Now Reading
Soalan Lazim Tentang Diet Paleo

Soalan Lazim Tentang Diet Paleo

Soalan Lazim Tentang Diet Paleo

Soalan lazim diet Paleo adalah senarai yang sesuai dan penting sekiranya anda baru sahaja mahu memulakan diet Paleo. Matlamat artikel ini adalah untuk memberi gambaran ringkas tentang aspek-aspek dalam diet Paleo berdasarkan pertanyaan menarik oleh individu lain.

Berikut merupakan beberapa soalan lazim diet Paleo buat pemahaman anda.

1. Apakah yang membuatkan diet Paleo berbeza daripada diet lain?

Diet Paleo tidak sama seperti kebanyakan diet lain kerana ia boleh diamalkan dalam jangka masa yang lama. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan kesihatan, kesejahteraan dan memanjangkan umur anda. Kebanyakan diet pada zaman ini memberi tumpuan kepada matlamat tertentu seperti penurunan berat badan, meningkatkan prestasi sukan atau merawat penyakit tertentu. Sebaliknya, diet Paleo menggalakkan perkembangan gen positif, menyeimbangkan hormon dan proses homeostasis sekaligus mendorong kepada kemajuan kesihatan, kompisisi badan yang lebih elok dan prestasi sukan yang ideal. Jadi, anda boleh mendapat banyak manfaat daripada pelbagai jenis diet lain hanya dengan satu jenis diet sahaja.

2. Bagaimana diet memakan daging dan makanan laut membantu mengurangkan berat badan berbanding diet tinggi karbohidrat dan rendah lemak?

Kita biasanya mengetahui bahawa untuk mengurangkan berat badan, badan kita perlu membakar kalori dan cara terbaik untuk mencapai tahap ini adalah dengan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi karbohidrat. Namun, menurut pengalaman mereka yang mengamalkan diet begini, ia adalah kurang menyenangkan kerana mereka mengalami masalah kelaparan pada hampir setiap masa. Isu kelaparan ini tidak harus dibiarkan kerana ia boleh menyebabkan gastrik. Sudah tentu anda tidak mahu mencapai tahap ini bukan?

Justeru itu, diet Paleo melalui cara pemakanan yang tinggi protein, banyak buah-buahan dan sayur-sayuran serta kandungan lemak yang sederhana sebenarnya lebih banyak membantu anda untuk mengurangkan berat badan. Protein mempunyai dua atau tiga kali ganda kesan haba (thermal) berbanding lemak atau karbohidrat. Jadi, ia boleh meningkatkan kadar metabolisme serta mempercepatkan penurunan berat badan. Keadaan ini dapat dicapai melalui pemakanan yang mementingkan kadar protein berbanding kandungan lemak dan karbohidrat.

3. Bagaimanakah saya boleh mendapat kalsium yang mencukupi untuk menguatkan tulang tanpa mengambil produk tenusu?

Kandungan mineral dalam tulang tidak hanya bergantung pada pengambilan kalsium tetapi turut melibatkan keseimbangan kalsium asas (pengambilan kalsium selepas ditolak penyingkiran kalsium). Selain itu, kesihatan tulang juga bergantung pada keseimbangan pemakanan berasaskan asid atau alkali sahaja.

Diet Paleo menitikberatkan keseimbangan antara makanan berasid dan makanan asas (alkali) yang sesuai seperti ikan, makanan laut, buah-buahan dan sayur-sayuran. Makanan-makanan ini membantu untuk mengelakkan terjadinya masalah Osteoporosis pada individu yang sihat. Malah, diet Paleo juga mampu meningkatkan kesihatan tulang.  

4. Mengapa kandungan garam tambahan dalam makanan perlu dielakkan?

Sama seperti keju keras, bijirin, daging diproses dan kekacang, garam juga mempunyai kandungan asid asas yang diserap ke buah pinggang sekiranya tiada pengambilan makanan alkali seperti buah-buahan dan sayur-sayuran. Tubuh anda kemudiannya akan bertindak balas dengan menarik garam kalsium daripada tulang sehingga boleh menyebabkan masalah Osteoporosis dan penyakit degeneratif yang lain.

Seperti yang diterangkan dalam diet Paleo, keju, bijirin dan kekacang mempunyai kandungan nutrien yang mampu memberikan kesan negatif pada kesihatan anda. Pemakanan berunsurkan daging segar yang tidak diproses diseimbangkan dengan buah-buahan dan sayur-sayuran adalah lebih berkhasiat dan sesuai untuk badan anda.

5. Bukankah diet berasaskan daging boleh meningkatkan tahap kolesterol dan menyebabkan penyakit jantung?

Walaupun pemakanan berasaskan daging boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam darah, analisis meta yang dilakukan mengenainya telah menunjukkan bahawa pengambilan lemak tepu boleh hanya mempunyai risiko yang sedikit kepada seseorang individu untuk mendapat Penyakit Jantung. Oleh itu, diet Paleo mengesyorkan pemilihan daging berasaskan sumber lembu yang memakan rumput sahaja atau yang ditangkap secara liar, sekiranya boleh. Ini kerana daging-daging ini adalah lebih berkhasiat dan mempunyai ciri pemakanan yang serupa dengan haiwan liar.

Selain itu, kajian klinikal terbaru juga menunjukkan bahawa diet tinggi protein adalah lebih efektif dalam mengurangkan kadar kolesterol dalam darah dan paras lemak (lipid) darah yang lain berbanding diet rendah lemak atau diet dengan kadar karbohidrat yang tinggi. Diet tinggi protein juga boleh mengurangkan tahap ‘homocysteine’ darah yang merupakan salah satu faktor risiko bagi Penyakit Jantung.

6. Bagaimanakah saya boleh mendapatkan nutrien mineral dan vitamin B sekiranya saya tidak memakan bijirin (grains) dalam diet saya?

Berdasarkan pengambilan asas kalori harian, bijirin mengandungi sumber serat, mineral dan vitamin B yang kurang elok berbanding daging, makanan laut, buah-buahan dan sayur-sayuran yang segar dalam diet Paleo. Sebagai contoh, hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran segar dengan 1,000 kalori mengandungi antara dua hingga tujuh kali lebih banyak serat berbanding hidangan bijirin penuh. Di samping itu, kebanyakan serat dalam buah-buahan dan sayur-sayuran adalah serat larut yang tidak membahayakan jantung dan boleh menurunkan kadar kolesterol dalam tubuh anda.

Jadi, mengamalkan cara pemakanan berasaskan diet Paleo masih membolehkan anda mendapatkan sumber nutrien yang mencukupi tanpa memberi kesan kepada keadaan kesihatan yang lain.

7.  Sekiranya saya adalah seorang ‘vegetarian’, bolehkah saya mengikuti diet Paleo?

Kebanyakan vegan dan vegatarian bergantung pada kekacang dan bijirin bagi memenuhi sebahagian besar pengambilan kalori harian mereka. Makanan-makanan ini sebenarnya mengandungi kepekatan tertinggi bagi beberapa antinutrien yang boleh dijumpai dalam makanan. Malah, kompaun ini sering meningkatkan kebolehtelapan (permeability) usus dan menyebabkan keadaan yang dikenali sebagai ‘usus bocor’. Ini secara tidak langsung boleh menyebabkan Penyakit Autoimun. Di samping itu, kebocoran usus juga boleh menyebabkan keradangan serta penyakit berbahaya seperti Penyakit Jantung dan Kanser.

Jadi, untuk menjawab persoalan ini, ianya adalah mustahil untuk mengikuti diet Paleo tanpa mengambil sebarang sumber daripada haiwan seperti daging, makanan laut dan telur. Sekiranya anda benar-benar mahu mencuba diet ini, dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan anda terlebih dahulu.

8. Apakah tempoh peralihan bagi diet Paleo?

Tempoh peralihan singkat selama 3 hingga 4 minggu mungkin berlaku selepas anda mula mengurangkan pengambilan karbohidrat. Sebenarnya, tempoh ini memberi masa agar badan anda dapat menyesuaikan diri untuk menggunakan lemak sebagai bahan bakar baharu. Seterusnya, tempoh ini juga akan menjadi lebih ketara apabila anda mengambil jumlah karbohidrat yang terlalu rendah seperti dalam diet ketogenik. Dalam beberapa minggu tersebut, tenaga  anda mungkin berkurangan dan anda akan menjadi lebih cepat marah dan terganggu dengan keadaan sekeliling.

Namun, setelah badan anda dapat membiasakan diri dengan keadaan baharu, simptom sebegitu akan hilang dengan sendirinya. Bukan itu sahaja, anda juga akan memperoleh tenaga yang lebih banyak berbanding dahulu.

Sekiranya anda berasa kurang yakin terhadap tempoh itu, cara yang terbaik untuk memulakan diet Paleo adalah secara perlahan-lahan. Jangan risau sekiranya badan anda mula menunjukkan perubahan yang asing kerana kesannya tidak membahayakan dan tiada keperluan rawatan.

9. Perlukah saya mengambil makanan tambahan (supplements)?

Sebenarnya, anda boleh mengambil makanan tambahan semasa mengamalkan diet Paleo jika anda mahu tetapi ianya tidak digalakkan kerana ia bukan sahaja mahal tetapi juga boleh memberi kesan yang bertentangan. Makanan tambahan bukanlah satu keperluan tetapi lebih kepada keinginan untuk memberikan sesuatu yang baik buat badan sendiri.

Masyarakat sekarang sering menjadi mangsa kepada gaya hidup yang sibuk, masalah kurang tidur, mengalami tekanan berlebihan, terdedah kepada yang tercemar, kekurangan sumber makanan yang sihat serta kekurangan pendedahan yang baik kepada matahari. Atas sebab sebegini, anda dibolehkan untuk mengambil makanan tambahan seperti vitamin D, minyak ikan dan suplemen probiotik yang mungkin bermanfaat untuk badan anda.

Namun, pastikan anda merujuk pakar kesihatan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk mengambil makanan tambahan kerana bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan terutamanya jika anda mempunyai masalah kesihatan lain.

SUMBER

https://paleoleap.com/paleo-diet-faq/

https://thepaleodiet.com/paleo-diet-faq

https://healthyhappysmart.com/what-is-the-paleo-diet-faq/

error: Content is protected !!