Now Reading
Skizofrenia (Schizophrenia) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

Skizofrenia (Schizophrenia) – Simptom, Punca, Diagnosis, Faktor Risiko dan Rawatan

skizofrenia

Skizofrenia adalah penyakit mental yang serius seseorang individu mentafsirkan realiti secara tidak normal dan boleh menyebabkan beberapa gabungan simptom seperti halusinasi, khayalan, pemikiran dan tingkah laku yang berkecamuk sehingga boleh merosakkan dan melumpuhkan fungsi harian pesakit.

Individu yang mengalami Skizofrenia memerlukan rawatan sepanjang hayat mereka. Rawatan awal dapat membantu mengawal simptom yang dialami sebelum sebarang komplikasi menjadi serius.

Simptom Skizofrenia

Skizofrenia melibatkan pelbagai masalah dengan pemikiran (kognisi), tingkah laku atau emosi sesorang. Tanda dan simptom mungkin berbeza, tetapi selalunya ia melibatkan khayalan, halusinasi atau ucapan tidak teratur sehingga dapat mencerminkan fungsi keupayaan seseorang terjejas. Simptomnya termasuklah:

  • Delusi. Kepercayaan palsu yang tidak berdasarkan realiti. Sebagai contoh, anda rasa seperti disakiti melalui gerak isyarat atau komen tertentu yang ditujukan kepada anda. Selain itu, anda juga sering berasa diri anda begitu istimewa dan memiliki kemampuan yang luar biasa, dicintai oleh individu lain, atau mempercayai malapetaka besar akan berlaku. Keadaan ini cenderung berlaku pada ramai pesakit Skizofrenia.
  • Halusinasi. Ini biasanya melibatkan melihat atau mendengar sesuatu yang tidak wujud. Namun bagi orang yang mengalami Skizofrenia, mereka mempunyai kekuatan penuh dan kesan pengalaman biasa. Halusinasi boleh berada di mana-mana deria, tetapi pendengaran suara adalah halusinasi yang paling umum.
  • Pemikiran serta ucapan yang tidak teratur. Pemikiran tidak teratur boleh ditunjukkan melalui ucapan pesakit skizofrenia. Hal ini boleh menjejaskan kemahiran berkomunikasi pesakit, dan mereka mungkin memberi jawapan yang berlainan atau tidak berkaitan dengan soalan yang diajukan kepada mereka. Mereka mungkin akan menuturkan kata-kata yang tiada maksud atau tidak dapat difahami.
  • Kelakuan motor yang tidak teratur atau tidak normal. Keadaan ini mungkin akan ditunjukkan melalui beberapa cara antaranya, perangai nakal seperti kanak-kanak atau cepat marah. Kelakuan mereka biasanya tidak mempunyai sebarang tujuan atau matlamat, seperti menentang arahan, postur tidak sesuai atau pelik, tidak memberi tindak balas yang lengkap, atau pergerakan yang berlebihan, jadi ia sukar untuk melakukan fungsi harian dengan sempurna.
  • Simptom negatif. Keadaan ini merujuk kepada kekurangan keupayaan untuk berfungsi dengan normal. Sebagai contoh, seorang pesakit Skizofrenia mungkin mengabaikan kebersihan diri atau kelihatan tidak beremosi (tidak membuat hubungan mata, tiada perubahan ekspresi muka atau bercakap secara monoton). Selain itu, individu tersebut juga hilang minat dalam aktiviti harian mereka, menarik diri dari aktiviti sosial atau kurang kemampuan untuk berasa seronok.

Punca Skizofrenia

Pakar penyelidik percaya bahawa terdapat beberapa faktor umum yang menyumbang kepada Skizofrenia.

Beberapa bukti juga telah menunjukkan bahawa faktor genetik dan persekitaran bertindak bersama dalam perkembangan penyakit Skizofrenia. Maksudnya, penyakit ini boleh datang dari unsur warisan genetik tetapi persekitaran juga boleh mempengaruhi penyakit ini dengan ketara.

Berikut adalah senarai faktor-faktor yang mungkin menyumbang dalam perkembangan Skizofrenia:

– Warisan genetik

Sekiranya anda tiada sejarah skizofrenia dalam keluarga, peluang untuk menghidapinya adala kurang daripada 1%. Walau bagaimanapun, risiko itu meningkat kepada 10 peratus jika ibu bapa anda didiagnosis dengan penyakit ini.

– Ketidakseimbangan kimia di dalam otak

Pakar percaya bahawa ketidakseimbangan dopamin, sejenis neurotransmitter terlibat secara langsung dalam perkembangan penyakit Skizofrenia. Neurotransmiter lain, seperti serotonin juga mungkin terlibat.

– Hubungan kekeluargaan

Tiada bukti yang boleh mengesahkan atau menunjukkan bahawa hubungan keluarga mungkin menyebabkan skizofrenia, walau bagaimanapun, sesetengah pesakit dengan penyakit ini percaya bahawa ketegangan keluarga boleh mencetuskan penyakit ini untuk berulang.

– Faktor persekitaran

Walaupun masih  tiada bukti yang kukuh, ramai yang mengesyaki trauma sebelum kelahiran dan jangkitan virus dapat menyumbang kepada perkembangan penyakit ini.

Pengalaman yang tegang sering mendahului kemunculan Skizofrenia. Sebelum ia menunjukkan sebarang simptom awal yang jelas, pesakit dengan Skizofrenia biasanya menjadi seseorang yang pemarah, cemas, dan tidak fokus. Keadaan ini boleh mencetuskan masalah seperti perceraian, dan pengangguran.

Faktor-faktor ini sering dirumuskan sebagai punca kepada perkembangan penyakit skizofrenia. Tetapi terdapat juga beberapa sumber yang mengatakan bahawa sebenarnya penyakit tersebut yang menyebabkan krisis yang dialami pesakit. Jadi, amat sukar untuk mengetahui sama ada skizofrenia menyebabkan tekanan atau kejadian tertentu mengakibatkan penyakit ini.

Diagnosis Skizofrenia

Diagnosis Skizofrenia dilakukan dengan cara memerhatikan tingkah-laku dan perangai pesakit. Jika doktor mengesyaki pesakit berkemungkinan menghidapi Skizofrenia, mereka perlu mengambil tahu tentang sejarah perubatan dan psikologi pesakit.

Ujian tertentu akan dijalankan bagi mengenepikan sebarang penyakit dan keadaan lain yang mungkin mencetuskan simptom yang sama seperti Skizofrenia. Antara ujian tersebut adalah:

  • Ujian darah – Ujian darah dilakukan bagi mengesan sebarang tanda penyalahgunaan dadah oleh pesakit. Ia juga dilakukan untuk mengecualikan penyebab penyakit fizikal lain.
  • Kajian pengimejan – Untuk mengecualikan penyakit seperti tumor dan masalah dalam struktur otak.
  • Penilaian psikologi – Seorang pakar akan menilai keadaan kesihatan mental pesakit dengan bertanya tentang fikiran, perasaan, halusinasi, sebarang fikiran untuk membunuh diri, kecenderungan melakukan kekerasan, atau potensi keganasan serta memerhatikan sikap dan penampilan pesakit.

Kriteria diagnosis Skizofrenia

Pesakit mestilah memenuhi kriteria yang digariskan dalam DSM (Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental). DSM adalah panduan yang ditetapkan oleh Persatuan Psikiatri Amerika yang digunakan oleh pakar penjagaan kesihatan profesional untuk mendiagnosis pesakit mental dan keadaan mereka.

Perkara pertama yang harus dilakukan sebelum melaksanakan ujian berdasarkan kriteria tersbut adalah doktor perlu mengecualikan gangguan kesihatan mental yang lain, seperti gangguan bipolar atau gangguan Skizoafektif terlebih dahulu.

Ia juga penting untuk menentukan bahawa tanda-tanda dan simptom tidak disebabkan oleh faktor lain seperti ubat atau penyalahgunaan dadah bahan yang ditetapkan.

Untuk didiagnosis sebagai pesakit Skizofrenia, pesakit mestilah mempunyai sekurang-kurangnya dua simptom tipikal berikut:

  • Sering berkhayal
  • Berkelakuan yang tidak teratur atau katatonik
  • Ucapan tidak teratur
  • Berhalusinasi
  • Mengalami simptom-simptom negatif yang hadir selalu untuk kebanyakan masa dalam tempoh 4 minggu yang lalu
  • Mengalami kemerosotan dalam keupayaan untuk menghadirkan diri ke sekolah atau kerja, atau menjalankan tugas seharian.
  • Mempunyai simptom yang berterusan selama 6 bulan atau lebih.

Faktor Risiko Skizofrenia

Walaupun punca sebenar Skizofrenia masih tidak diketahui, faktor-faktor tertentu boleh meningkatkan risiko menghidapi atau mencetuskan skizofrenia, termasuklah:

  • Mempunyai sejarah keluarga yang mengalami Skizofrenia
  • Pengaktifan sistem imun yang meningkat disebabkan oleh keradangan atau penyakit autoimun
  • Menjadi bapa pada usia tua
  • Mengalami beberapa komplikasi sewaktu kehamilan dan kelahiran, seperti kekurangan zat makanan atau pendedahan kepada toksin atau virus yang boleh memberi kesan kepada perkembangan otak
  • Mengambil dadah yang memberi kesan kepada minda (psikoaktif atau psikotropik) semasa remaja dan zaman dewasa muda

Rawatan Skizofrenia

Dengan rawatan yang betul, pesakit boleh menjalani kehidupan yang produktif seperti biasa.

Rawatan boleh membantu melegakan banyak simptom Skizofrenia. Walau bagaimanapun, majoriti pesakit yang mengalami masalah ini perlu hidup dengan simptomnya seumur hidup.

Pakar psikiatri mengatakan bahawa rawatan gabungan sangat berkesan untuk pesakit Skizofrenia:

  • Ubat
  • Kaunseling psikologi
  • Sumber bantuan diri (self-help)

Ubat anti-psikosis telah mengubah wajah rawatan Skizofrenia. Terima kasih kepada ubat ini, majoriti pesakit dapat hidup dalam kalangan masyarakat, dan bukannya di hospital.

Ubat-ubatan Skizofrenia yang biasa digunakan adalah:

  • Risperidone (Risperdal) – Mengandungi jumlah sedatif yang kurang daripada antipsikotik atipikal lain. Kesan sampingannya adalah penambahan berat badan dan risiko penyakit kencing manis. Tetapi kesan sampingan tersebut jarang berlaku dengan pengambilan ubat ini berbanding pengambilan Clozapine atau Olanzapine.
  • Olanzapine (Zyprexa) – Boleh memperbaiki simptom negatif. Walau bagaimanapun, risiko kenaikan berat badan yang serius dan perkembangan penyakit kencing manis adalah tinggi.
  • Quetiapine (Seroquel) – Kesan sampingannya adalah risiko kenaikan berat badan dan penyakit kencing manis, walaubagaimanapun, risiko lebih rendah berbanding Clozapine atau Olanzapine.
  • Ziprasidone (Geodon) – Risiko kenaikan berat badan dan kencing manis adalah lebih rendah daripada antipsikotik atipikal yang lain. Walau bagaimanapun, ia mungkin menyumbang kepada aritmia jantung.
  • Clozapine (Clozaril) – Ia berkesan untuk pesakit yang tidak mengalami tindak balas terhadap rawatan lain. Ia boleh mengurangkan tingkah laku bunuh diri pada pesakit dengan skizofrenia. Pengambilan ubat ini juga meningkatkan risiko penambahan berat badan dan kencing manis.
  • Haloperidol – Sejenis antipsikotik yang digunakan untuk merawat skizofrenia. Ia mempunyai kesan jangka panjang (dalam minggu).

Rawatan skizofrenia yang utama adalah melalui ubat-ubatan. Malangnya, pematuhan (mengikuti rejimen ubat) adalah masalah utama. Pesakit dengan skizofrenia perlu mengambil ubat-ubatan untuk tempoh yang lama dalam hidup mereka, ia mengakibatkan peningkatan kos perbelanjaan yang besar dan boleh memberi impak kepada diri sendiri dan individu lain (pasangan atau keluarga).

Sumber:

https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/schizophrenia/symptoms-causes/syc-20354443

https://www.nimh.nih.gov/health/topics/schizophrenia/index.shtml

https://www.medicalnewstoday.com/articles/36942

https://en.wikipedia.org/wiki/Schizophrenia

error: Content is protected !!