● Sering mengetap gigi
● Memberus lidah dengan melampau
● Menggunakan terlalu banyak pencuci mulut (ubat kumur) atau produk penjagaan mulut yang kasar.
● Memakai gigi palsu yang tidak sesuai atau muat dalam mulut
Namun begitu, dalam banyak kes yang berlaku, punca sebenar sindrom mulut terbakar adalah tidak jelas.
Diagnosis Sindrom Mulut Terbakar
Malangnya, tiada ujian khas yang boleh menentukan sekiranya anda mengalami sindrom mulut terbakar. Sebaliknya, doktor akan cuba mengatasi masalah lain sebelum mendiagnosis sindrom ini pada anda.
Doktor atau doktor pergigian anda mungkin akan melakukan langkah berikut:
- Bertanya mengenai sejarah perubatan dan rekod pengambilan ubat-ubatan anda
- Memeriksa keadaan mulut anda
- Meminta anda menerangkan mengenai simptom, tabiat oral dan rutin penjagaan mulut anda dengan lebih terperinci.
Di samping itu, doktor juga mungkin akan menjalankan ujian perubatan umum untuk mencari sebarang simptom keadaan penyakit lain. Oleh yang demikian, anda mungkin akan menjalani beberapa ujian berikut:
- Ujian darah. Ujian darah bertujuan untuk memeriksa kiraan darah lengkap, tahap glukosa, fungsi tiroid, faktor pemakanan dan fungsi imun anda. Semua aspek ini dapat memberi petunjuk mengenai punca ketidakselesaan yang berlaku pada mulut anda.
- Kultur oral atau biopsi. Doktor akan mengambil dan menganalisis sampel daripada mulut anda dan mengujinya untuk menentukan sama ada anda mengalami jangkitan kulat, bakteria atau virus.
- Ujian alergi. Selain itu, doktor anda juga mungkin akan mencadangkan ujian alahan untuk keadaan alahan anda, sama ada anda mempunyai alahan terhadap sebarang makanan atau bahan tertentu yang digunakan oleh doktor gigi sewaktu pemeriksaan pergigian anda.
- Ukuran Air Liur. Mulut anda mungkin terasa kering, sekiranya anda mengalami sindrom ini. Ujian air liur boleh menentukan sama ada anda menghidap penyakit GERD Dengan sindrom mulut membakar, mulut anda mungkin terasa kering. Ujian salivari boleh mengesahkan sama ada anda mempunyai aliran saliva yang berkurang.
- Ujian refluks gastrik. Ujian ini boleh menentukan jika anda mempunyai gangguan penyakit pencernaan kronik (GERD – gastroesophageal reflux disease).
- Pengimejan. Bagi memeriksa masalah kesihatan lain, doktor mungkin akan melakukan imbasan MRI, imbasan CT atau ujian pengimejan lain terhadap anda.
- Penyesuaian ubat. Sekiranya pengambilan ubat merupakan punca yang menyumbang kepada ketidakselesaan mulut anda, doktor akan mengubah dos, menukar ubat lain, atau menghentikan pengambilan ubat buat sementara waktu. Tujuannya adalah untuk memastikan sama ada ubat yang diambil merupakan punca simptom yang anda alami. Namun begitu, jangan mencuba langkah ini sendiri. Lakukannya hanya dengan mengikut arahan daripada doktor anda.
- Soal selidik psikologi. Selain itu, untuk menentukan jika anda mempunyai simptom kesihatan mental seperti gangguan kemurungan atau keresahan, anda mungkin diminta untuk mengisi borang soal selidik berkaitan keadaan kesihatan mental anda.
Faktor Risiko Sindrom Mulut Terbakar
Sindrom mulut terbakar adalah sejenis penyakit yang jarang berlaku. Walau bagaimanapun, risiko anda mungkin lebih tinggi jika:
- Anda seorang wanita
- Anda sedang mengalami perimenopause atau postmenopausal
- Anda berumur lebih dari 50 tahun
Kebiasaannya, sindrom mulut terbakar berlaku secara spontan, tanpa sebarang faktor pencetus yang diketahui. Namun begitu, faktor-faktor tertentu boleh meningkatkan risiko anda menghidapi sindrom mulut terbakar, termasuklah:
- Penyakit yang baru dihidapi
- Mengalami beberapa gangguan perubatan kronik seperti fibromyalgia, penyakit Parkinson, gangguan autoimun dan neuropati
- Prosedur pergigian terdahulu
- Mempunyai reaksi alahan terhadap makanan
- Pengambilan ubat-ubatan tertentu
- Mengalami pengalaman yang traumatik dalam hidup
- Tekanan
- Kebimbangan
- Kemurungan
Rawatan Sindrom Mulut Terbakar
– Rawatan Untuk Sindrom Mulut Terbakar Sekunder
Sekiranya doktor anda mendapati bahawa terdapat keadaan perubatan tertentu yang menyebabkan sindrom mulut terbakar yang anda alami, doktor akan menjalankan rawatan berikut untuk menghentikan sensasi terbakar tersebut:
- Refluks asid: Doktor akan mengesyorkan ubat-ubatan yang boleh meneutralkan asid dalam perut anda sekaligus melegakan simptom yang dialami.
- Mulut kering: Jika mulut anda menjadi kering disebabkan oleh sindrom ini, tanya doktor anda mengenai produk yang boleh meningkatkan pengeluaran air liur, atau ambil vitamin dalam bentuk suntikan atau suplemen daripada doktor anda.
- Jangkitan mulut: Sekiranya doktor mengesahkan anda mengalami jangkitan pada mulut, doktor akan menetapkan ubat untuk merawat jangkitan mulut anda atau menahan kesakitan.
– Rawatan Untuk Sindrom Mulut Terbakar Utama
Sekiranya anda tidak mempunyai masalah kesihatan lain, selalunya sindrom mulut terbakar akan sembuh dengan sendiri. Di samping itu, anda boleh melakukan langkah-langkah ini untuk meredakan simptom:
- Menghisap kiub ais kecil di dalam mulut sepanjang hari untuk mengurangkan rasa terbakar.
- Minum air sejuk sepanjang hari untuk melegakan kesakitan mulut. Sesetengah pesakit akan mengalami kelegaan selepas meminum air sejuk.
- Elakkan makan makanan yang berasid seperti buah sitrus atau asam.
- Elakkan makanan dan minuman yang boleh memburukkan atau mencetuskan sensasi terbakar. Hadkan pengambilan minuman yang panas dan makanan yang pedas.
- Bagi perokok dan individu yang mengambil alkohol, anda perlu selalu memantau simptom anda setiap kali selepas merokok atau meminum alkohol. Kedua-dua tindakan ini boleh menjadikan simptom sindrom ini lebih parah. Perlu diingat bahawa ubat-ubatan yang mengandungi alkohol juga boleh membuatkan simptom menjadi teruk.
- Tukar produk ubat gigi anda. Sekiranya selepas memberus gigi sensai terbakar dalam mulut anda bertambah buruk, anda mungkin perlu menukar produk ubat gigi anda. Beralihlah kepada ubat gigi yang dikhususkan untuk gigi atau gusi sensitif atau anda juga boleh menggunakan ‘baking soda’ sebagai pengganti ubat gigi. Caranya, larutkan satu sudu baking soda ke dalam air suam dan bilas mulut anda untuk meneutralkan asid dan melegakan sensasi terbakar.
- Kekal aktif dengan melakukan senaman serta teknik relaksasi untuk mengurangkan tekanan seperti yoga, meditasi dan lain-lain.
Sumber:
https://www.webmd.com/oral-health/burning-mouth-syndrome-facts
https://www.healthline.com/health/burning-mouth-syndrome
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/burning-mouth-syndrome/symptoms-causes/syc-20350911
https://www.nidcr.nih.gov/health-info/burning-mouth/more-info