Now Reading
Sindrom Ramsay Hunt (Ramsay Hunt Syndrome) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Sindrom Ramsay Hunt (Ramsay Hunt Syndrome) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

sindrom ramsay hunt

Sindrom Ramsay Hunt (herpes zoster oticus) berlaku apabila wabak kayap menjejaskan saraf muka berhampiran dengan salah satu telinga anda. Selain dari kayap yang sakit, sindrom ini boleh menyebabkan lumpuh muka dan kehilangan pendengaran pada telinga yang terjejas.

Keadaan ini berpunca oleh virus sama yang mengakibatkan cacar air. Selepas cacar air sembuh, virus tersebut masih boleh hidup dalam saraf anda. Bertahun kemudian, ia boleh diaktifkan semula. Apabila itu berlaku, ia boleh menjejaskan saraf muka anda.

Rawatan yang pantas bagi mengatasi sindrom tersebut boleh mengurangkan risiko komplikasi yang merangkumi kelemahan otot muka dan risiko menjadi pekak.

Simptom Sindrom Ramsay Hunt

Simptom sindrom yang paling ketara adalah ruam kayap berhampiran dengan salah satu atau kedua-dua telinga dan lumpuh yang tidak normal pada muka. Bahagian muka yang terkena ruam kayap akan menjadi lumpuh serta otot anda akan terasa lebih keras dan sukar untuk dikawal, seolah-olah fungsinya telah hilang serta-merta.

Ruam kayap kelihatan seperti luka berwarna merah yang berisi nanah. Apabila anda menghidap sindrom Ramsay Hunt, ruam boleh berada di dalam, di luar, atau di sekitar telinga anda. Dalam sesetengah kes, ruam juga boleh muncul di dalam mulut anda terutamanya di atas bumbung mulut atau bahagian atas tekak anda. Dalam kes lain pula, anda mungkin tidak mempunyai ruam yang kelihatan sama sekali tetapi muka anda masih lumpuh.

Simptom umum yang lain bagi sindrom Ramsay Hunt termasuklah:

  • Sakit di telinga yang terjejas
  • Sakit di leher anda
  • Bunyi bising di telinga anda, juga disebut tinnitus
  • Hilang pendengaran
  • Masalah untuk menutup mata pada bahagian muka yang terjejas
  • Kurang deria rasa
  • Perasaan seperti bilik berputar, juga dipanggil vertigo
  • Ucapan menjadi tidak jelas

Punca Sindrom Ramsay Hunt

Sindrom Ramsay Hunt berlaku pada individu yang sudah pernah menghidap cacar air. Sebaik sahaja anda pulih dari cacar air, virus itu akan kekal di dalam badan anda dan kadang-kadang kembali aktif selama bertahun kemudian dan mengakibatkan kayap, iaitu ruam yang menyakitkan dengan luka yang penuh dengan cecair.

Sindrom Ramsay Hunt adalah penyakit kayap yang mempengaruhi saraf muka berhampiran dengan salah satu telinga anda. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan kelumpuhan muka dan kehilangan pendengaran.

Diagnosis Sindrom Ramsay Hunt

Doktor mengenal pasti sindrom Ramsay Hunt berdasarkan sejarah perubatan anda, pemeriksaan fizikal, dan tanda-tanda serta gejala yang ketara. Bagi mengesahkan diagnosis, doktor anda akan mengambil contoh cecair dari salah satu luka ruam di telinga anda untuk diuji.

Faktor Risiko Sindrom Ramsay Hunt

Sindrom Ramsay Hunt boleh berlaku pada sesiapa yang pernah mengalami cacar air. Ia lebih cenderung berlaku pada individu dewasa yang lebih tua melebihi 60 tahun. Sindrom ini jarang berlaku pada kanak-kanak.

Sindrom Ramsay Hunt tidak berjangkit. Walau bagaimanapun, pengaktifan semula virus varicella-zoster boleh menyebarkan cacar air pada individu yang tidak pernah menghidap cacar air atau yang tidak pernah mendapatkan suntikan vaksin bagi cacar air. Jangkitan ini boleh menjadi serius bagi mereka yang mempunyai masalah sistem imun.

Oleh itu, sehingga ruam luka sembuh, elakkan sebarang sentuhan fizikal dengan:

  • Individu yang tidak pernah menghidap cacar air atau yang tidak pernah mendapatkan vaksin cacar air
  • Individu yang mempunyai sistem imun yang lemah
  • Bayi baru lahir
  • Perempuan mengandung

Rawatan Sindrom Ramsay Hunt

Rawatan yang paling lazim dijalani oleh penghidap sindrom tersebut ialah pengambilan ubat-ubatan yang boleh merawat jangkitan virus tersebut. Doktor anda akan menetapkan famciclovir atau acyclovir bersama dengan prednisone atau ubat kortikosteroid atau suntikan lain.

Doktor juga boleh mengesyorkan rawatan berdasarkan gejala tertentu yang anda alami.

  • Ubat anti-radang nonsteroidal (NSAIDs) atau ubat antisizoid seperti carbamazepine dapat membantu mengurangkan kesakitan sindrom Ramsay Hunt.
  • Antihistamin. Ubat jenis ini pula dapat membantu dengan gejala vertigo seperti pening atau rasa seperti bilik sedang berputar.
  • Penitis mata. Selain itu, penitis mata atau cecair yang serupa dapat membantu menjaga mata anda dan mencegah kerosakan kornea.

SUMBER

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ramsay-hunt-syndrome/symptoms-causes/syc-20351783

https://www.healthline.com/health/ramsay-hunt-syndrome

https://www.medicalnewstoday.com/articles/191575

https://www.webmd.com/skin-problems-and-treatments/qa/what-are-the-symptoms-of-ramsay-hunt-syndrome-rhs#:~:text=Ramsay%20Hunt%20syndrome%20(RHS)%20often,instead%20of%20on%20your%20face.

error: Content is protected !!