Slipped Disc atau Cakera Tergelincir, ‘herniated’, atau ‘prolapsed’. Ia menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan kepada diri anda. Sekiranya Slipped Disc memampatkan salah satu saraf tulang belakang, anda juga mungkin akan mengalami rasa kebas dan sakit di sepanjang saraf yang terjejas. Dalam keadaan yang teruk, anda mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang atau membaiki Slipped Disc.
Lajur tulang belakang anda terdiri daripada satu siri tulang (vertebra) yang disusun di antara satu sama lain. Dari atas ke bawah, lajur termasuklah 7 tulang di tulang belakang serviks, 12 di tulang belakang toraks, dan 5 di tulang belakang lumbar, diikuti oleh sacrum dan coccyx di pangkalannya. Tulang-tulang ini dialas oleh cakera. Cakera, atau ‘disc’ melindungi tulang dengan menyerap sebarang kejutan dari aktiviti harian seperti berjalan, mengangkat, dan berpusing.
Setiap cakera mempunyai dua bahagian: bahagian dalaman lembut dan bergelatin serta bahagian luaran yang keras. Kecederaan atau kelemahan boleh menyebabkan bahagian dalam cakera menonjol melalui bahagian luar. Keadaan ini dikenali sebagai
Simptom Slipped Disc
Slipped Disc boleh berlaku pada mana-mana bahagian tulang belakang anda, bermula daripada leher anda ke punggung bawah anda. Punggung bawah adalah salah satu kawasan yang lebih cenderung terjadinya Slipped Disc. Lajur tulang belakang anda terdiri dari rangkaian saraf dan saluran darah yang rumit. Slipped Disc boleh meletakkan tekanan tambahan pada saraf dan otot di sekelilingnya.
Simptom Slipped Disc termasuklah:
- Kesakitan dan rasa kebas, biasanya pada satu sisi badan
- Kesakitan yang meluas pada tangan atau kaki anda
- Kesakitan yang bertambah buruk pada waktu malam atau dengan pergerakan tertentu
- Kesakitan yang bertambah buruk selepas berdiri atau duduk
- Sakit ketika berjalan jarak pendek
- Kelemahan otot yang tidak dapat dijelaskan
- Kesemutan, kesakitan, atau rasa terbakar di kawasan yang terjejas
Jenis kesakitan adalah berbeza bagi satu individu ke individu yang lain. Berjumpalah dengan doktor anda jika kesakitan anda menyebabkan kebas atau kesemutan sehingga menjejaskan keupayaan anda untuk mengawal otot.
Punca Slipped Disc
Slipped Disc berlaku apabila cakera intervertebral pada bahagian dalaman yang lembut menonjol melalui lapisan luar. Tulang-tulang belakang manusia terdiri daripada 26 tulang yang disebut sebagai vertebra. Di antara setiap vertebra, terdapat bahan bergetah seperti kusyen yang dipanggil “cakera”. Cakera inilah yang membantu mengekalkan vertebra di tempatnya dan bertindak sebagai penyerap kejutan.
Cakera tulang belakang mempunyai bahagian tengah yang lembut seperti jeli dan luaran yang lebih keras.
Slipped Disc berlaku apabila beberapa bahagian dalaman yang lembut keluar melalui retakan pada dinding cakera. Keadaan ini biasanya berlaku di bahagian bawah belakang tetapi ia juga boleh berlaku di leher vertebra.
“Jeli” yang terkeluar ini akan melepaskan bahan kimia yang merengsakan saraf di kawasan sekitarnya dan menyebabkan kesakitan yang ketara. Slipped Disc juga boleh memberi tekanan pada saraf sehingga menyebabkan kesakitan melalui pemampatan.
Punca cakera yang haus biasanya disebabkan oleh pergerakan berulang dari masa ke semasa.
Cakera tulang belakang kehilangan sebahagian daripada kandungan air seiring dengan umur seseorang individu. Pengurangan cecair ini membuatkan cakera menjadi kurang kukuh dan lebih mudah pecah.
Seseorang tidak semestinya dapat mengingati bila sebenarnya masalah Slipped Disc bermula, namun ianya sering terjadi ketika mengangkat barang berat tanpa membengkokkan lutut atau setelah berpusing sambil mengangkat barang berat.
Diagnosis Slipped Disc
Cara terbaik untuk mengetahui jika anda mempunyai Slipped Disc adalah dengan berjumpa doktor anda. Beliau mungkin akan melakukan ujian fizikal bagi mencari punca kesakitan anda. Ini biasanya merupakan satu-satunya ujian yang anda perlu jalani untuk mengesahkan diagnosis. Tetapi jika doktor anda ingin mengetepikan punca lain kesakitan yang anda alami atau menentukan saraf tertentu yang lain yang menjadi punca kesakitan, beliau akan melakukan ujian selanjutnya seperti:
- X-ray. Walaupun X-ray biasa tidak dapat menunjukkan dengan jelas jika anda mempunyai Slipped Disc, ia dapat memberikan gambaran kepada doktor mengenai garis besar tulang belakang dan mengesahkan sama ada sakit anda disebabkan oleh perkara lain seperti tulang yang patah atau tumor.
- Myelogram. Ujian ini menggunakan pewarna yang disuntik ke dalam cecair tulang belakang anda dan menggunakan X-ray untuk mencari tekanan pada saraf tunjang.
- Imbasan CT. Imbasan CT (atau CAT) mengambil imej X-ray dari sudut yang berbeza dan menggabungkannya untuk menghasilkan imej saraf tunjang dan struktur sekitarnya.
- MRI. MRI menggunakan gelombang radio, medan magnet, dan komputer untuk menghasilkan imej 3D terperinci mengenai saraf tunjang dan kawasan sekitarnya. Imej MRI boleh mencari kedudukan Slipped Disc , melihat ke dalamnya serta menentukan saraf yang terjejas.
Faktor Risiko Slipped Disc
Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko Slipped Disc termasuklah:
- Berat. Berat badan yang berlebihan menyebabkan tekanan tambahan pada cakera di bahagian bawah belakang anda.
- Pekerjaan. Individu yang mempunyai pekerjaan fizikal yang berat mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mengalami masalah pada bahagian belakang. Mengangkat barang secara berulang kali, menarik, menolak, membongkok ke sisi dan berpusing juga dapat meningkatkan risiko Slipped Disc.
- Genetik. Sesetengah individu mewarisi kecenderungan untuk mengembangkan Slipped Disc.
- Merokok. Merokok mengurangkan bekalan oksigen ke cakera, lalu menyebabkannya rapuh dengan lebih cepat.
Rawatan Slipped Disc
Rawatan konservatif – Mengubahsuai aktiviti untuk mengelakkan pergerakan yang boleh menyebabkan kesakitan serta pengambilan ubat tahan sakit dapat melegakan simptom pada kebanyakan pesakit dalam beberapa hari atau minggu.
– Ubat-ubatan
• Ubat tahan sakit di farmasi. Sekiranya kesakitan anda adalah ringan hingga sederhana, doktor anda mungkin mengesyorkan ubat tahan sakit seperti acetaminophen (Tylenol, lain-lain) ibuprofen (Advil, Motrin IB, lain-lain) atau natrium naproxen (Aleve).
• Suntikan kortison. Sekiranya kesakitan anda tidak berkurang dengan pengambilan ubat-ubatan oral, doktor anda mungkin mencadangkan kortikosteroid yang boleh disuntik ke kawasan sekitar saraf tulang belakang. Pengimejan tulang belakang boleh membantu membimbing jarum yang digunakan sewaktu suntikan.
• Perehat otot. Anda mungkin akan diberikan perehat otot jika anda mempunyai kekejangan otot. Pening merupakan kesan sampingan biasa bagi ubat ini.
• Opioid. Oleh kerana kesan sampingan opioid adalah ketagihan, kebanyakan doktor teragak-agak untuk memberikannya kepada pesakit Slipped Disc. Jika ubat lain tidak melegakan kesakitan anda, doktor anda mungkin mempertimbangkan penggunaan opioid dalam jangka masa pendek, seperti codeine atau kombinasi oksikodon-asetetaminophen (Percocet, Roxicet). Pengsan, loya, kekeliruan dan Sembelit adalah kesan sampingan daripada ubat ini.
– Terapi
Doktor anda mungkin menyarankan terapi fizikal untuk membantu mengurangkan kesakitan anda. Ahli terapi fizikal akan menunjukkan kedudukan dan senaman yang direka khas untuk meminimumkan kesakitan Slipped Disc.
– Pembedahan
Sesetengah pesakit yang mengalami Slipped Disc memerlukan pembedahan. Doktor mungkin akan mencadangkan pembedahan jika rawatan konservatif gagal memperbaiki simptom anda selepas enam minggu, terutamanya jika anda masih mengalami:
- Kesakitan yang tidak terkawal
- Kebas atau kelemahan
- Kesukaran berdiri atau berjalan
- Kehilangan kawalan pundi kencing atau kawalan usus
Dalam hampir semua kes, pakar bedah akan membuang hanya bahagian cakera yang menonjol. Situasi pengeluaran keseluruhan tulang belakang adalah amat jarang berlaku. Dalam kes-kes seperti ini, vertebra mungkin perlu disatukan melalui cantuman tulang.
Untuk melakukan proses cantuman tulang yang boleh mengambil masa beberapa bulan, perkakasan logam diletakkan di tulang belakang untuk menstabilkan tulang belakang. Situasi lain yang jarang berlaku adalah pakar bedah anda mencadangkan implantasi cakera tiruan.
Sumber:
https://www.webmd.com/first-aid/slipped-disk-treatment
https://www.webmd.com/pain-management/treatments-for-herniated-disk
https://www.healthline.com/health/herniated-disk
https://patient.info/bones-joints-muscles/back-and-spine-pain/slipped-disc-prolapsed-disc