Sindrom Reye (Reye’s Syndrome) adalah penyakit yang jarang berlaku tetapi ia sangat serius kerana ia menyebabkan bengkak hati dan bengkak otak. Ia boleh menjejaskan individu pada semua peringkat umur, tetapi ia sering terjadi pada kanak-kanak dan remaja yang sedang pulih dari virus seperti selesema atau cacar air.
Kajian telah mendapati bahawa faktor risiko utama bagi sindrom Reye adalah pengambilan aspirin atau ubat lain yang berkaitan, yang dipanggil salicylates.
Oleh kerana itu, para doktor menyarankan agar anak-anak dan remaja yang sedang pulih dari jangkitan virus, mengelakkan dari mengambil aspirin.
Simptom Sindrom Reye
Simptom sindrom Reye muncul dengan cepat. Ia biasanya hadir selama beberapa jam.
Simptom pertama Reye adalah muntah. Ini diikuti oleh kemarahan atau tingkah laku yang agresif. Selepas itu, kanak-kanak mungkin menjadi keliru dan lesu dan mereka bolehdiserang sawan atau jatuh ke dalam keadaan koma.
Tiada ubat bagi sindrom Reye. Walau bagaimanapun, kadangkala simptom boleh diuruskan. Sebagai contoh, steroid membantu mengurangkan bengkak dalam otak.
Punca Sindrom Reye
Doktor tidak memahami sepenuhnya apa yang menyebabkan sindrom Reye. Mereka tahu bahawa sesetengah individu cenderung mengalaminya jika mereka mengambil aspirin untuk mengatasi gejala virus.
Seseorang mempunyai risiko yang lebih besar untuk menghidapinya jika mereka:
- Mempunyai penyakit yang mempengaruhi bagaimana badan mereka memecahkan asid lemak
- Telah terdedah kepada toksin tertentu, termasuk penipisan cat dan racun untuk membunuh serangga dan tumbuhan
Apabila sindrom Reye menyerang, sel-sel di seluruh badan menjadi bengkak dan membina lemak. Paras gula dalam darah anda akan turun. Ammonia dan tahap asid dalam darah meningkat. Perubahan ini boleh menjejaskan organ dalaman anda, seperti otak dan hati, di mana bengkak teruk boleh berlaku.
Diagnosis Sindrom Reye
Doktor tidak mempunyai ujian khusus untuk Reye. Mereka biasanya melakukan ujian air kencing dan darah kepada pesakit. Selain itu, mereka juga akan menyiasat sebarang gangguan yang melibatkan asid lemak.
Ujian lain termasuklah:
- Spinal tap. Jarum dimasukkan ke dalam ruang di bawah hujung saraf tunjang untuk mengumpul bendalir
- Biopsi hati. Jarum ditolak melalui perut ke dalam hati untuk mendapatkan sampel tisu
- Biopsi kulit Doktor memotong cebisan sampel kulit kecil untuk diuji
- Imbasan CT atau MRI. Mengesahkan diagnosis dan menolak kemungkinan penyakit lain yang tidak berkaitan
Faktor Risiko Sindrom Reye
Faktor-faktor berikut, biasanya apabila ia berlaku pada waktu yang sama, boleh meningkatkan risiko anak anda mengalami sindrom Reye:
- Menggunakan aspirin untuk merawat jangkitan virus, seperti selesema, cacar air atau jangkitan pernafasan atas
- Mempunyai gangguan pengoksidaan asid lemak asas
Rawatan Sindrom Reye
Reye adalah penyakit yang serius dan boleh menjadi salah satu kecemasan perubatan, jadi rawatan awal adalah amat penting. Ia biasanya dirawat dengan kemasukan ke wad hospital. Dalam kes-kes yang teruk, kanak-kanak akan dirawat di unit rawatan intensif.
Tiada ubat penawar bagi sindrom Reye, jadi rawatan utama akan memberikan sokongan serta memberi tumpuan kepada mengurangkan simptom dan komplikasi dialami. Doktor akan memastikan kanak-kanak tersebut sentiasa terhidrat dan mengekalkan elektrolit yang seimbang. Mereka akan menilai status ‘cardiorespiratory’ (jantung dan paru-paru), dan fungsi hati akan dipantau dengan teliti. Kanak-kanak yang mengalami sawan akan diberi ubat yang sesuai untuk mengawalnya dan kesan sampingannya.
Ubat-ubatan yang sering digunakan termasuklah:
- Insulin untuk meningkatkan metabolisme glukosa
- Kortikosteroid untuk mengurangkan bengkak otak
- Diuretik untuk menghilangkan cecair yang berlebihan
Dalam kes yang teruk, mesin pernafasan atau alatan bantuan pernafasan boleh digunakan jika pernafasan anak anda bermasalah atau terlalu perlahan.
Sumber:
https://www.healthline.com/health/reye-syndrome
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/reyes-syndrome/symptoms-causes/syc-20377255