Kantung berisi cecair (sista) sering terbentuk di bahagian ovari. Terdapat beberapa jenis sista ovari, dan jenis yang paling biasa adalah sista berfungsi. Selalunya, penyakit ini tidak menyebabkan sebarang gejala. Anda mungkin tidak menyedari keadaan ini sehingga anda melawat pakar obsterik-pakar sakit puan atau juga dikenali sebagai ‘ob-gyn’ bagi melakukan pemeriksaan rutin.
Penyakit ini boleh menyebabkan masalah jika ia terputar, berdarah atau pecah. Oleh itu, ianya penting buat anda untuk menjalani pemeriksaan ginekologik tetap supaya sebarang masalah dapat didiagnosis dan dirawat.
Jenis-jenis Sista Ovari
Terdapat dua jenis utama sista ovari iaitu:
- Sista ovari berfungsi – Ini adalah jenis yang paling biasa. Sista yang tidak berbahaya ini merupakan sebahagian daripada kitaran haid normal wanita dan tidak hidup lama.
- Sista patologi – Ini adalah jenis sista yang tumbuh di ovari; ia mungkin tidak berbahaya atau menyebabkan kanser (malignan).
Simptom Sista Ovari
Kebanyakan sista tidak menyebabkan gejala dan hilang dengan sendiri. Walau bagaimanapun, sista ovari yang besar boleh menyebabkan:
- Kesakitan pelvik – rasa sakit yang tumpul atau tajam di bahagian abdomen bawah pada bahagian sista.
- Gelembung atau rasa berat di perut anda.
- Kembung.
Punca Sista Ovari
Kebanyakan masalah ini berkembang akibat kitaran haid anda (sista berfungsi). Jenis sista lain adalah kurang biasa.
– Sista ovari berfungsi
Ovari anda biasanya tumbuh sebagai struktur seperti sista yang dipanggil folikel setiap bulan. Folikel ini menghasilkan hormon estrogen dan progesteron serta melepaskan telur apabila anda dalam tempoh ovulasi.
Jika folikel bulanan biasa ini terus berkembang, ia dikenali sebagai sista yang berfungsi. Terdapat dua jenis sista berfungsi iaitu:
- Sista folikular. Sekitar tempoh/ titik tengah kitaran haid anda, telur pecah dari folikelnya dan bergerak ke bawah tiub fallopio. Sista folikel bermula apabila folikel tidak pecah atau melepaskan telurnya, tetapi masih terus berkembang.
- Sista korpus luteum. Apabila folikel melepaskan telurnya, ia mula menghasilkan estrogen dan progesteron untuk proses konsepsi. Folikel ini kini dikenali sebagai korpus luteum. Kadangkala, cecair berkumpul di dalam folikel menyebabkan korpus luteum tumbuh menjadi sista.
Sista berfungsi biasanya tidak berbahaya, jarang menyebabkan kesakitan dan sering hilang sendiri dalam dua atau tiga kitaran haid.
– Sista lain
Jenis sista yang tidak berkaitan dengan fungsi normal kitaran haid anda termasuk:
- Sista dermoid. Jenis ini juga dikenali sebagai teratoma dan boleh mengandungi tisu, seperti rambut, kulit atau gigi kerana ia terbentuk daripada sel-sel embrionik. Selain itu, jenis ini jarang mempunyai tanda-tanda kanser.
- Sistadenomas. Jenis ini terbentuk di permukaan ovari dan mungkin berisi dengan bahan berair atau lendir.
- Endometriomas. Jenis ini berkembang kerana keadaan sel-sel endometrium rahim tumbuh di luar rahim (endometriosis). Sesetengah tisu boleh melekat pada ovari anda dan membentuk pertumbuhan.
Sista dermoid dan sistadenomas boleh menjadi besar dan menyebabkan ovari bergerak keluar daripada kedudukannya. Ini akan meningkatkan kemungkinan berlakunya ovari berpusing yang menyakitkan dipanggil kilasan (torsion) ovari. Di samping itu, kilasan ovari juga boleh menyebabkan penurunan atau menghentikan aliran darah ke ovari.
Diagnosis Sista Ovari
Kebanyakan penyakit ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau gejala, jadi mereka selalunya tidak didiagnosis.
Kadangkala sista yang tidak menghasilkan gejala boleh didiagnosis semasa pemeriksaan pelvik atau imbasan ultrabunyi yang tidak berkaitan.
Diagnosis dibuat bertujuan untuk menilai bentuk, saiz dan komposisi sista, sama ada ia dipenuhi dengan pepejal atau cecair.
Ujian diagnostik mungkin termasuk:
- Imbasan ultrabunyi.
- Ujian darah.
- Ujian kehamilan.
- Laparoskopi.
Faktor Risiko Sista Ovari
Risiko untuk mendapatkan masalah kesihatan ini meningkat dengan:
- Masalah hormon. Ini termasuk mengambil ubat kesuburan ‘clomiphene’ (Clomid) yang digunakan untuk membuatkan anda mengalami proses ovulasi.
- Kehamilan. Kadangkala, sista yang terbentuk apabila anda dalam proses ovulasi kekal di ovari anda sepanjang kehamilan.
- Endometriosis. Keadaan ini menyebabkan sel endometrium rahim berkembang di luar rahim anda. Sesetengah tisu boleh melekat pada ovari anda dan membentuk pertumbuhan.
- Jangkitan pelvik yang serius. Sekiranya jangkitan itu merebak ke ovari, ia boleh menyebabkan sista.
- Sista ovari terdahulu. Sekiranya anda pernah memunyai keadaan yang sama, anda mungkin akan mendapat sista yang lebih banyak lagi.
Rawatan Sista Ovari
Kebanyakan sista tidak memerlukan rawatan. Ini kerana mereka boleh hilang dengan sendirinya.
- Pemerhatian oleh doktor. Jika sista bersaiz besar atau menyebabkan masalah, doktor mungkin mahu memerhatikannya. Ini bermakna anda tidak perlu melakukan apa-apa dengan segera. Doktor akan memeriksanya semula pada kemudian waktu.
- Ubat-ubatan. Di samping itu, doktor boleh mencadangkan ubat untuk melgekan kesakitan. Kadangkala, doktor akan memberikan anda pil kawalan kelahiran. Hormon-hormon dalam pil ini tidak akan menghilangkan sista, tetapi dapat membantu mencegah pertumbuhan baharu.
- Pembedahan. Sesetengah sista ovari akan memerlukan prosedur pembedahan. Ini termasuklah sista yang besar, tidak dapat dihilangkan atau yang menyebabkan gejala anda. Sista pada wanita yang hampir menopaus mungkin perlu melakukan pembedahan. Ini berlaku kerana sista itu berkemungkinan menjadi kanser. Justeru itu, pakar bedah mungkin hanya akan mengeluarkan sista atau ovari sahaja bergantung kepada sista anda.
SUMBER
https://www.webmd.com/women/guide/ovarian-cysts#1
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/ovarian-cysts/symptoms-causes/syc-20353405