Penyakit pra-Eklampsia adalah komplikasi kehamilan yang dicirikan dengan tekanan darah tinggi dan tanda-tanda kerosakan pada sistem organ lain, biasanya hati dan buah pinggang. Secara amnya, penyakit ini bermula selepas 20 minggu tempoh kehamilan pada wanita yang mempunyai tekanan darah yang normal.
Sekiranya ia tidak dirawat, penyakit pra-Eklampsia boleh mencetuskan komplikasi yang serius dan boleh menyebabkan kematian bagi anda dan bayi anda. Jika anda menghidap penyakit ini, rawatan yang paling berkesan adalah dengan melahirkan bayi anda. Walaupun selepas melahirkan, proses penyembuhan mungkin akan mengambil sedikit masa.
Sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit pra-Eklampsia pada kehamilan yang terlalu awal dan tidak membolehkan anda melahirkan bayi dengan segera, anda dan doktor akan menghadapi tugas yang sukar. Bayi anda memerlukan lebih banyak masa untuk matang, tetapi anda harus mengelakkan diri atau bayi anda daripada menghadapi risiko komplikasi yang serius.
Punca Pra-Eklampsia
Wanita dengan penyakit pra-Eklampsia mempunyai saluran darah yang tidak berkembang atau berfungsi dengan betul. Saluran darahnya adalah lebih sempit dari yang normal dan bertindak balas dengan berbeza kepada tanda-tanda hormon. Ia juga mengehadkan jumlah darah yang boleh mengalir melalui saluran tersebut.
Punca berlakunya keadaan tidak normal ini termasuklah:
- Aliran darah yang tidak mencukupi ke rahim.
- Kerosakan pada saluran darah.
- Masalah dalam sistem imun.
- Gen-gen tertentu.
Simptom Pra-Eklampsia
Kadang kala, penyakit pra-Eklampsia tidak menunjukkan sebarang simptom. Tekanan darah tinggi boleh berlaku dengan perlahan-lahan atau berlaku secara tiba-tiba. Mengawal tekanan darah anda adalah penting dalam penjagaan pranatal anda, kerana tanda pertama pra-Eklampsia selalunya disebabkan peningkatan tekanan darah. Tekanan darah yang melebihi 140/90 milimeter merkuri (mm Hg) atau lebih, yang direkodkan dua kali setiap empat jam adalah tidak normal.
Tanda-tanda dan gejala-gejala penyakit pra-Eklampsia yang lain termasuklah:
- Lebihan protein dalam air kencing (proteinuria) atau tanda-tanda masalah buah pinggang yang lain.
- Sakit kepala yang melampau.
- Perubahan pada penglihatan, termasuk kehilangan penglihatan buat sementara, penglihatan kabur atau sensitif terhadap cahaya.
- Sakit di bahagian atas abdomen, biasanya di bawah tulang rusuk di sebelah kanan.
- Mual atau muntah.
- Penghasilan air kencing yang lebih rendah.
- Tahap platlet dalam darah yang rendah (trombositopenia).
- Gangguan pada fungsi hati.
- Kesukaran bernafas kerana kehadiran cecair dalam paru-paru.
Diagnosis Pra-Eklampsia
Sebelum penyakit pra-Eklampsia boleh didiagnosis, anda mesti mempunyai tekanan darah tinggi dan satu atau lebih masalah berikut selepas 20 minggu tempoh kehamilan:
- Protein dalam air kencing (proteinuria).
- Kiraan platelet yang rendah.
- Gangguan fungsi hati.
- Tanda-tanda masalah buah pinggang selain daripada protein dalam air kencing.
- Cecair dalam paru-paru (pulmonari edema).
- Gangguan penglihatan atau sakit kepala.
Faktor Risiko Pra-Eklampsia
- Sejarah penyakit pra-Eklampsia. Sejarah peribadi atau keluarga dengan penyakit ini boleh meningkatkan risiko anda mendapat komplikasi ini.
- Hipertensi kronik. Jika anda menghidapi hipertensi kronik, anda lebih berisiko mendapat penyakit ini.
- Kehamilan pertama. Risiko penyakit pra-Eklampsia lebih tinggi semasa kehamilan pertama anda.
- Pasangan baru. Setiap kehamilan dengan pasangan baru meningkatkan risiko mendapat pra-Eklampsia lebih daripada risiko mengandung kali kedua atau ketiga dengan pasangan yang sama.
- Umur. Risiko mendapat pra-Eklampsia lebih tinggi bagi wanita yang hamil pada usia yang sangat muda atau ketika berumur lebih dari 40 tahun.
- Bangsa. Wanita berkulit gelap mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami penyakit pra-Eklampsia berbanding bangsa lain.
- Kehamilan berganda. Penyakit pra-Eklampsia biasa berlaku pada wanita hamil kembar dua, kembar tiga atau kehamilan kembar yang lain.
- Selang antara kehamilan. Melahirkan bayi dengan selang kurang dari dua tahun atau lebih daripada 10 tahun jaraknya menyumbang kepada peningkatan risiko mendapat pra-Eklampsia.
- Sejarah kesihatan tertentu. Mempunyai masalah kesihatan sebelum hamil, seperti tekanan darah tinggi kronik, migrain, diabetes jenis 1 atau jenis 2, penyakit buah pinggang, kecenderungan mendapat gumpalan darah atau lupus meningkatkan risiko anda mengalami pra-Eklampsia.
- Persenyawaan in-vitro. Risiko mengalami pra-Eklampsia meningkat jika bayi anda dihasilkan melalui persenyawaan in vitro.
Rawatan Pra-Eklampsia
Ppenyakit pra-Eklampsia akan whiling serta-merta sleeps persalinan. Anda berisiko tinggi untuk mendapat sawan, gangguan plasenta, efusi dan pendarahan yang teruk yang boleh membuatkan tekanan darah berkurangan. Walau bagaimanapun, jika kehamilan belum cukup matang, persalinan bukanlah pilihan terbaik bagi bayi tersebut.
Sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit pra-Eklampsia, doktor akan memberitahu anda berapa kerap anda perlu menjalani pemeriksaan pranatal (mungkin lebih kerap daripada yang biasanya disyorkan semasa hamil). Anda juga mungkin perlu menjalani ujian darah, ultrabunyi dan ujian bebas tekanan dengan lebih kerap berbanding semasa kehamilan tanpa komplikasi.
– Ubat-ubatan
Rawatan yang mungkin sesuai untuk penyakit pra-Eklampsia termasuklah:
- Ubat untuk turunkan tekanan darah. Ubat-ubat ini yang dipanggil anti-hipertensi, digunakan untuk menurunkan tekanan darah jika anda berada pada tahap yang berbahaya. Tekanan darah pada tahap 140/90 milimeter merkuri (mm Hg) biasanya tidak dirawat.
Walaupun terdapat banyak jenis ubat anti-hipertensi, sesetengahnya tidak selamat digunakan semasa kehamilan. Rujuk doktor anda jika anda perlu mengambil ubat anti-hipertensi untuk mengawal tekanan darah anda.
- Kortikosteroid. Jika anda mempunyai penyakit pra-Eklampsia yang teruk atau sindrom HELLP, ubat kortikosteroid boleh memperbaiki fungsi hati dan platelet buat sementara waktu serta membantu memanjangkan kehamilan. Kortikosteroid juga memudahkan pematangan paru-paru bayi anda dalam masa 48 jam yang merupakan langkah penting untuk menyediakan bayi pramatang hidup di luar rahim.
- Ubat antikonvulsan. Bagi penyakit pra-Eklampsia pada tahap yang lebih teruk, doktor boleh mempreskripsikan ubat antikonvulsan seperti magnesium sulfat untuk mengelakkan sawan yang pertama.
– Rehat di atas katil
Berehat di atas katil adalah disyorkan untuk wanita dengan penyakit pra-Eklampsia. Walau bagaimanapun, kajian tidak menunjukkan bahawa amalan ini dapat memberikan sebarang faedah. Sebaliknya, ia boleh meningkatkan risiko pembekuan darah serta mempengaruhi keadaan ekonomi dan kehidupan sosial wanita itu. Kini, berehat di atas katil tidak lagi disyorkan untuk kebanyakan wanita.
– Kemasukan ke hospital
Wanita hamil yang mempunyai penyakit pra-Eklampsia yang teruk mungkin memerlukan rawatan di hospital. Di hospital, doktor mungkin akan melakukan ujian ‘resting’ atau analisis biofisik untuk memantau kesejahteraan bayi dan mengukur jumlah cecair amniotik. Kekurangan cecair amniotik adalah tanda bekalan darah yang tidak mencukupi kepada bayi.
– Kelahiran
Sekiranya anda didiagnosis dengan penyakit pra-Eklampsia menjelang tempoh akhir kehamilan anda, doktor anda boleh mengesyorkan anda untuk segera mempercepatkan kelahiran. Jika serviks anda sudah bersedia, sama ada ia mula membuka (dilate), nipis (erased) dan melembutkan (matang), ia boleh menjadi faktor dalam menentukan sama ada kelahiran akan diinduksi atau bila ia akan diinduksi.
Dalam kes-kes yang teruk, umur bayi sepanjang tempoh kehamilan dan sekiranya serviks sudah bersedia mungkin tidak dapat ditentukan. Sekiranya ia tidak boleh ditangguh lagi, doktor boleh mempercepatkan kelahiran atau menjadualkan pembedahan Caesarean dengan segera. Semasa proses kelahiran, anda boleh diberi magnesium sulfat secara intravena untuk mencegah rasa kejang.
Sekiranya anda memerlukan ubat untuk melegakan kesakitan selepas bersalin, tanya doktor anda ubat apa yang perlu anda ambil. Ubat anti-radang tanpa steroid seperti ibuprofen (Advil, Motrin IB dan lain-lain) dan naproxen sodium (Aleve) boleh meningkatkan tekanan darah.
Selepas proses kelahiran, tekanan darah tinggi dan gejala-gejala penyakit pre-Eklampsia yang lain mungkin akan mengambil sedikit masa untuk sembuh.
SUMBER
https://www.webmd.com/baby/preeclampsia-eclampsia
https://www.healthline.com/health/preeclampsia
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/preeclampsia/symptoms-causes/syc-20355745