Sklerosis Berbilang adalah sejenis penyakit jangka panjang yang boleh menjejaskan otak, saraf tunjang dan saraf optik di mata anda. Ia boleh menyebabkan masalah penglihatan, keseimbangan, kawalan otot dan fungsi badan asas yang lain.
Simptomnya adalah berbeza bagi setiap individu. Sesetengah individu mempunyai simptom yang ringan dan tidak memerlukan rawatan. Namun, pesakit lain pula boleh menghadapi kesulitan dalam melakukan tugas harian.
Sklerosis Berbilang berlaku apabila sistem imun anda menyerang bahan berlemak iaitu ‘myelin’ yang melindungi di keliling saraf fiber anda. Tanpanya, saraf anda akan menjadi rosak dan tisu parut boleh terbentuk.
Kerosakan yang dimaksudkan adalah otak tidak boleh menghantar isyarat kepada badan anda dengan betul. Selain itu, saraf anda juga tidak akan berfungsi seperti sepatutnya untuk membantu anda melakukan pergerakan atau mengaktifkan deria rasa.
Simptom Sklerosis Berbilang
Tanda-tanda dan simptom Sklerosis Berbilang mungkin berbeza dari satu individu ke individu yang lain. Tempoh penyakit ini pula bergantung kepada lokasi saraf fiber yang terjejas. Simptomnya sering menjejaskan pergerakan, seperti:
- Rasa kebas atau lemah pada satu atau lebih anggota badan yang biasanya terjadi di satu sisi badan pada satu masa atau kaki dan badan anda.
- Sensasi kejutan elektrik yang berlaku apabila menggerakkan leher dalam gerakan tertentu, terutamanya ketika menundukkan leher ke hadapan (simptom Lhermitte).
- Mengalami gegaran, koordinasi atau gaya hidup yang tidak stabil.
Masalah penglihatan juga agak biasa terjadi kepada pesakit dengan penyakit ini, termasuklah:
- Kehilangan penglihatan separa atau sepenuhnya, selalunya pada satu belah mata dalam suatu masa tertentu, seiring dengan kesakitan ketika menggerakkan mata.
- Penglihatan berganda yang berpanjangan.
- Penglihatan kabur.
Simptom Sklerosis Berbilang yang lain juga termasuklah:
- Percakapan yang tidak jelas.
- Keletihan.
- Pening.
- Rasa kesemutan atau sakit di bahagian badan.
- Mengalami masalah dari segi fungsi seksual, usus dan pundi kencing.
Diagnosis Sklerosis Berbilang
Doktor akan menjalankan pemeriksaan fizikal dan neurologi, bertanyakan tentang simptom dan mempertimbangkan sejarah perubatan anda.
Tiada ujian tunggal yang boleh mengesahkan diagnosis penyakit ini, jadi doktor akan menggunakan beberapa strategi untuk memutuskan sama ada anda memenuhi kriteria untuk didiagnosis sebagai pesakit Sklerosis Berbilang.
Ini termasuklah:
- Imbasan MRI otak dan saraf tunjang, yang boleh mendedahkan sebarang luka.
- Analisis bendalir tulang belakang, yang boleh mengenal pasti antibodi yang mengakibatkan jangkitan lama.
- Ujian potensi, yang mengukur aktiviti elektrik badan sebagai tindak balas kepada rangsangan.
Bagi penyakit lain yang mempunyai simptom serupa dengan Sklerosis Berbilang, doktor akan mencadangkan ujian lain untuk menilai punca yang mungkin terjadi.
Jika doktor mengesahkan anda mengalami penyakit ini, mereka akan mengenal pasti jenisnya serta sama ada ia aktif atau tidak. Pesakit mungkin memerlukan lebih banyak ujian pada masa akan datang untuk menilai perubahan selanjutnya.
Faktor Risiko Sklerosis Berbilang
Faktor-faktor ini boleh meningkatkan risiko anda menghidapi Sklerosis Berbilang:
- Umur. Sklerosis Berbilang boleh berlaku pada sebarang peringkat umur , tetapi biasanya memberi kesan kepada pesakit di antara umur 16 hingga 55 tahun.
- Jantina. Wanita lebih cenderung mengihdap penyakit ini berbanding lelaki (lebih daripada dua hingga tiga kali ganda). Lelaki pula sering mengalami Sklerosis Berbilang yang berulang.
- Sejarah keluarga. Sekiranya salah seorang daripada ibu bapa atau adik-beradik anda menghidapi penyakit ini, anda berisiko tinggi untuk mendapat penyakit ini juga.
- Jangkitan tertentu. Pelbagai virus telah dikaitkan dengan Sklerosis Berbilang, termasuklah Epstein-Barr iaitu virus yang menyebabkan mononukleosis berjangkit.
- Bangsa. Individu berkulit putih, terutamanya berketurunan Eropah Utara, berisiko tinggi untuk menghidapi penyakit ini. Manakala, individu berketurunan Amerika, Afrika atau Amerika Asli mempunyai risiko yang lebih rendah.
- Iklim. Sklerosis Berbilang lebih biasa berlaku di negara-negara yang mempunyai iklim sederhana, termasuklah Kanada, Amerika Syarikat Utara, New Zealand, Australia Tenggara dan Eropah.
- Vitamin D. Memiliki tahap vitamin D yang rendah dan pendedahan rendah kepada cahaya matahari dikaitkan dengan risiko Sklerosis Berbilang yang lebih besar.
- Sesetengah penyakit autoimun. Jika anda mempunyai penyakit tiroid, diabetes jenis 1 atau penyakit keradangan usus, anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap Sklerosis Berbilang .
- Merokok. Perokok yang mengalami simptom awal penyakit ini berisiko untuk mengalami Sklerosis Berbilang yang berulang berbanding individu yang tidak merokok .
Rawatan Sklerosis Berbilang
Tiada ubat bagi merawat Sklerosis Berbilang tetapi rawatan tersedia yang boleh dilakukan adalah untuk:
- Memperlahankan perkembangan dan mengurangkan keparahan apabila penyakit ini berulang.
- Melegakan gejala.
Sesetengah individu juga boleh menjalani terapi pelengkap dan alternatif, tetapi masih tiada bukti mengenai keberkesanannya terhadap penyakit ini.
Ubat untuk melambatkan perkembangan penyakit
Beberapa terapi pengubahsuaian penyakit (Disease Modifying Therapies) telah diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah (Food & Drug Administration) bagi keadaan Sklerosis Berbilang yang berulang. Ini berfungsi dengan mengubah cara fungsi sistem imun.
Selain itu, doktor boleh memberikan ubat-ubatan terapi secara oral, melalui suntikan atau infusi. Kekerapan pengambilan ubat dan lokasi pengambilannya bergantung kepada jenis ubat tersebut.
Ubat-ubatan yang boleh disuntik
- interferon beta 1-a (Avonex dan Rebif)
- interferon beta-1b (Betaseron dan Extavia)
- glatiramer acetate: (Copaxone dan Glatopa)
- peginterferon beta-1a) (Plegridy)
Ubatan oral
- teriflunomide (Aubagio)
- fingolimod (Gilenya)
- dimetil fumarate (Tecfidera)
- mavenclad (cladribine)
- mayzent (siponimod)
Ubat-ubatan Infusi
- alemtuzumab (Lemtrada)
- mitoxantrone (Novantrone)
- ocrelizumab (Ocrevus)
- natalizumab (Tysabri)
Garis panduan terbaru telah mengesyorkan pesakit untuk mengambil ubat-ubatan ini sejak peringkat awal, kerana ia lebih berkesan untuk melambatkan perkembangan Sklerosis Berbilang (terutamanya jika pesakit mengambil ubat tersebut sebelum simptom mereka menjadi parah).
Sesetengah ubat lebih berkesan pada peringkat tertentu. Sebagai contoh, doktor mungkin akan menetapkan mitoxantrone pada peringkat Sklerosis Berbilang yang lebih teruk.
Doktor akan memantau cara ubat berfungsi kerana ia mungkin mempunyai kesan sampingannya, dan ubat yang sama kadangkala tidak sesuai dengan semua pesakit. Terdapat banyak pilihan ubat-ubatan baru dalam pasaran yang telah terbukti selamat dan lebih berkesan daripada ubatan yang sedia ada.
Kesan buruk ubat imunosupresan pula termasuklah risiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan. Malahan, sesetengah ubat juga boleh merosakkan hati.
Sekiranya seseorang menyedari akan kesan sampingan ubat terhadap diri mereka atau jika simptom mereka menjadi lebih teruk, segera dapatkan nasihat perubatan daripada doktor.
Ubat untuk melegakan simptom semasa keradangan
Ubat-ubatan lain juga berguna apabila seseorang mengalami simptom yang semakin memburuk, semasa keradangan berlaku. Namun begitu, mereka tidak perlu mengambil ubat tersebut sepanjang masa.
- Kortikosteroid: Ubat jenis ini mengurangkan keradangan dan menyekat sistem imun. Ia boleh merawat simptom-simptom akut Sklerosis Berbilang tertentu. Contoh ubat adalah Solu-Medrol (methylprednisolone) dan Deltasone (prednisone). Steroid hanya mempunyai kesan buruk jika seseorang menggunakannya dengan terlalu kerap, dan ia tidak boleh memberikan sebarang manfaat jangka panjang.
- Perubahan tingkah laku: Jika masalah penglihatan berlaku, doktor akan mengesyorkan anda untuk merehatkan mata anda dari semasa ke semasa atau mengehadkan masa menghadap skrin. Seseorang yang menghidap Sklerosis Berbilang perlu beristirehat apabila letih dan melakukan aktivit mengikut kadar kemampuan sahaja.
- Masalah mobiliti dan keseimbangan: Terapi fizikal dan peranti berjalan, seperti tongkat, boleh membantu menangani masalah ini. Ubat seperti dalfampridine (Ampyra) telah membuktikan ia berguna untuk membantu masalah ini.
- Gegaran: Pesakit boleh menggunakan alat bantuan atau meletakkan beban kepada anggota badan untuk mengurangkan gegaran. Ubat tertentu juga membantu dengan masalah gegaran.
- Keletihan: Mendapatkan rehat yang cukup dan mengelakkan haba dan panas dapat membantu mengurangkan keletihan. Selain itu, terapi fizikal dan pekerjaan juga boleh membantu mengajar pesakit cara yang lebih selesa untuk melakukan sesuatu hal. Peranti penolong, seperti skuter mobiliti boleh membantu memuliharakan tenaga anda. Selain itu, ubat atau kaunseling juga boleh membantu meningkatkan tenaga dengan meningkatkan masa tidur anda.
- Sakit: Doktor boleh menetapkan ubat antikonvulsan atau antispasmodik atau suntikan alkohol untuk melegakan neuralgia trigeminal, iaitu rasa sakit tajam yang menyerang muka anda. Ubat pelega, seperti gabapentin juga boleh membantu dengan kesakitan badan.
- Masalah pundi kencing dan usus: Sesetengah ubat dan perubahan diet boleh membantu menanganinya.
- Kemurungan: Doktor mungkin akan menetapkan perencat reaksi serotonin selektif (SSRI), kerana ubat ini kurang berisiko untuk menyebabkan keletihan berbanding ubat antidepresan yang lain.
- Perubahan kognitif: Donepezil, sejenis ubat untuk Alzheimer, boleh membantu sesetengah pesakit yang mengalami situasi ini.
Terapi pelengkap dan alternatif
Prosedur berikut boleh membantu menangani pelbagai aspek Sklerosis Berbilang:
- Rawatan haba dan urutan untuk melegakan kesakitan.
- Akupunktur untuk melegakan kesakitan.
- Pengurusan tekanan untuk meningkatkan emosi.
- Senaman untuk mengekalkan kekuatan dan kelenturan, mengurangkan kekakuan.
- Mengamalkan diet yang sihat dengan memakan banyak buah-buahan segar, sayuran dan serat.
Pelbagai makanan tambahan boleh didapati untuk dibeli dalam talian, termasuklah makanan tambahan vitamin D dan Omega-3. Sesetengah pesakit mengambil makanan tambahan, walaupun saintis tidak membuktikan bahawa ia dapat membantu. Pesakit haruslah berunding dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang makanan tambahan.
Ubat Marijuana
Beberapa kajian telah mencadangkan bahawa ganja boleh membantu melegakan kesakitan, kekejangan otot, dan insomnia. Walau bagaimanapun, tidak ada bukti yang cukup untuk mengesahkan perkara ini.
Pesakit juga perlu mengambil perhatian mengenai:
- Terdapat perbezaan antara menggunakan ganja jalanan dan ganja perubatan.
- Tidak semua bentuk ganja adalah sah di semua negeri.
Pesakit haruslah meminta nasihat doktor sebelum menggunakan ganja, kerana sesetengah bentuk ganja boleh memberikan kesan yang buruk kepada kesihatan. Ganja jenis rokok tidak bermanfaat, dan ia mungkin akan membuatkan simptom menjadi lebih teruk.
SUMBER
https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/multiple-sclerosis/symptoms-causes/syc-20350269