Now Reading
Sindrom Patellofamoral – Simptom Dan Rawatan

Sindrom Patellofamoral – Simptom Dan Rawatan

sindrom patellofamoral

Sindrom Patellofamoral, rasa sakit lutut di bahagian depan lutut dan sekitar kepala lutut anda. Kadang-kadang ia dipanggil “lutut pelari”.

Kesakitan lutut sering meningkat apabila anda berlari, berjalan naik atau turun tangga, duduk untuk tempoh yang panjang, atau mencangkung (squat). Rawatan mudah, seperti rehat dan ais  sering membantu, tetapi kadang-kadang terapi fizikal juga diperlukan untuk meringankan sakit patellofamoral.

Simptom Sindrom Patellofamoral

Simptom kesakitan Patellofamoral yang berkaitan adalah kesakitan yang biasanya berlaku di bahagian hadapan lutut. Kesakitan mungkin berlaku pada  satu atau kedua-dua lutut. Ia sering bertambah buruk ketika melakukan aktiviti.

Simptom kesakitan Patellofamoral tambahan termasuklah:

  1. Sakit semasa bersenam
  2. Sakit apabila membengkokkan lutut, seperti ketika memanjat tangga, melompat, atau duduk cangkung
  3. Sakit selepas duduk untuk masa yang panjang dengan lutut bengkok, seperti ketika menonton filem di teater
  4. Retak atau bunyi ‘pop’ di lutut apabila memanjat tangga atau selepas duduk untuk masa yang panjang

Punca Sindrom Kesakitan Patellofamoral

Sindrom kesakitan Patellofamoral berlaku apabila bahagian belakang lutut bersentuhan dengan tulang paha. Puncanya masih tidak difahami sepenuhnya, tetapi ia dikaitkan dengan:

  • Menggunakan lutut secara berlebihan: Kegiatan yang melibatkan berlari atau melompat mengakibatkan ketegangan berulang pada sendi lutut yang dapat menyebabkan rasa sakit di patella.
  • Ketidakseimbangan otot: Apabila otot-otot tertentu, seperti di sekeliling pinggul dan lutut lemah, ia tidak dapat mengekalkan bahagian badan bersebelahan, termasuklah kepala lutut, sejajar dengan betul. Akhirnya boleh menyebabkan kecederaan.
  • Trauma: Kecederaan pada lutut, atau pembedahan lutut, boleh meningkatkan risiko mengalami sindrom kesakitan patellofamoral.

Diagnosis Sindrom Patellofamoral

Doktor akan bertanya mengenai simptom kesakitan Patellofamoral anda dan akan meminta anda untuk menggerakkan kaki dan lutut anda dengan cara tertentu untuk memeriksa ketidakstabilan dan menentukan jangkauan gerakan.

Dalam sesetengah kes, ujian pengimejan seperti X-ray dan imbasan MRI, boleh diarahkan untuk mengesahkan diagnosis dan mengetepikan penyakit lain.

Faktor Risiko Sindrom Patellofamoral

Faktor-faktor yang meningkatkan kemungkinan mengalami sesuatu penyakit atau kecederaan dikenali sebagai faktor risiko.

Faktor risiko umum bagi sindrom kesakitan patellofamoral termasuklah:

  • Umur: Remaja dan individu dewasa muda berada pada risiko tertinggi untuk mengalami sindrom patellofamoral. Bukan itu sahaja, ia juga mungkin memberi kesan kepada individu dewasa yang lebih tua.
  • Jantina: Wanita lebih cenderung untuk menghidapi penyakit ini berbanding lelaki, mungkin disebabkan oleh risiko ketidakseimbangan otot dan sudut pelvis wanita yang lebih luas.
  • Aktiviti berimpak tinggi: Melibatkan diri dalam aktiviti impak tinggi atau berat badan, termasuklah berlari, melompat, atau mencangkung menyebabkan tekanan berulang kepada sendi, dan meningkatkan risiko kecederaan lutut.
  • Kaki rata: Individu dengan kaki rata (flat foot) mungkin berisiko tinggi terhadap sindrom patellofamoral kerana mereka meletakkan tekanan tambahan pada sendi lutut mereka.

Rawatan Sindrom Kesakitan Patellofamoral

Rawatan sindrom kesakitan patellofamoral selalunya bermula dengan langkah mudah. Rehatkan lutut anda sebanyak yang mungkin. Elakkan atau ubahsuai aktiviti yang meningkatkan kesakitan, seperti menaiki tangga, melutut atau mencangkung.

Ubat-ubatan Sindrom kesakitan Patellofamoral

Sekiranya perlu, dapatkan ubat tahan sakit, seperti acetaminophen (Tylenol), ibuprofen (Advil, Motrin IB) atau natrium naproxen (Aleve).

Terapi Sindrom kesakitan Patellofamoral

Ahli terapi fizikal mungkin mencadangkan:

  • Latihan pemulihan. Latihan spesifik dapat menguatkan otot-otot yang menyokong lutut dan mengendalikan pergerakan anggota badan, seperti quadriceps, hamstrings dan otot-otot di sekeliling pinggul anda, terutamanya ‘abductor’ pinggul (hip abductor terdiri daripada otot gluteus medius, gluteus minimus, and tensor fasciae latae). Tujuan utama terapi ini adalah untuk memperbaiki pergerakan luaran lutut semasa mencangkung.
  • Pendakap yang menyokong. Penyokong lutut atau sokongan lengkung boleh membantu melegakan kesakitan.
  • Balutan. Ahli terapi fizikal anda mungkin menunjukkan kepada anda bagaimana untuk membalut lutut anda dengan pita untuk mengurangkan kesakitan dan meningkatkan keupayaan anda untuk bersenam.
  • Ais. Meletakkan ais kepada lutut anda selepas senaman juga mungkin membantu.
  • Sukan mesra-lutut. Semasa dalam proses pemulihan, anda mungkin ingin melakukan aktiviti impak-rendah yang lebih mudah pada lutut – seperti berbasikal dan berenang atau berjalan air.

Prosedur pembedahan Sindrom kesakitan Patellofamoral

Sekiranya rawatan bukan pembedahan tidak berkesan, doktor anda mungkin mencadangkan:

  • Arthroscopy. Semasa prosedur ini, doktor memasukkan peranti pensil tipis yang dilengkapi dengan lensa kamera dan cahaya (arthroscope) ke lutut anda melalui potongan kecil. Instrumen pembedahan dimasukkan melalui arthroscope untuk membuang serpihan tulang rawan yang rosak.
  • Penyusunan Semula. Dalam kes-kes yang lebih teruk, seorang pakar bedah mungkin perlu membuat pembedahan pada lutut anda untuk menyesuaikan semula sudut lutut atau melegakan tekanan pada tulang rawan.

Sumber:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/patellofemoral-pain-syndrome/symptoms-causes/syc-20350792

https://www.healthline.com/health/patellofemoral-syndrome

https://en.wikipedia.org/wiki/Patellofemoral_pain_syndrome

https://www.webmd.com/pain-management/knee-pain/runners-knee

error: Content is protected !!