Penyakit jantung seperti penyakit jantung koronari, serangan jantung dan kegagalan jantung kongestif adalah penyebab utama kematian bagi individu lelaki dan wanita di dunia. Soalan lazim tentang penyakit jantung banyak ditanya di pelbagai jenis media terutamanya tentang langkah mencegahnya. Langkah pencegahan yang boleh dilakukan termasuklah berhenti merokok, menurunkan kadar kolesterol, mengawal tekanan darah tinggi dan bersenam.
Jom ketahui lebih lanjut daripada soalan lazim tentang penyakit jantung yang selalu ditanya seperti di bawah.
1. Sekiranya saya menggunakan ubat untuk merawat penyakit jantung, apakah itu bermakna saya tidak lagi berisiko terkena serangan jantung?
Tidak, ini bermaksud anda sedang berusaha untuk mengurangkan risiko serangan jantung pada masa depan. Walau bagaimanapun, ada juga faktor yang boleh menyebabkan penyakit jantung seperti faktor genetik atau keturunan. Jadi, serangan jantung dalam keadaan seperti ini masih boleh berlaku. Sebaiknya berbincang dengan doktor untuk menentukan kaedah terbaik supaya risiko anda dihidapi boleh dikurangkan.
2. Apakah perkaitan antara merokok dan penyakit jantung?
Kira-kira 30% kematian akibat penyakit jantung berkaitan secara langsung dengan merokok. Merokok adalah penyebab utama aterosklerosis, salah satu jenis penyakit jantung yang menyebabkan berlakunya pengerasan arteri.
Malah, nikotin dalam asap rokok juga boleh menyebabkan:
- Kurang oksigen ke jantung
- Tekanan darah dan degupan jantung lebih tinggi
- Lebih banyak pembekuan darah
- Kerosakan pada sel yang melapisi arteri koronari dan saluran darah lain
3. Haruskah saya fokus untuk menurunkan kadar kolesterol makanan atau lemak tepu?
Mengehadkan pengambilan lemak tepu dan lemak trans dalam makanan anda memberi kesan terbesar bagi menurunkan kolesterol. Selain itu, mengehadkan pengambilan daging berlemak, memilih produk tenusu rendah lemak atau tanpa lemak dan mengelakkan mentega dan marjerin memainkan peranan utama dalam membantu mengekalkan tahap kolesterol yang sihat. Diet tinggi serat, terutama serat larut juga dapat menurunkan kadar kolesterol dengan ketara.
4. Adakah benar bahawa individu boleh dilahirkan dengan penyakit jantung?
Ya, penyakit jantung kongenital dan kecacatan jantung kongenital adalah masalah jantung yang berlaku semasa kelahiran. Terdapat banyak bentuk kecacatan jantung termasuklah perkembangan otot jantung, injap jantung dan saluran darah yang tidak normal ke dalam dan keluar dari jantung. Kecacatan jantung ini juga adalah kelainan kelahiran yang biasa berlaku di seluruh dunia. Ia mungkin menjejaskan perkembangan si bayi serta mendorong kepada masalah kesihatan lain.
5. Bolehkah senaman dan diet membantu agar saya tidak lagi memerlukan ubat kolesterol dan ubat tekanan darah?
Melakukan senaman adalah penting untuk menurunkan kadar kolesterol dan tekanan darah, tetapi jangan berhenti mengambil ubat sekiranya anda sedang mengamalkan gaya hidup sihat ini. Walaupun senaman sudah memberikan banyak manfaat kepada badan kita, namun ia mungkin tidak mencukupi untuk menghentikan rawatan lain sepenuhnya. Pakar mengesyorkan individu melakukan senaman aerobik setiap hari, atau sekurang-kurangnya 5 hari seminggu, dengan tahap intensiti sederhana sekurang-kurangnya 30 minit bagi menjaga jantung dalam keadaan baik.
6. Bagaimana pula jika saya tidak berisiko menghidap penyakit jantung?
Melakukan pemeriksaan jantung adalah satu aspek yang penting. Walaupun anda mungkin tidak berisiko mendapat penyakit jantung, tetapi ketahui juga bahawa tidak semua orang mempunyai gejala biasa seperti sakit dada atau ketidakselesaan ketika mengalami serangan jantung atau masalah kardiovaskular yang lain. Selain itu, ia juga boleh mempengaruhi mana-mana individu disebabkan beberapa faktor yang anda mungkin tidak sedari. Oleh itu, anda harus melakukan pemeriksaan tahunan yang merangkumi pemeriksaan tekanan darah, lipid dan kolesterol serta perbincangan bersama doktor mengenai faktor risiko lain.
7. Adakah ‘kegagalan jantung’ bermaksud bahawa jantung telah berhenti berfungsi?
Tidak, apabila jantung tidak mengepam dengan cukup kuat dalam proses peredaran darah ke seluruh badan, keadaan ini disebut sebagai kegagalan jantung. Ini boleh berlaku kerana kelemahan otot jantung atau pengisian darah yang tidak mencukupi ke ruang jantung.
8. Adakah penyakit jantung dapat dicegah?
Terdapat beberapa penyakit yang boleh menyebabkan penyakit jantung dan keadaan jantung yang lain. Walau bagaimanapun, mengamalkan gaya hidup sihat dapat mengurangkan risiko penyakit jantung secara dramatik. Contohnya, mengurangkan pengambilan lemak (mengelakkan daging merah) dan menambahkan lebih banyak aktiviti dalam seharian dapat membantu anda menurunkan kolesterol. Anda disyorkan melakukan senaman kardiovaskular sekurang-kurangnya 30 hingga 60 minit setiap hari (atau sekurang-kurangnya 5 hari seminggu). Walaupun senaman anda dibahagikan kepada sesi yang lebih pendek sepanjang hari, ia tetap dapat mengurangkan risiko anda menghidap penyakit ini.
SUMBER
https://www.webmd.com/heart-disease/default.htm
https://medicalxpress.com/news/2017-02-frequently-heart-disease.html