Now Reading
Solat Istikharah: Mohon Petunjuk Allah Dalam Membuat Pilihan

Solat Istikharah: Mohon Petunjuk Allah Dalam Membuat Pilihan

Solat Istikharah

Solat istikharah merupakan solat sunat yang dilaksanakan seorang muslim bagi memohon bantuan Allah dalam menentukan keputusan yang terbaik dalam membuat pilihan bagi segala urusan kehidupan.

Nabi Muhammad SAW sangat menggalakkan kita melakukan solat sunat tersebut. Antara hadis yang diriwayatkan adalah:

Sabda Rasulullah SAW:  “Di antara kebahagiaan anak Adam ialah Solat Istikharah (minta pilih) daripada Allah Taala dalam segala urusannya dan di antaranya kecelakaan anak Adam ialah meninggalkan solat Istikharah daripada Allah pada segala urusannya.”

Disini kami kongsikan sedikit pengenalan berkenaan solat istikharah. Perkataan istikharah adalah berasal daripada perkataan خير yang membawa makna kebaikan. Penambahan huruf Alif,Sin dan Ta’ menambah lagi maknanya. استخار  membawa makna memohon pilihan. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Munzir di dalam Lisan al-Arab. – Lisan al-Arab (4/264)

Berikut adalah Riwayat daripada Jabir Bin Abdullah tentang sunnah Rasulullah berkaitan dengan solat istikharah,

Daripada Jabir Bin Abdullah :

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَلِّمُنَا الاِسْتِخَارَةَ فِي الأُمُورِ كُلِّهَا كَمَا يُعَلِّمُنَا السُّورَةَ مِنَ القُرْآنِ ، يَقُولُ : إِذَا هَمَّ أَحَدُكُمْ بِالأَمْرِ فَلْيَرْكَعْ رَكْعَتَيْنِ مِنْ غَيْرِ الفَرِيضَةِ ، ثُمَّ لِيَقُلْ : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَخِيرُكَ بِعِلْمِكَ ، وَأَسْتَقْدِرُكَ بِقُدْرَتِكَ ، وَأَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ العَظِيمِ ، فَإِنَّكَ تَقْدِرُ وَلاَ أَقْدِرُ ، وَتَعْلَمُ وَلاَ أَعْلَمُ ، وَأَنْتَ عَلاَّمُ الغُيُوبِ ، اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ خَيْرٌ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَيَسِّرْهُ لِي ، ثُمَّ بَارِكْ لِي فِيهِ ، وَإِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ أَنَّ هَذَا الأَمْرَ شَرٌّ لِي فِي دِينِي وَمَعِيشَتِي وَعَاقِبَةِ أَمْرِي ، أَوْ قَالَ : فِي عَاجِلِ أَمْرِي وَآجِلِهِ ، فَاصْرِفْهُ عَنِّي ، وَاصْرِفْنِي عَنْهُ ، وَاقْدُرْ لِي الخَيْرَ حَيْثُ كَانَ ، ثُمَّ أَرْضِنِي بِهِ ، قَالَ : وَيُسَمِّي حَاجَتَهُ.

Maksudnya :” Rasulullah SAW pernah mengajarkan kami tentang memohon pilihan bagi semua perkara (istikharah) sepertimana Baginda SAW mengajarakan kami surah daripada al-Quran. Baginda bersabda : Jika salah seorang dari kalian gusar tentang satu perkara maka rukuklah dua rakaat selain dari yang fardu. Kemudian katakanlah : Ya Allah, aku memohon pilihan dengan ilmu-Mu, aku memohon kekuatan dengan kekuatan-Mu, Aku juga memohon daripada limpahan-Mu yang Agung. Engkau mampu sedangkan aku tidak. Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak tahu. Engkau Maha Tahu tentang perkara yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa perkara ini baik untuk untuk agamaku, kehidupanku dan penghujungku. Ataupun Nabi bersabda : sama ada perkara yang segera atau yang lambat. Maka permudahkanlah urusanku dan berkatilah aku dalam urusan tersebut. Jika Engkau tahu bahawa perkara ini buruk bagiku pada agamaku, kehidupanku dan penghujung hidupku. Ataupun Baginda bersabda : sama ada yang segera atau yang lambat. Maka, jauhkanlah ia dariku dan jauhkan aku darinya. Dan tentukan bagiku yang terbaik kemudian redhailah aku dengannnya. Kemudian Baginda bersabda : Orang itu (boleh) menyatakan hajatnya.”

Riwayat al-Tirmizi (480),Ibnu Majah (1383). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa hadis ini bertaraf hasan sohih ghorib

Sheikh Abdurrahman al-Mubarakfuri menyatakan, maksud istikharah yang dinyatakan di dalam hadis ini ialah solat istikharah. Hadis ini menjadi dalil bahawa tidak harus bagi seseorang memperkecilkan apa-apa perkara walaupun ianya nampak remeh. Lalu dia meninggalkan istikharah. Berkemungkinan, perkara yang diremehkannya itu nanti pada masa akan datang menjadi mudarat baginya.

Rujuk Tuhfah al-Ahwazi Syarah Jami’ al-Tirmizi (2/482)

Cara Menunaikan Solat Istikharah

Seperti melaksanakan solat fardhu dan solat sunat yang lain sebelum mendirikan solat kita hendaklah berwuduk dahulu. Kemudian berdiri tegak di atas sejadah mata menumpukan ke tempat sujud.

Lafaz niat

أُصَلِّيْ سُنَّةَ الاِسْتِخَارَةِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى

“Sahaja aku solat sunat isthikarah dua rakaat kerana Allah Taala.”

Rakaat Pertama

1. Dimulakan dengan mengangkat takbir dan berniat dalam hati.

2. Selepas itu baca doa iftitah.

3. Diikuti dengan bacaan surah al-Fatihah.

4. Selepas itu baca surah-surah dalam al-quran antara surah yang dianjurkan membaca surah al-Kafirun.

5. Lakukan rukuk dan iktidal.

6. Kemudian sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.

Rakaat Kedua

1. Berdiri tegak mengangkat tangan dengan lafaz takbir permulaan rakaat kedua.

2. Membaca surah al-Fatihah.

3. Membaca surah-surah dalam al-quran dan dianjurkan membaca surah al-Ikhlas.

4. Lakukan Rukuk dan iktidal.

5. Kemudian Sujud, duduk antara dua sujud dan sujud kali kedua.

6. Membaca doa istikarah ketika sujud akhir;

“Maha Suci Engkau, tiada pengetahuan bagi kami kecuali apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”

7. Duduk tahiyyat akhir.

8. Memberi salam.

9. Baca surah al-Fatihah dan berwirid. Perbanyak istigfar dan memohon keampunan Allah SWT.

10. Membaca doa solat sunat istikharah.

Doa Solat Sunat Istikharah:

“Ya Allah, aku memohon agar memilih mana yang baik menurut Engkau ya Allah.

Aku juga memohon diberikan kepastian dengan ketentuanMu dan aku memohon dengan kemurahanMu Tuhan yang Maha Agung.

Sesungguhnya Engkau Tuhan yang Berkuasa, sedangkan aku tidak tahu. Engkau Tuhan yang amat mengetahui segala sesuatu yang masih tersembunyi.

Ya Allah! Jika menurut pendapatMu urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi kebaikan bagiku untuk agamaku, kehidupanku, dan pekerjaanku, maka takdirkanlah ia bagiku dan berkatilah ia padaku.

Jika menurut pengetahuanMu bahawa urusan ini (sebutkan perkara tersebut) memberi keburukan bagiku untuk agamaku, kehidupanku dan pekerjaanku, maka ku mohon agar Engkau jauhkan ia daripadaku dan kurniakanlah bagiku hanya kebaikan di mana sahaja aku berada. Jadilah aku orang yang redha atas anugerahMu.”

Sekian perkongsian kali ini semoga bermanfaat! Wallahu’alam.

SUMBER:

https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2638-al-kafi-829-apa-itu-istikharah

https://akuislam.com/blog/ibadah/solat-istikharah/

https://shafiqolbu.wordpress.com/solat-sunat/solat-sunat-istikharah/

https://wadah.amru.com/siri/tentang-solat/cara-solat-sunat-istikharah-yang-mudah-ringkas/

error: Content is protected !!